ARI_7346ESDalam menjalani kehidupan dengan aktiviti berjual beli, tentu ada berbagai pengalaman yang dialami ketika berlakunya transaksi itu. (sumber gambar)

Anda tentu pernah rasa kecewa, marah dan tidak puas hati selepas membeli satu-satu barang.

Atau mungkin anda pernah merasa puas hati selepas membeli lalu terdorong untuk mewar-warkan pengalaman tersebut kepada orang lain pula?.

Saya cuba kongsikan 3 senario yang berlaku terhadap diri saya sendiri dalam masa 2 hari.

Kecewa dengan kedai Air-cond kereta

Pada hari Khamis yang lalu saya bercadang untuk menyelenggara air-cond kereta Myvi kepunyaan isteri. Hawanya dah tidak berapa sejuk terutama sewaktu kereta tersebut tidak bergerak.

Saya pergi ke satu kedai di pekan Masjid Tanah, minta foreman tengokkan apakah permasalah pendingin hawa tersebut.

Menurut foreman, seluruh sistem pendingin hawa perlu ditukar !.

Kosnya dianggarkan melebihi RM2,000 dan dia mencadangkan agar saya tukar kereta baru saja. hahaha !

Saya tangguh dulu saranan foreman tersebut untuk mendapat pandangan dari foreman lain pula yang saya kenal. Saya hanya minta dia tambah gas sahaja.

Dalam masa proses mengisian gas, beberapa kali foreman asyik nak meyalahkan cara saya dan isteri menggunakan kenderaan MyVi tersebut.

” Tidak boleh pasang paling ‘cool’ ! ” kata foreman itu.

” Jangan bawa kereta laju di lebuhraya cukup 70km/j sahaja “, tambahnya lagi.

Alasannya adalah compressor myvi kecil tidak mampu bertahan pada kelajuan lebih dari 80km/j.

Tips yang diberinya itu baru pertama kali saya dengar. Entah betul atau tidak, saya pun kurang pasti.

Kali yang ketiga dia komen lagi membuatkan saya agak kurang sabar. Foreman itu kondem bateri free-maintanace yang saya guna pula.

Katanya lebih elok guna jenis lama yang guna air.

Saya lalu timbulkan persoalan, ‘kenapa teknologi baru ini dicipta kalau hasilnya kurang baik dari yang lama?’.

Tidak ada jawapan yang bernas keluar dari mulutnya.

Perlahan saya mendekatkan diri dengannya lalu membisik ketelinganya,

“ Lu jangan asyik kondem barang customer, kalau macam ni saya tak mau datang lagi ” terus dia tersentak dan berkali-kali minta maaf.

Kecewa lagi dengan Penjual durian

Selepas membayar bil isian gas tadi saya pergi mengambil isteri di Klinik atas urusan check-up.

Selepas itu kami ke Hutan Simpan yang lokasinya terletak di antara Masjid Tanah menuju ke Sg Udang. Dua hari lepas anak saya beriya-iya nak makan durian bila nampak orang lain makan durian.

Anak saya memang suka makan durian, jadi tempat yang ada jual durian hanya di tepi jalan di Hutan Simpan tersebut.

Harga memang tengah mahal RM15 sekilogram walaupun jenis yang kurang baik, bagi jenis Musang (tanpa King) RM25 sekilogram bagi yang ada King RM65.

“Fuhh mahal nau” kata orang Melaka.

Tapi disebabkan anak beriya-iya nak makan, saya beli yang RM15 sekilogram.

Kalau di kampung masa saya jaga dusun arwah ayah dulu buah yang bersaiz kecil kami kelaskan kepada gred C atau “chai”.

Gred chai ini tidak busuk cuma saiznya saja kecil. Gred Chai dijual RM0.50 sekilogram berbanding dengan RM15 sekarang.

Sampai di gerai, Apek sipenjual durian bertanya “mau beli durian?”.

Saya jawab “ya! mau bagi anak makan”.

Apek tu hulur sample untuk dirasa kepada isteri dan saya menolak dengan baik sebab puasa.

Lepas isteri kata rasanya ok, apek tu pun belah satu demi satu durian yang ada atas meja jualan tanpa mengendahkan kami.

Lepas satu-satu apek tu potong lalu masukkan ke dalam karung. Saya tanya dalam hati, ‘bila apek ni nak berhenti?, aku nak 2 , 3 biji saja!’.

Bila dah masuk enam biji saya terpaksa berhentikan apek tu.

“Cukup cukup cukup” gesa saya dengan laju.

Bila sudah di kopek sudah dikira beli.

Jarum timbang menunjukkan 4kg lebih. “RM60” kata apek tu dengan bangga.

“Durian ini saya tak boleh pilih ka? saya mau yang Musang 4 biji sebenarnya” telahan saya yang sedang geram.

“ Aiya! takpa!, yang ini saya bagi orang lain encik mau yang Musang punya?” tanya apek yang sedang berubah air mukanya.

Saya sengaja bagi apek tu rasa bersalah supaya dia tidak buat kepada orang lain pula. Tapi terpaksa ambil juga buat yang dah dibuka tersebut.

Saya bayar RM60 dan balik dengan hati yang geram.

Penjual Nangka yang baik hati

Esok saya bercadang nak balik ke kampung untuk melawat emak.

Anak-anak kalau sebut saja pasal kampung masing-masing akan melompat kegembiraan. Kadang-kadang terpaksa diberitahu pada saat akhir supaya kerjanya tidak bertanya memanjang.

Mungkin sebab kampung saya ada banyak sungai dan air terjun.

Hari Jumaat, Kami bertolak dalam pukul 3 petang, ramai jugak yang balik arah utara. Ramai dari kalangan sahabat kita yang berbangsa Cina termasuk kereta dari Singapura ada di jalan raya.

Kami sampai lebih kurang pukul 7 malam di Kampung Batu Melintang,Tapah.

Selepas solat saya bawa keluarga makan malam di pekan Tapah. Emak saya tiada di rumah, mak dijaga oleh kakak yang sulung di kampung bersebelahan.

Selesai makan saya bawa keluarga pusing-pusing pekan Tapah.

Terjumpa dengan penjual buah nangka depan Pasaraya TF. Buah nangka memang antara kegemaran saya. Dengan pantas saya parking, terus ke peniaga tersebut.

Dia bersama seorang lagi pelanggan sedang memotong-motong buah nangka.

“Macam mana kira ni bang” saya tanya.

“ Alamak minta maaf bang dah habis la” jawab peniaga itu serba salah.

Memang saya tengok melambak kulit nangka yang sudah dipotong dibawah mejanya yang tinggal ada beberapa potong saja diatas meja.

“ Yang tu?” tanya saya lagi.

“ Yang ni tak berapa ok la, tak sampai hati nak jual rasa ok, cuma rupanya yang tak elok ” jawabnya sambil dia bagi saya rasa seulas.

Ok jugak rasa manis nya.

“ Tak pa bang potong je saya beli ” beritahu saya padanya.

Penjual nangka tu potongkan untuk saya dan siap bungkus anggaran 500 gram beratnya.

“ Abang ambil saja tak perlu bayar hilangkan rasa kempunan dulu ” beritahu peniaga nangka itu pada saya.

Wah!, baik sungguh hati abang ni.

Kalau macam ini memang jualannya akan lincin setiap hari.

Saya balik dengan rasa gembira dan akan war-warkan kepada kawan-kawan yang suka buah nangka.

Esoknya saya bawa anak-anak mandi air terjun Lata Kinjang di Chenderiang Tapah. Balik dari mandi manda sepanjang jalan ada banyak tapak jirat cina dan penuh dengan orang sedang membakar sesuatu diatas kubur.

Patutlah ramai yang balik ada aktiviti ritual agama rupanya.

Moral dari cerita 2 hari tersebut:

  •  Bangsa bukan penentu bijaknya kita berniaga.
  •  Jangan bagi pelanggan pulang dengan rasa kecewa dari premis kita.
  •  Jual apa yang pelanggan mahu.
  •  Beri pelanggan lebih daripada apa yang kita janji.
  •  Cuba buat satu impak yang besar walaupun dengan usaha yang kecil.
  • Selang selikan rutin perniagaan dengan beriadah
    (berkelah, masuk hutan, balik kampung dan sebagainya).

Artikel ini merupakan sumbangan dari En Sulaiman Yusof, salah seorang coach di Hidup Ringkas Dot Com Sdn Bhd.

Total
27
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

  1. Saya setuju bangsa bukan penentu kejayaan perniagaan. Kadang kala tafsiran kejayaan itu sendiri berbeza-beza. Biarlah untuk berpada asal pelanggan dan peniaga sama – sama berpuas hati, daripada untung besar tapi pelanggan datang sekali sahaja. Terima kasih atas perkongsian ini.
    azwan recently posted…Kisah Sebuah SedekahMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge