Pengalaman hidup yang mana satu perlu dihargai

By | 09/08/2016

drill-1329766_960_720Kali ini saya nak kongsikan topik berkenaan pengalaman hidup yang dilalui oleh para usahawan yang berjaya kepada para pembaca.

Pengalaman hidup ini adalah apa yang dkongsikan oleh beberapa orang usahawan yang mengikuti satu program yang dinamakan CEO Transformation Program.

Kebetulan saya berpeluang untuk turut sama dalam program tersebut bersama dengan para CEO dan tuan punya bisnes yang berjaya di negara kita baru-baru ini. Dan dalam program tersebut tajuk ini merupakan antara satu perkara menarik yang saya telah temui.

Saya bukan nak ceritakan pengalaman-pengalaman yang telah dilalui oleh setiap usahawan tersebut satu persatu. Tapi cuma nak mengambil satu rumusan yang saya anggap amat baik untuk kita semua fikirkan bersama dan jadikan sebagai pedoman.

Perkongsian pengalaman hidup

Dalam program tersebut, semua peserta diminta untuk memilih pasangan masing-masing. Setiap orang perlu memilih dan menceritakan satu pengalaman hidup yang menjadi satu peristiwa yang amat dihargai oleh mereka sepanjang hidupnya.

Mereka perlu ceritakan pada pasangan masing-masing dan setiap orang diberikan masa hanya beberapa minit untuk kongsikan cerita mereka.

Sudah tentu ada banyak pengalaman nak nak dikongsikan oleh semua peserta. Tetapi semua boleh memilih apa saja cerita yang terlintas yang dirasakan menarik dan bermakna, walaupun ianya adalah pengalaman yang mungkin dianggap biasa saja oleh kebanyakan orang.

Maka dalam tempoh masa yang diberikan, berceritalah semua orang pada pasangannya masing-masing.

Jenis pengalaman yang dikongsikan

Setelah selesai, maka satu rumusan cuba diambil daripada kesemua perkongsian pengalaman yang berlaku.

Apa yang amat menarik adalah kesemua usahawan memilih untuk kongsikan kisah pahit getir kehidupan yang telah mereka lalui. Lebih banyak cerita kesusahan yang dikongsikan. Dan seterusnya masing-masing akan merumuskan titik perubahan yang berlaku pada kehidupan mereka hasil daripada pengalaman tersebut.

Sama juga berlaku pada diri saya sendiri. Cerita zaman susah dahululah yang saya pilih untuk dikongsikan. Bagaimana saya mula bersusah payah mencari kerja, berhenti kerja sebab rasa tak boleh ikut, kerja di pasaraya sebagai tukang angkut barang dan lari balik tak sampai separuh hari bekerja.

Akhirnya saya sedar diri dan mula bekerja makan gaji dengan bayaran gaji sebanyak RM300 sebulan.

Bagaimana saya rasa amat bersyukur dapat makan nasi kandar pertama di kali di kedai mamak setelah mendapat gaji pertama. Juga bagaimana saya berikan hampir kesemua gaji yang dibayar kepada orang tua. Semuanya cerita kesukaran.

Secara logiknya, sudah tentu lebih menarik untuk masing-masing kongsikan kehebatan mereka sekarang, Berapa buah kereta mewah mereka ada, pakaian berjenama yang menjadi pilihan mereka, berapa hebat rumah mereka yang tersergam indah sekarang dan lain-lain lagi seumpamanya. Mereka semua  boleh bercerita sedemikian.

Tapi tidak, cerita susah yang menjadi pilihan. Cerita ketabahan dan pahit getir yang paling melekat dalam ingatan mereka. Kenapa ?

Masyarakat menilai apa ?

Namun begitu, cuba lihat keadaan sekeliling kita sekarang, apakah yang menjadi keutamaan untuk dinilai dan dipandang tinggi oleh kebanyakan orang, termasuklah diri kita sendiri.

Orang ramai lebih fokus pada pangkat, harta, darjat, kuasa dan sebagainya. Itulah yang disanjung. Bagaimana kesemua hasil status dan kekayaan itu didapati tidak menjadi keutamaan oleh masyarakat kita untuk diambil kira terlebih dahulu.

Jadi selepas ini, bila tengok orang berjaya dengan bereta besar, rumah besar, pangkat besar dan lain-lain serba besar, bayangkan terlebih dahulu pahit getir yang telah mereka lalui. Itulah yang sebenarnya yang paling berharga dalam hidup kita semua.

Author: Shubhi

Penulis merupakan seorang usahawan. Memiliki beberapa syarikat sendiri dan perkongsian dan diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Selesa dengan gaya hidup yang sederhana dan ringkas. Selain menulis dan membaca penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui program HR Biz Coaching. Jika anda ingin berbual dan ajak penulis minum kopi O, sila whatassp ke 013-3360807

4 thoughts on “Pengalaman hidup yang mana satu perlu dihargai

  1. Zamree

    Kalau kita lihat orang sekeliling yang telah berjaya, sememangnya sikap tabah dan kesukaran yang telah mereka tempuhi amat menarik sekali untuk kita terutamanya golongan muda contohi.

    Tn Shubh, bagaimana pula dengan ketabahan pejuang Tanah Melayu dalam mengusir penjajah ?
    Zamree recently posted…Warih Homestay : Pemasangan Astro NJoiMy Profile

    Reply
  2. Nazrimi

    Terbaik..
    Rumusan dari kisah insan yang berjaya..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge