Baru-baru ini saya ada didatangi oleh 2 orang anak muda.

Mereka datang berjumpa sebab nak buat temuramah berkenaan dunia keusahawanan. 

Projek itu kepunyaan seorang kawan mereka yang sedang belajar di luar negara. Dia ambil jurusan perniagaan.

Dia perlu siapkan kertas kerja berkenaan usahawan-usahawan negara kita yang jalankan perniagaan samada di dalam negara atau diluar negara.

Cara kreatif anak muda sekarang buat kerja

Kalau dilihat pada projek kawan mereka yang sedang belajar di luar negara itu, nampak memang agak sukar untuk dilaksanakan. Lebih-lebih lagi kalau dibandingkan dengan zaman 10 atau 20 tahun dahulu.

Bukan mudah nak buat temuramah para usahawan seramai mungkin di setiap negeri dan negara yang ada usahawan Malaysia. 

Ia melibatkan banyak masa dan kos. Nak kena buat carian individu usahawan terlebih dahulu, nak hubungi dan minta temu janji dan akhirnya nak kena datang berjumpa untuk jalankan urusan temuramah tersebut.

Tapi nampaknya anak muda sekarang amat kreatif

Dari kemudahan sistem perhubungan yang ada sekarang, anak muda itu hanya gunakan media sosial untuk mencari dan berhubung dengan seramai mungkin usahawan yang ada.

Bila dah dapat temujanji, dia susun semua kawan-kawannya yang berdekatan untuk pergi buat temuramah dengan usahawan yang dah dikenal pasti.

Kawan yang ada di Johor akan buat temuramah dengan usahawan Johor, yang ada di KL akan buat di KL, dan begtulah di setiap negeri yang ada. Malah kawan-kawan yang ada di luar negara seperti Jepun atau UK akan diminta bantu untuk pergi buat temuramah di tempat masing-masing.

Mereka siapkan soalan umum untuk ditanya. Masa temuramah, mereka rakam video dengan menggunakan telefon pintar. Bila dah selesai, semua video akan di hantar terus pada pemilik projek, kawan mereka di luar negara itu.

Saya tak dapat bayangkan kalau pada tahun 1992 dahulu, saya terpaksa buat projek yang sama. Entah macam mana agaknya nak saya selesaikan projek sebegitu!.

Dari segi kreativiti, anak muda sekarang ada terlalu banyak kemudahan untuk diguna pakai.

Cuma dari segi komunikasi, adab bertemujanji dan kesempurnaan mengatur perhubungan dengan orang, nampak ada banyak kelemahan pada anak-anak muda sekarang.

Perancangan mereka terlalu cincai dan banyak maklumat yang tidak disampaikan dengan betul supaya urusan bertemu dengan orang menjadi lancar dan selesa.

Banyakkan perhubungan secara fizikal

Saya rasa itu kelemahan anak muda zaman sekarang. Mereka lebih banyak berhubung secara digital dan terlalu kurang dedahkan diri mereka pada perhubungan secara fizikal.

Saya tak pasti bila masanya nanti akan datang di mana perhubungan secara fizikal sudah tidak penting lagi. Hanya perhubungan secara digital saja yang jauh lebih penting dan diperlukan dalam segala urusan manusia.

Atau mungkin perhubungan secara fizikal tetap akan diperlukan oleh manusia sampai bila-bila. 

Kalau difikirkan secara logik, paling tidak, untuk beranak pinak, manusia masih tetap perlukan perhubungan fizikal. Bersuai kenal, mengorat dan saling memahami dan bercinta dan seterusnya hidup bersama untuk membina keluarga.

Sebagai manusia normal, saya rasa budaya atau amalan tersebut akan kekal relevan dalam jangka masa yang lama lagi. Kalau satu hari nanti, semua perhubungan termasuk seksual sekalipun boleh dilaksanakan secara digital, mungkin ketika itu saya dah jadi tanah.

Oleh itu, perhubungan fizikal sesama manusia masih diperlukan oleh anak-anak muda dalam tempoh jangkamasa yang lama lagi. Jadi jangan alpa dan abaikan kemahiran tersebut.

Anak muda yang dapat kuasai kemahiran perhubungan sesama manusia secara real akan jadi satu aset yang penting untuk mereka gunakan dalam perjalanan hidup mereka bila dewasa nanti.

Perbanyakkan aktiviti bersosial dengan semua lapisan umur masyarakat. Jangan asyik alpa habiskan masa hanya dengan dunia digital sahaja.

Nasihat pada anak muda nak berniaga

Ini satu soalan akhir, yang menarik, 2 orang anak muda itu tanyakan pada saya.

Apa nasihat saya pada anak-anak muda macam mereka yang mahu jadi usahawan yang berjaya.

Apakah mereka perlu kerja makan gaji terlebih dahulu sebelum terjun berniaga. Atau perlukah mereka terus berniaga tanpa kerja makan gaji terlebih dahulu.

Saya rasa samada perlu kerja makan gaji terlebih dahulu atau terus berniaga, kedua-duanya boleh saja.

Yang pentingnya kat sini adalah menempuh pengalaman sebanyak mungkin. Ia melibatkan pengurusan aktiviti mengikut umur yang anda ada.

Bagi saya, selagi anda masih muda di bawah 30-an, anda perlu mencuba berbagai pengalaman sebanyak mungkin. Makan gaji, berhenti kerja, berniaga, mengembara, jadi aktivis, sertai badan kebajikan dan buatlah apa saja yang dibenarkan berlandaskan undang-undang dan batasan agama serta kepercayaan.

Semua itu penting untuk anda kenal pasti apa yang sesuai untuk diri anda sendiri. Juga untuk kenal pasti apakah kecenderungan atau bakat yang ada dalam diri.

Bila dah lepas umur 30-an, anda perlu ada satu hala tuju yang tetap dan konsisten. Masa itu perlu digunakan untuk fokus pada hala tuju tersebut.

Bina keupayaan dan kemahiran selengkap mungkin berdasarkan apa yang dah anda tetapkan. Urusan itulah yang akan diguna pakai untuk sara kehidupan, bina kehidupan, dan mencipta sejarah serta legasi hidup anda sendiri untuk ditinggalkan bila mati nanti.

Biasanya, bila dah tetapkan hala tuju, anda hanya perlukan masa 5 ke 7 tahun saja untuk membina keupayaan yang ditetapkan. Bila dah masuk umur 50 an, anda dah boleh mula membentuk pelapis. Atau mula menyumbang untuk generasi yang dibawah.

Jika anda masih masuk dalam kategori anak muda, itulah pandangan peribadi saya kalau nak jadi usahawan.

Atau kalau tak jadi usahawan sekalipun, anda perlu teroka kehidupan seluas mungkin di masa muda.

Banyak perkara yang anda masih tak sedar bahawa anda masih tak tahu perlu diterokai ketika usia masih muda.

Jangan tunggu tua baru nak sedar apa yang anda tak tahu. Ketika itu stamina dan kekuatan sudah berkurangan untuk berusaha belajar memahami dan ambil tahu.

Moga nasihat saya itu ada manfaatnya…

Total
23
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge