Pakaian hidup ringkas

By | 14/10/2012

Hidup ringkas mengutamakan perkara yang perlu dan bermanafaat sahaja dengan matlamat mengoptimumkan hasil yang dikehendaki. Dari sudut pakaian, ada beberapa perkara penting yang perlu diambil kira dalam mengoptimumkan hasil yang dikehendaki.

Terlebih dulu, mari lihat apakah matlamat berpakaian:

  • Melindungi diri – Pakaian penting untuk memelihara tubuh badan daripada terdedah kepada pencemaran samada dari segi cahaya, udara dan seumpamanya.
  • Menutup aurat – Sebagai seorang yang berpegang teguh pada agama Islam, kita tidak dapat lari daripada kehendak agama yang menuntut kewajipan menutup aurat.
  • Menjaga maruah dan keperibadian – Pakaian yang kita pakai dan jenis atau fesyen yang kita pilih banyak mencerminkan keperibadian diri kita. Keadaan pakaian juga mencerminkan siapa diri dan bagaimana cara kita berfikir.
Dengan berpandukan matlamat di atas kita boleh memikirkan kriteria pakaian yang sesuai dipakai dalam suasana masyarakat dan juga keadaan cuaca di negara kita di Malaysia. Berikut kriteria yang dirasakan perlu dalam mencapai matlamat yang saya sebutkan di atas:
  1. Dibenarkan oleh syariat – Dalam bab menutup aurat, sebarang pakaian yang dapat menutup bahagian aurat kita samada lelaki atau perempuan adalah kriteria utama yang perlu diambil kira.
  2. Selesa – Kita sudah terbiasa mengenakan pakaian yang ditiru daripada cara berpakaian barat. Ini bukan menjadi masalah. Namun mengenakan tali leher dan sut kot bukanlah cara yang sesuai untuk keadaan cuaca negara kita.
  3. Boleh terus dipakai untuk beribadat/solat – Bagi seorang lelaki kriteria ini perlu menjadi pilihan. Jesteru itu pakaian kita mestilah agak longgar dan labuh bagi mengelakkan terbukanya aurat ketika bersolat. ia juga perlu mempunyai warna yang sesuai dan nyaman juga tidak mempunyai corak atau tulisan yang mengganggu orang lain.
  4. Ringkas dan menawan – Ini penting sebagai cerminan keperibadian diri kita. Pakain yang bersih dan warna yang mendamaikan sesuai dengan warna kulit perlu dijadikan kriteria utama.
Kenapa saya berniaga, sedikit sebanyak ada juga dipengaruhi oleh desakan keinginan untuk berpakaian ringkas dan selesa ikut selera sendiri tanpa perlu terikut ikut dengan kebiasaan orang. Saya sering rimas terpaksa pakai kemeja lengan panjang dan bertali leher ketika menjadi wakil jualan di sebuah syarikat logistik antarabangsa dulu, sedangkan cuaca di negara kita amat panas.
Budaya ikutan tersebut berpunca daripada kebanyakan syarikat besar datang dari luar negara yang mana iklim negara mereka mencorakkan cara berpakaian sedemikian. Persoalannya kenapa kita perlu mengikuti budaya berpakain mereka?
Bila berniaga, saya bebas berpakaian mengikut cara tersendiri yang sesuai dengan keadaan cuaca. Jika berkemeja, saya akan pastikan ianya berlengan pendek, nipis tetapi tidak jarang dan sesuai untuk dilepaskan keluar. Berbaju kemeja lengan pendek mesti digabungkan dengan berbaju pagoda di dalamnya untuk menapis bau peluh dari menerobos keluar.
Begitu juga dengan seluar. Saya lebih gemar berpakaian seluar panjang slack dan berwarna gelap serta longgar. Kainnya juga mesti tidak terlalu tebal dan menghalang pengudaraan. Seluar juga perlu senang dibuka dan senang dipakai untuk urusan kecemasan di tandas ketika membuang air.
Dari segi kasut pula, tiada yang lebih baik selain daripada sandal yang tahan, menarik dan bukan berbentuk seperti selipar jepun. Banyak kasut keluaran Bata memenuhi citarasa saya yang mudah dan ringkas. Kasut kulit keselamatan bagi saya hanya sesuai dipakai jika kita menaiki motosikal atau bekerja di kawasan pembinaan.
Apa yang paling penting sekali, pakaian yang ringkas tidak seharusnya menjadikan kita selekeh seperti seorang yang pengotor dan tidak terurus. Begitulah lebih kurang prinsip berpakaian saya secara ringkas. Anda pula bagaimana?
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge