Pedoman hidup sederhana untuk usahawanPedoman hidup sederhana penting untuk mereka yang dah jadi usahawan. Pedoman hidup sederhana juga amat penting buat mereka yang teringin nak jadi usahawan tetapi hasrat tersebut terpadam kerana ingin hidup sederhana.

Salah satu dilema yang menghantui orang ramai terutamanya orang Melayu untuk menjadi usahawan adalah timbulnya persepsi bahawa dengan berhenti kerja (pekerjaan yang dah stabil) untuk menjadi usahawan seolah-olah mereka mengejar kekayaan dan kemewahan.

Memang ada di kalangan orang kita yang tidak jadiĀ untuk berhenti kerja dan menjadi usahawan apabila berniaga dikaitkan dengan gaya hidup bergaya, mewah dan kaya.

Berkemungkinan ada yang berfikiran sebegitu disebabkan budaya kita orang Melayu yang diajar untuk bersederhana dan jangan berlagak tunjuk kaya. Ada juga yang kaitkan orang kaya dengan sifat sombong, kedekut dan berlagak.

Selagi adanya fikiran sebegitu dalam kepala, sudah tentu amat sukar untuk menjadi usahawan dan berniaga. Ini disebabkan kepercayaan bahawa berniaga itu bakal membuatkan seseorang jadi kaya dan kaya itu membuatkan seseorang jadi jahat.

Setiap kali ada usaha untuk nak berniaga, otak akan sabotaj segala usaha tersebut agar ianya gagal. Otak kita memang ajaib. Kerjanya adalah menyelamatkan tuannya daripada terjerumus kepada keburukan. Apa saja yang diterima sebagai keburukan dalam kepercayaan kita akan dijauhi oleh otak tanpa disedari.

#1 Pedoman hidup sederhana dengan jadi usahawan

Pedoman untuk hidup sederhana bermula dengan aktiviti pembetulan minda terhadap takrifan keburukan.

Tidak ada sesiapa yang mempertikaikan bahawa sombong, kedekut, berlagak dan seribu satu macam lagi perangai jahat itu adalah satu keburukan yang ada dalam diri. Takrifan itu tidak perlu diperbetulkan lagi dan hendaklah setiap dari kita berusaha untuk menjauhinya.

Takrifan yang perlu diperbetulkan di sini adalah bahawa orang kaya itu jahat, sombong, kedekut dan berlagak. Bukan semua orang kaya begitu.

Dan begitu jugalah sebaliknya, bukan semua orang miskin itu baik, tidak sombong, tidak berlagak dan pemurah. Malah jumlah orang miskin yang jahat, sombong, kedekut, berkira, berlagak tidak sama kurangnya berbanding orang kaya.

Manusia kalau dah hitam hatinya, busuk jiwanya, tetap akan terpahat segala kejahatan dalam jiwa samada dia miskin atau kaya. Cuba perhatikan sekeliling anda, cuba ingat semula perjalanan hidup anda, tentu pernah pernah terserempak orang yang miskin, tak ada pangkat, tapi perangai, masyaallah! sombong pahit!.

#2 Pedoman hidup sederhana dan jadi usahawan

Aktiviti kedua yang anda perlu lakukan adalah dengan mencari dan berkawan dengan orang-orang yang kaya dan juga usahawan-usahawan yang berjaya.

Sekadar memahami maklumat yang saya sampaikan di atas masih tidak mencukupi untuk otak menukar takrifan yang telah terpahat kukuh selama ini dalam minda.

Untuk itu, usaha menukar persepsi minda secara berterusan mesti dilakukan agar takrifan itu bertukar. Cara paling mudah adalah dengan mencari dan berkawan dengan orang kaya yang baik.

Usaha juga mesti dilakukan dengan mencari dan berkawan dengan usahawan yang berjaya dan dalam masa yang sama punyai akhlak yang menawan, tidak sombong dan sederhana dalam perwatakannya.

Selagi usaha untuk bergaul dengan orang sebegitu tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh, takrifan minda tidak akan dapat diubah. Berkawanlah dengan golongan yang saya sebutkan di atas seramai mungkin. Insyaallah minda anda akan mula memberikan ruang untuk takrifan yang berbeza terhadap usahawan, orang kaya, dan berhati mulia.

#3 Pedoman hidup sederhana untuk usahawan

Ada dua perkara yang akan berlaku bila anda dah mula mengenali dan berkawan dengan orang kaya atau usahawan yang berjaya.

Pertamanya, anda akan mula melonggarkan kekangan atau aksi sabotaj otak daripada menjadi usahawan. Lambat laun anda juga akan bertukar menjadi usahawan.

Keduanya adalah anda akan mendapat banyak ilmu berkenaan cara berfikir orang kaya dan juga usahawan berjaya. Kalau tak jadi kaya dan berjaya seperti orang-orang yang anda kenali itu, sekurang-kurangnya tempias kekayaan akan mengenai diri anda juga.

Ada kepercayaan yang mengatakan bahawa diri anda adalah hasil purata daripada orang-orang yang anda kenali dan bersama sekeliling anda.

Ertinya jika kejayaan anda adalah sama dengan hasil purata kejayaan orang-orang yang ada di sekeliling anda. Jika majoriti kawan-kawan anda adalah golongan yang berpendapatan RM3 ribu, maka biasanya pendapatan anda juga adalah dalam lingkungan itu juga.

Sebaliknya jika kawan sekeliling anda adalah golongan usahawan berjaya yang berpendapatan RM50 ribu, maka pendapatan anda juga akan mencapai lebih kurang jumlah itu juga.

#4 Pedoman hidup sederhana untuk usahawan berjaya

Bila dah mula nak jadi usahawan dan mula nak menjalankan perniagaan, pastikan anda asingkan antara perniagaan dengan diri anda secara individu.

Ingat! berniaga dan berjaya serta membina syarikat atau perniagaan yang kaya raya adalah fardu kifayah. Itu penting agar usahawan tidak lupa diri dengan kawal dan bolot semua kekayaan untuk kepentingan dirinya sahaja. Bila dah namanya fardu kifayah, usaha itu adalah untuk melepaskan tanggung jawab terhadap masyarakat umum, dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri.

Untuk diri anda sendiri pula, bersederhanalah. Tetapkan gaya hidup yang selesa dan memadai untuk diri anda dan tidak perlu berlebih-lebihan. Kalau nak buat kebajikan, nak menderma, atau lain-lain seumpamanya, gunakanlah wang syarikat hasil daripada perniagaan anda.

#5 Pedoman hidup sederhana dengan tetapkan gaya hidup

Sebaik saja anda dah berniaga dan perniagaan dah stabil, tetapkan gaya hidup yang anda mahu. Tetapkan jenis rumah yang anda mahu duduki, tetapkan kenderaan yang anda pandu dan tetapkan perbelanjaan hidup yang anda rasa selesa.

Ketetapan seeloknya berdasarkan keperluan diri anda sendiri, keluarga, orang sekeliling dan juga perniagaan anda. Setiap kali anda nak beli kereta atau nak beli sesuatu, tanyalah dalam diri apakah alasan sebenarnya untuk membeli benda tersebut.

Jika alasannya banyak berkisar pada nak tunjuk kat orang, batalkan saja. Tetapi jika alasannya adalah keperluan samada untuk diri sendiri, keluarga, orang sekeliling atau perniagaan, maka boleh diteruskan.

Jika anda nak tingkatkan gaya hidup, pastikan peningkatannya tidak terlalu mendadak. Jangan semalam bawa kancil buruk, hari ini terus upgrade pakai Mercedes E-Class. Melainkan anda dapat semua itu percuma, tak apa. Tapi jika ianya adalah hasil dari perniagaan, fikirkan semula. Lebih elok buat peningkatan perlahan-lahan agar lebih selamat.

Kajayaan mengawal nafsu berbelanja sedangkan anda mampu adalah sesuatu yang besar yang mana ramai orang tewas dan gagal mengawalnya. Bersabar dalam kesukaran ramai orang yang berjaya melaluinya, tetapi bersabar dalam kesenangan adalah sesuatu yang amat sukar.

Demikianlah sedikit pedoman hidup sederhana untuk usahawan yang berjaya. Sama-samalah kita cuba amalkan. Insyallah selamat kehidupan kita.

Total
2
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge