audi-tts-interior-1498x999Dalam apa saja pembelian yang kita buat, tak boleh lari daripada mendapatkan samada nilai kegunaan barang tersebut ataupun untuk mendapatkan nilai status terhadap barang yang anda beli.

Saya sedar terhadap perkara ini dan cenderung untuk membeli hanya bagi mendapatkan nilai kegunaan sahaja. Sudah lama saya cuba amalkannya dalam kehidupan.

Ada beberapa artikel yang saya tulis menyentuh perkara yang sama sebelum ini yang membawa maksud yang sama.

Membeli sebab nilai kegunaan

Pembelian yang paling murni adalah pembelian atas dasar mendapatkan nilai kegunaan terhadap apa yang kita beli.

Contohnya adalah seperti makanan.

Kita beli makanan sebab rasa lapar dan perlu dipenuhi keperluan tersebut dengan makan. Jadi pembelian makanan adalah untuk mendapatkan nilai kegunaan yang boleh menyelesaikan masalah lapar kita.

Kesemua keperluan asas manusia jika dijadikan perniagaan, menawarkan nilai kegunaan. Tawaran ini adalah sesuatu yang mulia dan perniagaan bagi memenuhi keperluan sebegini bagi saya adalah satu perniagaan yang mulia.

Keperluan asas kita hanyalah seperti berikut:

  1. Makanan dan minuman
  2. Perlindungan
  3. Pendidikan
  4. Kesihatan

Kita boleh kembangkan lagi daripada perkara asas di atas kepada banyak lagi cabang bagi memenuhi perkara asas tersebut.

Contohnya, kita boleh kembangkan Perlindungan kepada rumah, takaful, pakaian, kasut, dan laian-lain seumpamanya.

Begitu juga kesihatan boleh dikembangkan lagi kepada rehat, bersenam, pakaian, ubat, makanan dan sebagainya lagi.

Dalam urusan mendapatkan keperluan asas, kita biasanya tidak akan cuba membandingkan antara satu dengan yang lain.

Samada makan dari hotel atau dari kedai mamak bagi orang yang lapar, adalah sama sahaja. Kita tetap akan bersyukur setelah masalah lapar dapat diselesaikan.

Jika semua orang berterusan hanya mendapatkan keperluan asas untuk hidup sekadar perlu, maka akan banyak kilang yang terpaksa ditutup.

Kemajuan teknologi membuatkan aktiviti pembuatan apa saja barang menjadi cepat. Banyak dapat dikeluarkan dalam masa yang singkat.

Semua barang yang banyak dikeluarkan oleh para pengilang perlu dijual.

Jika hanya yang perlu saja dibeli oleh orang ramai, banyak perniagaan yang akan gulung tikar dan barang tidak terjual akan berlonggok begitu saja dengan amat banyaknya.

Maka sebab itu, para pengamal pemasaran telah menemui satu pendekatan untuk selesaikan masalah longgokan barang yang banyak yang dihasilkan oleh berbagai kilang diseluruh dunia.

Tawaran nilai status

Iklan mula cenderung kepada menawarkan nilai status kepada para pengguna. Pembelian sesuatu barang itu dapat menaikkan darjat seseorang itu.

Contohnya kenderaan Merz dilihat sebagai kenderaan yang menawarkan status istimewa lambang kejayaan dan kehebatan.

Kebanyakan orang yang membawa kereta Merz baru tidak akan lepas daripada rasa bangga dan kembang kempes hidung mereka. Apatah lagi jika itu adalah kali pertama ia mampu beli dan membawa kereta Merz.

Makanan juga dibezakan dengan berbagai rupa dan tawaran. Selain daripada rasa sedap dan kenyang, peniaga menawarkan rasa hebat dan menaikkan status kepada para pelanggan yang makan di kedai mereka.

Anda boleh lihat perkara itu dalam tawaran yang ada di hotel-hotel hebat. Boleh juga kita lihat kedai-kedai seperti Starbuck dan seumpamanya yang mampu memberikan nilai status terutamanya pada orang muda.

Gabungan nilai kegunaan dan nilai status

Para peniaga juga berjaya menggabungkan tawaran nilai kegunaan dan dalam masa yang sama mendapat nilai status daripada produk mereka.

Kenderaan, makanan, pendidikan, rumah dan sebagainya kita penuh dengan tawaran nilai kegunaan dan juga nilai status.

Malah ada juga tawaran yang nilai status jauh melebihi nilai kegunaan. Itupun masih ada ramai orang yang terpedaya membelinya.

Fokus pada nilai kegunaan

Saya lebih suka fokus pada nilai kegunaan dan seboleh mungkin mahu abaikan nilai status. Sekurang-kurangnya untuk diri sendiri sejak dari awal mahu membuat sebarang pembelian.

Apa yang orang nak anggap pada kita memang tidak dapat dikawal, jadi paling tidak kitalah yang perlu kawal apa yang kita perasankan dalam diri.

Terutamanya jika anda seorang usahawan, sebarang pembelian eloklah ditumpukan seratus peratus pada nilai kegunaan.

Atau lebih tepat lagi pulangan yang anda dapat hasil daripada pembelian tersebut.

Tetapi bila anda tawarkan produk atau perkhidmatan, jangan lupa serapkan nilai status yang bakal dimiliki oleh pembeli.

Untuk mendapatkan nilai status itulah maka semua peniaga mahu membina jenama terhadap barangan mereka.

Dan pembinaan jenama bukanlah sesatu yang mudah. Ia memakan masa dan tenaga serta sumber kewangan.

Tetapi, jika anda fokus pada nilai kegunaan, beri perhatian agar segala yang anda janjikan sentiasa dipenuhi dengan konsisten, lama kelamaan produk anda akan bertukar menjadi lambang status juga akhirnya.

Anda bagaimana pula?

Apakah anda sedar selama ini pembelian yang anda lakukan adalah bagi mendapatkan nilai yang mana satu?

Adakah untuk dapatkan nilai kegunaan atau untuk dapatkan nilai status?

Total
9
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge