Tahun 2017 ini saya tutup dengan satu pengalaman buat kerja amal yang menarik. Kerja amal masak dan beri makan kepada penduduk kampung orang asli di dalam hutan di Pos Lenjang.

Program ini dianjurkan oleh satu badan NGO yang bernama Kindness Malaysia. Anda boleh ikuti perkembangan segala aktiviti Kindness Malaysia pada pautan yang saya berikan. Kalau boleh elok sangat jika anda dapat turut sama memberikan sumbangan dan sokongan pada semua aktiviti yang mereka jalankan.

Kindness Malaysia, yang dikendalikan oleh anak-anak muda yang bertenaga dan banyak idea ini amat saya kagumi. Mereka fokus pada buat kebaikan tanpa memikirkan apa-apa keuntungan material. Mungkin keuntungan pengalaman yang mereka dapat jauh lebih bermakna dari keuntungan material.

Apa untung buat kerja amal kebaikan

Tidak ada apa yang boleh tandingi kekayaan pengalaman yang dibentuk dalam diri seseorang individu.

Kaya harta boleh naik dan turun. Malah boleh hilangpun sekelip mata tanpa diduga. Tapi kaya pengalaman akan sentiasa meningkat dan tak pernah turun selag masih waras. Malah akan kekal sehingga masuk ke dalam kubur.

Itulah yang saya dapat belajar dan hayati hasil dari pengalaman ikut buat kerja amal bagi makan orang asli di dalam Hutan Kuala Lipis, Pahang baru-baru ini.

Itu juga menjawab persoalan yang mungkin berlegar dalam kepala anda yang tertanya kenapa nak susah-susah buat kerja amal yang tidak memberikan sebarang keuntungan kebendaan.

Mungkin anda bertanya, ‘Kalau diluangkan masa buat kerja yang dapat duit bukankah lagi bagus?’

Bahagia bila buat baik pada orang lain

Kepuasan yang dikecapi hasil dari aktiviti anda buat kebaikan pada orang lain dapat memberikan kebahagian yang jauh lebih berkekalan di dalam diri. Itu satu fakta kajian yang saya pernah baca sebelum ini.

Ertinya kalau nak bahagia dan puas hidup, perlu banyak buat kebaikan. Kerja kuat buat duit dengan harapan hidup bahagia jika duit yang banyak tak pernah berjaya membuatkan orang bahagia. Bila dapat duit, rasa tak pernah cukup, lalu pulun kerja kuat lagi untuk tambah duit banyak lagi. Akhirnya kepenatan dan masih tak rasa bahagia.

Perumpamaan orang yang kejar duit itu adalah seupama seorang yang cuba lepaskan  dahaga dengan minum air laut yang masin. Makin diminum, makin dahaga.

Tetapi, kalau anda kerja kuat pulun buat duit supaya ada masa, tenaga dan sumber lain untuk disalurkan kepada aktiviti kebaikan, itulah yang terbaik. Insyaallah kebahagiaan akan datang singgah ke dalam diri anda.

Masuk dalam hutan ikut jalan balak

Saya dan dua lagi rakan naik kenderaan 4×4 Toyota Hilux yang saya beli beberapa tahun sebelum ini, tapi tak pernah dibawa masuk hutan. Memang tujuan utama beli 4×4 itu untuk aktiviti lasak masuk dalam hutan, tapi tak berlaku.

Apabila kawan ajak sertai program yang dianjurkan oleh Kindness Malaysia itu, saya terus setuju tanpa fikir panjang. Walaupun jadual agak ketat dari isnin sampai jumaat berada di luar kawasan di Utara Tanah Air, saya ketepkan saja rasa penat yang ada.

Setelah balik dari utara hari jumaat petang, rehat sebentar, keesokkannya, hari sabtu, kami berkumpul di Masjid negara dengan dua lagi kenderaan 4×4 yang sarat dengan muatan barang-barang makanan dan pakaian. Semua barang tersebut adalah sumbangan yang berjaya dikumpulkan oleh team Kindness Malaysia.

Setelah ubah barang supaya semua kenderaan seimbang dengan segala muatan yang ada, kami bergerak menuju ke Gombak untuk ke Bentong. Singgah sebentar kat Bentung untuk sarapan sebelum meneruskan lagi perjalanan.

Kami perlu sampai secepat mungkin di Sungai Koyan untuk ambil satu lagi bekalan makanan iaitu ayam sebanyak 25 ekor yang dah ditempah kat situ. Satu lagi kenderaan 4×4 ikut serta ketika di sungai Koyan. Mereka terdiri dari para ustaz yang merupakan daie yang sentiasa berhubungan dengan orang asli di kampung yang nak kami tujui.

Selepas selesai solat zohor kat situ, barulah kami dapat bertolak menuju ke perkampungan orang asli. Tak ada jalan yang tar yang sempurna bermula dari situ. Sebab itu perlukan kenderaan pacuan 4 roda.

Jalan pula masih becak dan basah akibat hujan. Untuk percepatkan lagi perjalanan ke Pos Lenjang, kami terpaksa redah sungai yang agak deras arusnya serta dalam. Itu pengalaman pertama redah air guna Toyota Hilux yang saya beli itu. Memang kecut perut dan tak berani. Saya berikan saja pada kawan untuk buat semua kerja kecut perut itu dan alhamdulillah semuanya lancar.

Gambar kat bawah ni adalah rakit yang digunakan untuk seberangi sungai tersebut. Orang asli yang ada motosikal akan gunakan khidmat rakit itu dengan bayaran RM1 sekali seberang.

Menurut Ustaz yang bawa kami masuk ke dalam kampung orang asli itu, itu jalan yang lebih cepat dan mudah. Terpaksa cross sungai. Kalau ikut jalan yang tak perlu seberang sungai, masa akan bertambah lagi satu jam lebih lewat. Rasanya, masa hampir dua jam yang kami lalui itu dah mencukupi cabarannya.

Orang asing masuk hutan berniaga

Antara perkara yang amat menarik yang saya perhatikan adalah kewujudan para peniaga dari warga asing yang naik motosikal. Tak pasti samada warga Bangladesh atau Pakistan.

Mereka bawa barang keperluan yang berbagai untuk dijual kepada orang asli kat dalam hutan itu. Minyak petrol pun ada dijual dan banyak lagi barang lain yang disi penuh belakang motosikal.

Saya difahamkan mereka akan masuk setiap hari dari satu kampung orang asli ke satu kampung menjaja segala keperluan. Memang kagum dengan kegigihan orang asing tersebut mencari duit. Perkataan sukar atau tak ada tak tahu nak niaga apa memang tak pernah ada dalam kamus hidup mereka.

Buat kerja amal masak untuk orang asli

Sebaik saja sampai ke Kampung Orang Asli Dayok segala aktiviti terus dijalankan. Team dari Kindness Malaysia memang nampak dah biasa dengan semua aktiviti sebegitu.

Bagi yang menguruskan hal ehwal masak memasak terus bergerak dengan urusan mereka. Bagi yang menguruskan aktiviti permainan dengan kanak-kanak orang asli pula terus mula menyusun semua aktiviti mereka dengan pantas.

Petang itu juga diadakan permainan mewarna untuk anak-anak orang asli. Permainan sumpit belon untuk kaum bapak dan kaum ibu dari kalangan orang asli juga diadakan. Semua aktiviti yang padat itu disambut baik oleh semua penduduk kampung tersebut.

Kaum ibu orang asli juga turut sama membantu gotong royong memasak untuk semua penduduk di situ. Masakan dibuat di kawasan surau kecil yang ada di kampung tersebut. Anggaran masakan adalah untuk seramai 300 orang asli.

Ada gulai ayam, sambal tumis ikan bilis petai dan sayur kubis. Semuanya lauk siap tersedia sebelum magrib. Saya yang masak sambal tumis ikan bilis petai itu. Tak sangka pulak sedap. Nasi pula dibantu oleh para ibu orang asli yang membawa beras balik ke rumah masing-masing.

Selepas magrib mereka mula hantar satu periuk demi satu periuk, saya tak pasti pulak ada berapa periuk, tapi diharapkan semuanya mencukupi untuk menjamu penduduk yang berkumpul dari dua kampung malam itu.

Sebaik saja selesai solat insyak, kami mula susun dalam satu barisan segala makanan yang ada di tepi surau itu. Macam kenduri kahwin kat kampung pulak.

Saya ambil tugasan cedok gulai ayam.

Orang asli mula berbaris dari awal ampai habis. Lauk dan nasi mula susut dan nampak macam kedatangan orang asli seperti tak mahu berhenti. Kami mula risau takut tak cukup untuk semua menikmati segala makanan yang disediakan itu.

Sambal tumis terus licin. Nasi juga habis dan begitu juga dengan sayur dan gulai ayam. Dan semuanya dapat makan walaupun tak boleh nak tambah. Memang puas buat kerja macam itu. Nasib baik ada simpan sedikit untuk kami semua makan, kalau ak alamat tidur dalam kelaparanlah kami.

Tak perlu ramai buat kerja amal

Apa yang saya perhatikan dari pengalaman tersebut di atas, tak perlu ramai orang untuk buat kerja kebajikan dan kebaikan sebegitu.

Bayangkan semua masakan dan segala aktiviti untuk semua orang asli dari dua kampung itu berjaya diuruskan oleh kumpulan 4 buah kenderaan pacuan 4 roda sahaja.

Semuanya ringkas sahaja dan tak perlu sempurna. Orang asli tak punya sikap mengkritik dan minta yang bukan-bukan macam orang kita kat bandar ini. Semuanya menjadi mudah bila perasaan sentiaa bersyukur dengan apa yang ada sentiasa menjadi amalan hidup.

Malam itu kami tidur di surau lama yang diperbuat dari kayu yang ada kat kampung itu. Malam yang damai, dengan bunyi unggas hutan yang menghiburkan membuat semua rasa letih tidak terasa.

Begitulah serba ringkas perkongsian pengalaman saya bersama team Kindness Malaysia buat kerja amal masak dan berikan makan pada lebih 300 orang asli di Kampung Orang Asli Dayok di Pos Lenjang.

Total
16
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

5 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge