Persoalan berkenaan pengurusan bengis berbanding dengan pengurusan berhikmah ini timbul dalam kepala saya selepas berbincang berkenaan isu yang sama dengan abang di kampung.

Saya baru balik dari kampung menghadiri kenduri kahwin anak kepada salah seorang sepupu saya di Pulau Pinang. Seperti biasa sekarang ini, menghadiri kenduri kahwin memberikan banyak peluang pada saudara mara untuk bersembang dan mengemas kini laporan kehidupan semasa semua saudara mara.

Makan kenduri di rumah saudara mara sekarang jauh berbeza berbanding zaman dulu. Sekarang tak perlu lagi susah payah jadi tukang hidang atau tukang angkat pinggan. Malah tak perlu lagi duduk rumah saudara dua tiga hari awal untuk membantu aktiviti memasak.

Majoriti masyarakat sekarang guna khidmat catering saja untuk persediaan makanan kepada para tetamu. Apa yang baik dalam cara ini adalah membantu mewujudkan usahawan dalam bidang F&B.

Dan yang tak baiknya dalam cara persediaan makanan untuk kenduri kahwin sekarang ini adalah hilangnya budaya tolong menolong di samping budaya berjimat cermat dalam majlis keramaian.

Kisah anak saudara dengan organisasi pengurusan bengis

Berita baik yang ingin saya kongsikan pada pembaca adalah berkenaan anak saudara saya yang belum lagi berusia 30 tahun sudah diberikan peranan sebagai pemangku CEO kepada salah sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah Kementerian Pendidikan.

Kenapa dia masih lagi muda sudah diamanahkan jawatan yang berat tanggung jawabnya? tentu ada sebabnya bukan?

Rahsianya adalah kerana tak ada seorang CEO pun yang pegang jawatan itu selama ini dapat bertahan lama dengan Yayasan yang dikendalikannya itu.

Kenapa mereka tak dapat bertahan lama?

Kerana mereka terpaksa melaporan diri kepada Pengerusi Yayasan yang bengis macam harimau. Pengurusi Yayasan tersebut mengamalkan sistem atau budaya pengurusan bengis. Tak ada orang yang dapat bertaha dengan kerenah pengerusi tersebut yang merupakan seorang wanita.

Kalau dapat bertahanpun dengan amalam pengurusan bengis macam harimau itu, tak akan lama. Sebaik saja mereka mendapat peluang yang sama baik atau lebih kurang baik, semua akan cabut lari.

Pengurusan bengis melahirkan ramai CEO yang berjaya

Anak saudara saya itu tertekan dengan budaya kerja dengan boss yang mengamalkan pengurusan bengis macam harimau. Ini membuatkan dia juga ada niat mahu lari secepat mungkin dan sanggup pergi ke tempat lain yang lebih menjaga jantungnya walaupun dengan tawaran yang sedikit kurang menarik.

Setiap kali ada hasrat begitu, pengurusinya akan menunjukkan pada anak saudara itu beberapa CEO di tempat kerja lain yang merupakan bekas anak buah yang pernah bekerja di bawahnya sebelum ini.

Pengurusi itu memberikan contoh betapa para CEO itu yang tidak tahan bekerja di bawahnya kini telah berjaya dan dapat menjalankan tugas dengan baik.

Anggapan Pengerusi itu kerana pernah dilatih oleh dirinya yang mengamalkan pengurusan bengis itulah telah membuatkan mereka berjaya.

Itulah pujukannya atau rasionalnya yang ingin disampaikan agar anak buah saya bertahan. Pengerusi itu percaya, kalau nak lahirkan CEO yang baik, maka resepinya adalah dengan bertahan dengan sistem atau budaya pengurusan bengis.

Pengurusan bengis bukan faktor penyumbang kejayaan seseorang

Saya mendengar perkongsian abang tentang anaknya itu dengan penuh minat. Tapi tidak memberikan apa-apa komen walaupun pada hakikatnya saya langsung tak bersetuju bahawa pengurusan bengis itulah yang membuatkan para CEO itu berjaya.

Saya yakin para CEO yang ditunjuk oleh pengerusi bengis itu sebenarnya memang orang-orang yang memang ada tabiat dan potensi untuk pergi jauh.

Disebabkan mereka memang berpotensi dan hebat membuatkan mereka dapat menahan diri dan sesuaikan keadaan dengan siapa saja yang mereka bekerja di bawahnya. Bukanlah sebaliknya.

Itulah yang saya nyatakan tadi, bila CEO yang berpotensi itu ada peluang, mereka akan tukar kapal dan keupayaan mereka akan lebih terserlah lagi.

Saya lebih cenderung kepada budaya pengurusan berhikmah dan bukannya sistem pengurusan bengis. Walaupun berniat baik, ia hanya akan membuatkan kita menlahirkan banyak musuh yang tak diundang. Ia membuatkan hidup pengamalnya hidup dalam dunia yang penuh dengan tekanan dan dibenci oleh orang lain.

Budaya bengis tidak bertempat bukanlah satu sifat yang baik. Tak ada manusia yang suka budaya hidup penuh dengan tekanan yang tidak diperlukan.

Tak perlulah kita cuba rasionalkan sikap kita dan berbegil untuk meneruskan sistem pengurusan bengis yang lebih banyak keburukannya berbanding kebaikan.

Dengan amalan budaya pengurusan berhikmah, kita perlu melihat orang yang bekerja di bawah kita sebagai insan terlebih dahulu dan sebagai pekerja kemudiannya.

Sebaliknya, dengan sistem pengurusan bengis, kita akan tertipu dan bertindak kejam dengan melihat orang dibawah ita sebagai pekerja terlebih dahulu dan sebagai insan kemudiannya.

Jangan anggap orang dibawah kita sebagai hamba, lihatlah mereka sebagai manusia. Elakkan budaya pengurusan bengis, insyaallah potensi dan kejayaan anda dan juga orang dibawah anda akan lebih terserlah.

Total
17
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge