Mulakan gaya hidup ringkas di rumah

By | 22/06/2012

Gaya hidup ringkas memang menarik. Saya ada senaraikan beberapa kelebihan hebat jika konsep ringkas diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita. Boleh baca di sini

Jika dilihat senarai yang telah saya buat, dan sebenarnya masih banyak lagi konsep ‘ringkas’ yang terlalu berguna untuk kita amalkan, tentu menarik untuk amalkan gaya hidup ringkas bukan?.

Panduan dekorasi rumah mengikut gaya hidup
Tetapi persoalannya di mana harus kita mulakan gaya hidup ringkas?.

Walaupun namanya ‘ringkas’, namun bukan mudah untuk menjadikan sesuatu itu ringkas. Jalan untuk merealisasikannya mengambil masa dan menguji kesabaran. Kalau tak ada kesungguhan serta disiplin yang tinggi tidak ada apa-apapun yang boleh diringkaskan.

Berita baiknya di sini adalah, kita boleh mulakan perjalanan menuju gaya hidup ringkas di mana-mana sahaja yang kita rasa mudah dan menarik minat kita. Selepas itu, jika ia berjaya di situ, bolehlah fikirkan pada lapangan yang lain pula.

Kita perlu bersabar dan mengamalkan satu persatu bermula dengan perkara yang paling kecil dan mudah terlebih dahulu.

Panduan gaya hidup ringkas di rumah

Di sini saya kongsikan sedikit panduan bagaimana boleh dihayati dan diamalkan gaya hidup ringkas di rumah yang sedang kita diami sekarang.

Kita boleh mulakan dengan melihat segala barangan yang telah kita beli dan miliki selama ini yang mana kesemuanya telah dilonggokkan di segenap sudut di rumah kita tak kira samada di bilik, ruang tamu, stor, di bawah tangga, di depan laman rumah atau di mana-mana sahaja yang ada ruang mendatar.

Untuk memudahkan kerja kita dan juga untuk pastikan kita tak buat sekerat jalan atau menjadi seperti  hangat-hangat taik ayam, kita boleh mulakan dahulu di salah satu bilik yang ada di rumah.

Mari mulakan dengan melihat bilik utama di mana tersimpannya segala barangan peribadi yang biasa digunakan selama ini. Lihat satu persatu-satu berapa banyak ruang mendatar yang ada di dalam bilik tersebut.

Kita perlu melihat ruang mendatar terlebih dahulu kerana benda ini mampu menarik segala bentuk barangan untuk dihumbankan di atasnya. Ia semacam magnet yang menarik segala unsur besi.

Kebiasannya benda mendatar yang ada di dalam bilik adalah seperti:

  1. Meja
  2. Katil
  3. Rak
  4. Almari
  5. Lantai.

Matlamatnya sekarang adalah untuk meminimumkan sebanyak mungkin segala benda yang saya sebutkan di atas.

Berapa buah meja ada dalam bilik?

Sebagai contoh, jika kita ada meletakkan beberapa meja sedangkan meja itu lansung tidak digunakan dan jika kita buang saja meja tersebut sedikitpun tidak menjejaskan keceriaan bilik itu malah melapangkannya, bermakna kita telah mengadakan sesuatu yang tidak berguna berada di dalam bilik yang sepatutnya menjadi tempat berehat dan beradu.

Malah meja sebegitu hanya menggalakkan kita untuk melonggokkan apa saja yang ada sehingga ianya penuh dan menyesakkan mata melihatnya.

Begitu juga jika meja itu penuh sedangkan masih banyak lagi ruang di dalam almari atau rak dan kita tidak menggunakannya, menunjukkan meja kita itu bermasalah. Ia menyebabkan kita tidak menggunakan perabut lain secara optimum.

Jadi tindakan yang paling bijak untuk dilakukan adalah dengan mengeluarkan meja itu daripada bilik dengan kadar segera tanpa berfikir panjang atau teragak-agak lagi.

Selain daripada meja, lantai adalah benda yang paling mendatar yang wajib ada pada setiap rumah. Kita tak boleh membuang lantai atau mengecilkannya.

Lantai kadangkala menjadi masalah besar apabila semua tempat sudah dipenuhi dengan longgokan barang, kita akan mula beralih melonggokkan barang di atas lantai pula.

Jika ini berlaku bermakna kita ada urusan yang besar yang perlu diselesaikan untuk meringkaskan rumah kita berdasarkan gaya hidup ringkas.

Apa yang disumbat di bawah katil?

Satu lagi ruang yang kita gemar longgokkan barang adalah di bwah katil.

Jika katil kita berkaki dan ada ruang di bawahnya, ia bakal menjadi tempat rahsia untuk kita menutup segala semak samun barang yang kita simpan.

Biasanya kita akan membiarkan semua barang di bawah katil berada di situ selama bertahun-tahun tanpa diusik!.

Sila jenguk bawah katil sekarang dan keluarkan kesemua barang yang ada!.

Apa yang disimpan dalam almari?

Kita juga perlu membuka dan melihat kesemua almari baju dan keluarkan semua pakaian yang ada unntuk diasingkan dalam 3 kategori berikut:

  1. Pakaian yang sering kita pakai. Jenis pakaian yang sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan atau dua bulan kebelakangan ini kita sering ulang pakai.
  2. Pakaian yang jarang sekali dipakai. Mungkin beberapa kali saja dalam setahun kebelakangan ini.
  3. Pakaian yang lansung kita tak pakai. Tidak sekurang-kurangnya dalam tempoh lebih daripada setahun sebelum ini.

Anda sudah tentu dapat mengagak apa yang mahu saya syorkan.

Masukkan semula pakaian kategori pertama di atas di ruang yang mudah untuk anda mencapainya. Masukkan juga pakaian bagi kategori kedua dalam ruang yang lain dan akhirnya jangan masukkan pakaian dalam kategori yang ketiga tadi.

Keluarkan dia daripada almari dan juga bilik anda kerana sebenarnya ia tidak ada gunanya dan hanya menyemak dan memenuhi ruangan terhad yang ada sahaja.

Secara asasnya kita menyimpan barang samada yang sering kita pakai, jarang-jarang kita pakai dan lansung tidak dipakai. Tanya pada diri kenapa masih menyimpan barang yang lansung tak dipakai?

Begitulah juga dalam rak, bawah katil, bawah kabinet, dalam laci atau mana-mana ruang dalam perabut lain yang terdapat dibilik kita.

Dalam meja bersolek umpamanya keluarkan segala barangan yang ada dan asingkan dalam 3 kategori yang saya sebutkan di atas dan buang sahaja kategori yang ketiga yang ternyata sudah terlalu lama tidak kita gunakan.

Kebiasannya kita masih tetap menyimpan barang tersebut kerana dua perkara seperti di bawah:

  1. Kita rasa akan menggunakannya pada satu ketika nanti. Tak kira samada pada masa yang sesuai atau sebagainya sedangkan sebenarnya itu hanyalah andaian sahaja dan secara tidak disedari tahun demi tahun masa itu tidak pernah kunjung tiba.
  2. Ada nilai nostalgia melekat bersama barangan tersebut yang membuatkan kita sayang untuk membuangnya.

Semua itu hanyalah igauan sahaja dan membuatkan minda tidak bergerak.

Dengan menyimpan semua itu, secara tidak disedari ada perasaan bersalah terselit di minda kita kerana membeli atau menyimpan sesuatu yang tak dipakai dan setiap kali melihatnya, kita memujuk diri, ‘satu hari nanti aku akan memakainya!’.

Nostalgia juga sebenarnya membebankan diri kita secara tidak sedar dengan mengikat perasaan dan pemikiran kita pada masa yang lalu. Mungkin kita tidak sedar selama ini semua itu membelenggu diri untuk maju ke hadapan dan kita tercari-cari kenapa tiada perubahan yang baik berlaku dalam kehidupan kita selama ini.

Alasan yang saya berikan di atas rasanya sudah cukup untuk meyakin bahawa kita perlu membuang semua benda yang di senaraikan sebagai tak berguna di atas.

Berikut apa yang boleh dilakukan untuk menghapuskan semua itu daripada bilik dan seterusnya melapangkan ruang di dalamnya dan secara tidak lansung melepaskan diri kita daripada belenggu tidak maju kehadapan.

Otak akan mendapat isyarat bahawa kita sudah mahu melupakan perkara lama dan membuka satu perenggan baru dalam hidup:

  1. Jika ada barangan yang masih elok dan berharga atau bernilai tinggi, saya syorkan agar ianya diberikan atau dihadiahkan sahaja pada orang yang kita rapat atau sesiapa saja. Ini akan merapatkan lagi silaturahim kita dengan mereka dan ia akan banyak membantu usaha kita untuk membaiki kehidupan.
  2. Jika ia berharga dan ada pembeli, jual sahaja barang tersebut. Ini akan membantu untuk menambahkan tabungan anda.
  3. Kalau kedua-dua di atas tidak sesuai, masukkan sahaja kesemuanya dalam tong sampah.

Setelah anda berjaya melakukan kesemua yang saya sebutkan di atas, saya yakin anda tentu akan merasa amat lapang dan sentiasa akan tersenyum besar setiap kali masuk ke dalam bilik.

Mulai dari saat itu setiap kali anda mahu membeli barangan seperti pakaian, perabut, aksesori solekan dan lain-lainnya, ingatkan berapa bakul telah disedekahkan atau dijualkan atau dibuang dalam tong sampah terlebih dahulu.

Saya pasti anda tidak akan jadi untuk membelinya melainkan ianya benar-benar perlu dan penting.

Selamat menjalani gaya hidup ringkas di rumah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge