Salah satu perkara penting untuk berjaya dalam apa saja yang nak kita buat adalah mempunyai tenaga semangat keazaman yang tinggi. Dalam bahasa orang putih kita panggil will power.

Saya namakan will power sebagai tenaga semangat keazaman mengikut pemahaman saya. Mungkin pembaca ada istilah lain yang lebih tepat, tapi saya rasa perkataan itu boleh difahami dengan mudah di sini.

Ada banyak perkara yang memerlukan tenaga semangat keazaman yang tinggi untuk membolehkan kita berterusan melaksanakannya. Terutamanya jika melibatkan urusan yang sukar dan berkait dengan cubaan memecahkan siling penghalang kejayaan.

Perkara yang perlu tenaga semangat keazaman tinggi

Antara perkara yang memerlukan tenaga semangat keazaman yang tinggi adalah seperti berikut:

  1. Bersenam – buat mereka yang malas dan jarang bersenam, memaksa diri untuk melakukan senaman setiap hari sekurang-kurangnya setengah jam adalah sesuatu yang amat sukar.
  2. Berhenti merokok – semua orang yang dah terikat dengan budaya merokok tahu betapa sukarnya untuk berhenti maupun mengurangkan jumlah rokok ang mereka hisap setiap hari.
  3. Berniaga – orang yang dah biasa dan selesa makan gaji memang sukar untuk melepaskan jawatan yang sedang mereka pegang. Nak tulis surat berhenti kerja mungkin senang, tapi nak lepaskan surat itu ke atas meja boss memerlukan semangat keazaman yang tinggi. Bila dah berhenti kerja dan berniaga juga memerlukan tenaga semangat keazaman yang tinggi untuk menjayakan perniagaan.
  4. Berdepan dengan masalah – bukan senang untuk berdepan dengan masalah. Tambahan pula jika satu keputusan yang penting perlu dibuat dan melibatkan orang lain di sekeliling kita.
  5. Menambah ilmu – bukan mudah untuk berterusan belajar terutamanya terhadap ilmu yang spesifik dan mendatangkan manafaat untuk apa yang sedang kita lakukan. Masalah kebosanan sering melanda jika kita terpaksa berhadapan dengan perkara yang sama saban waktu.
  6. Menghadapi kerenah manusia – jika anda seorang boss, jika anda seorang usahawan, tentu sedar bahawa masalah paling besar adalah berurusan dan menyelesaikan kerenah manusia atau lebih tepat lagi orang di bawah jagaan kita. Kalau tak ada tenaga semangat keazaman yang tinggi, kita akan belah lari malam begitu saja.
  7. Berhadapan dengan masalah kewangan yang ketat – dunia sekarang semuanya perlu wang. Tak ada wang dalam poket sedangkan kita ada benda yang perlu diselesaikan dengan wang memang satu cabaran yang amat getir. Orang yang berniaga semua tahu keadaan ini. Kita perlu buat muka tak malu untuk meminta daripada mana saja sumber yang ada potensi.
  8. Menghadapi tekanan – tekanan dalam zaman moden ini membuatkan banyak orang kena serangan jantung dan hidup tidak keruan. Untuk menjadi tenang dan tidak dipengaruhi oleh tekanan dalam melaksanakan tanggung jawab memerlukan tenaga semangat keazaman yang tinggi.
  9. Menghadapi kegagalan – jika tak kuat semangat, kegagalan boleh membuatkan dunia dirasai telah tamat. Hanya mereka yang punai tenaga semangat keazaman tinggi saja akan berjala melaluinya dan meneruskan usaha sampai berjaya.

Ada banyak lagi contoh yang boleh kita senaraikan dalam bab perkara yang memerlukan tenaga semangat keazaman yang tinggi. Anda boleh fikirkan sendiri berdasarkan keperluan yang sedang dihadapi sekarang.

Salam faham terhadap tenaga semangat keazaman

Ada ramai yang salah faham dengan konsep tenaga semangat keazaman ini. Mereka rasakan hanya orang tertentu saja yang memiliki tenaga semangat keazaman yang tinggi.

Sedangkan semua orang ada tenaga semangat keazaman yang tinggi. Cuma masalahnya mereka tak tahu bahawa tenaga ini sama macam dengan tenaga yang lain yang ada pasang dan surutnya.

Beza mereka yang berjaya dengan yang tidak berjaya hanyalah keupayaan menguruskan tenaga semangat keazaman yang tinggi ini.

Orang yang berjaya biasanya menggunakan keadaan di mana tenaga semangat keazaman mereka sedang tinggi untuk melakukan perkara-perkara yang penting. Manakala mereka yang kecundang biasanya tak ada perancangan dalam menguruskan kerja penting mereka dalam keadaan tenaga semangat keazaman mereka.

Bagaimana menguruskan tenaga semangat keazaman yang tinggi

Ada dua perkara penting jika anda mahu berjaya dalam penggunaan tenaga semangat keazaman yang tinggi:

  1. Tahu bagaimana tenaga semangat keazaman berfungsi
  2. Tahu mana yang lebih penting di antara perkara-perkara yang penting.

Bagaimana tenaga semangat keazaman berfungsi

Untuk yang pertama, anda perlu tahu bahawa tenaga semangat keazaman itu sebijik macam bateri smart phone. Adakalanya full bar dan adakalanya tinggal satu bar saja.

Bateri kita akan jadi full bar jika di-charged. Bila kemudiannya diguna pakai tenaga bateri itu semakin lama semakin kurang dan jika tidak di-charge semula akan habis terus dan padam.

Begitu juga dengan tenaga semangat keazaman kita, biasanya tenaga itu tinggi di awal permulaan hari. Bila kita keluar rumah atau kalau duduk di rumahpun, dan tenaga itu banyak digunakan untuk menahan sabar kerenah pasangan atau jiran atau anak-anak atau lain-lain, tenaga tersebut akan berkurangan.

Sebab itu orang yang mulakan harinya dengan baik dan pergi kerja, hasil kerja mereka adalah jauh lebih baik pada waktu awal pagi. Mereka yang bijak akan pastikan waktu awal pagi digunakan untuk buat kerja dan bukannya bergossip atau keluar minum teh tarik bersembang kosong.

Begitu juga orang yang berniaga, seeloknya waktu pagi digunakan untuk buat kerja merancang, menyemak status perniagaan dan lain-lain kerja penting. Manakala waktu petang digunakan untuk beraksi dan kerja-kerja yang kurang mencabar minda seperti PR dan seumpamanya.

Guna tenaga semangat keazaman tinggi untuk kerja penting

Adalah penting untuk kita senaraikan mana yang lebih penting antara yang penting dalam urusan harian kita. Orang yang pandai prioritize kerja mereka akan sering meningkat tahap kejayaannya, manakala orang yang tak tahu prioritize kerja mereka akan biarkan sahaja tenaga semangat keazaman habis sia-sia tanpa ada kesan positif pada pergerakan atau kemajuan diri.

Jika anda tahu konsep hidup ringkas, anda akan pastikan hanya perkara penting dan perlu sahaja yang diberikan tumpuan. Mana saja yang tidak perlu elok diabaikan atau ditingglkan saja.

Seterusnya pastikan yang paling penting itu diserang ketika tenaga temangat keazaman kita di tahap tinggi.

Mungkin ramai ada masalah untuk tentukan mana yang penting dengan yang tidak penting. Biasanya ini berlaku jika anda tak ada matlamat yang jelas dan tidak pernah luangkan masa untuk memikirkan hala tuju dan strategi bagi mencapainya.

Seandainya anda masih tak jelas dengan matlamat atau hala tuju, maka mulakan dengan segera. Itu adalah urusan yang amat penting sekali jika anda mahu berjaya dalam kehidupan.

Dan jangan lupa untuk lakukan urusan memikirkan hala tuju dan matlamat kehidupan di kala tenaga semangat keazaman sedang tinggi. Gunakan pen dan buku nota untuk jalankan urusan penting tersebut. Selamat mencuba!

Total
9
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

  1. Setuju. Semangat memang macam bateri smartphone, suka perbandingan/ibarat yang dberikan.
    Memang betul pun. Kadang over charge, kadang memang tinggal 1 bar atau flat trus.
    Kena sentiasa ada power bank kat sebelah hehe…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge