Perlukah aku tukar kerja? anda dalam dilema

By | 29/01/2013

Nasihat pakar motivasi dalam bab pekerjaan biasanya menyarankan agar memilih pekerjaan yang anda suka.

Ini yang anda dapat bila anda suka dengan kerja yang dibuat:

  • Tidak meletakkan kewangan sebagai perkara pokok – Anda tak akan letak syarat kewangan untuk melaksanakan kerja dengan baik. Cukup sekadar gaji yang dapat memenuhi keperluan hidup disamping ianya setanding dengan harga di pasaran.
  • Tidak merasa tertekan menjalani kehidupan – Kerja diserap menjadi aktiviti kehidupan anda. Bila anda melakukan kerja yang disukai, ia menjadi sebahagian daripada kehidupan. Tak ada pengasingan itu kerja dan ini kehidupan. Semua itu memberikan kepuasan dalam kehidupan.
  • Buat pembaikan secara spontan – Anda sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki tahap kemahiran dan hasil kerja tanpa dipaksa. Ini berlaku secara santai tanpa disedari kerana anda sering asyik dengan kerja tersebut. Tidak hairan anda menjadi semakin mahir dengan kerja yang dilakukan.
  • Tak kedekut ilmu – Anda akan sering bercakap tentang pekerjaan dalam keadaan apapun dan sentiasa sanggup berkongsi pengalaman dengan pekerja lain. Aura anda terserlah dan disukai orang lain.

Namun begitu, bagi anda yang makan gaji, bukan mudah untuk mendapat keseronokan dalam pekerjaan.

Cabaran dunia ekonomi yang penuh persaingan sekarang ini menimbulkan suasana tekanan dalam dunia perniagaan.

Semua itu membuatkan anda sukar untuk buat kerja tanpa tekanan. Boss tidak akan membiarkan anda buat sesuka hati tanpa ada peraturan. Anda tak ada kelebihan untuk mengikut masa yang anda sendiri tentukan.

Di mata majikan anda, ia terpaksa akur dengan kehendak dunia perniagaan, apa saja kerja yang dilakukan bukanlah untuk syok sendiri. Sebaliknya untuk memenuhi permintaan pelanggan atau pembeli.

Oleh itu pembeli lah sebenarnya yang menentukan apa yang mereka inginkan. Dan apa yang anda suka tidak semestinya disukai oleh pembeli.

Jadi, samada suka atau tidak, pasti ada tekanan dan pergeseran antara kehendak anda dengan kehendak majikan.

Apabila berlaku perbalahan antara kehendak anda berbanding kehendak majikan, anda terpaksa membuat pilihan samada beralah atau ‘boleh belah’.

Akhirnya sebagai pekerja anda tidak ada pilihan sendiri. Lalu, sedikit sebanyak timbul rasa tidak gembira.

Berhenti kerja dan berniaga

Mungkin ada yang mencadangkan, apabila berlaku pertembungan antara kehendak anda dengan kehendak majikan, dan anda berdegil untuk buat apa yang anda suka, berhenti kerja dan berniaga adalah jalan terbaik.

Namun perkara sama juga tetap akan berlaku, apabila anda berniaga

Anda akan sedar bahawa perniagaan akan laris hanya apabila anda mengikut kehendak pembeli. Jika anda memaksa pembeli terhadap apa anda suka dan bukannya apa yang mereka suka, lama kelamaan perniagaan akan gulung tikar.

Hasilnya, anda masih tidak ke mana-mana. Samada makan gaji atau berniaga dengan melakukan apa yang anda suka, mengikut citarasa yang anda suka.

Ini bermakna ada had yang perlu digariskan dalam mengejar impian melakukan apa yang anda suka.

Buat keputusan pekerjaan yang sesuai

Jika anda rasa tidak seronok dan tertekan dalam pekerjaan yang sedang dilakukan. Anda rasa pekerjaan itu tidak sebagaimana yang anda suka. Maka, perlukah anda menukar pekerjaan ?.

Bagaimanakah nak tentukan samada pekerjaan yang anda lakukan sekarang adalah bersesuai atau tidak.

Adakah anda perlu berhenti atau teruskan?.

Untuk menjawab soalan itu, saya tertarik dengan saranan yang dibuat oleh Dr. Muhammad Said Ramadan Al-Buti dalam tulisannya di dalam Syarah Al-Hikam.

Beliau menggariskan hanya ada satu faktor bagi membuat keputusan samada pekerjaan anda lakukan sesuai atau tidak:

“Jika sesuatu pekerjaan itu membuatkan anda jauh dari mendekati Allah, maka tinggalkan ia. Jika ia tidak menghalang anda dari mendekati Allah, maka teruskanlah” 

Seandainya anda mengambil pendekatan di atas sebagai garis panduan untuk menentukan pekerjaan yang sesuai, tidak akan timbul rasa suka atau tidak.

Keputusan dapat dilakukan dengan mudah dan anda tidak akan membuang masa mencari pekerjaan demi pekerjaan.

Author: Shubhi

Penulis merupakan seorang usahawan. Memiliki beberapa syarikat sendiri dan perkongsian dan diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Selesa dengan gaya hidup yang sederhana dan ringkas. Selain menulis dan membaca penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui program HR Biz Coaching. Jika anda ingin berbual dan ajak penulis minum kopi O, sila whatassp ke 013-3360807

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge