Permulaan mudah hidup ringkas

By | 04/06/2012

Tempoh manusia hidup atas mukabumi ini terlalu singkat. Jika kita lihat purata jangka hayat penduduk di negara kita, orang perempuan hidup dalam lingkungan 75 tahun dan orang lelaki dalam lingkungan 72 tahun.

Itu kalau maut tidak menjemput kita lebih awal. Kita mungkin hidup sihat sehinggalah maut datang, tapi hidup kita akan jadi lebih singkat walaupun panjang umur apabila kita habiskan tempoh 15 tahun akhir hayat kita dengan terlantar atas katil kerana sakit.

Biasanya kita jarang sedar diri selagi umur belum mencapai dalam lingkungan 25 tahun, itu dah kira cukup awal.

Itu menjadikan baki hidup kita tinggal lagi hanya 50 tahun dan bila ditolak pula dengan kemungkinan sakit terlantar kita hidup tinggal cuma 35 tahun.

Dan bagi mereka yang berumur 35 tahun ke atas sekarang tentu sudah dapat rasakan betapa tempoh satu tahun berlalu begitu pantas sekali. Umur kita meningkat laju sampai tak nampak apa yang telah kita lakukan dalam setahun yang lalu.

Oleh itu jika kita tak ada satu dasar hidup yang mudah sudah pasti sedar-sedar kita sudah nazak di atas katil dan pada masa itu semuanya sudah terlambat.

Masa yang terlalu singkat yang kita ada membuatkan kita tidak mungkin mampu melakukan banyak perkara. Jika kita lihat mereka yang asyik bertukar haluan, biasanya mereka berakhir dengan kerugian tanpa mencapai apa apa yang signifikan.

Mereka yang melanjutkan pelajaran sampai Phd menghabiskan masa cukup lama sebelum dapat menyumbang atau menggunakan ilmunya yang sedikit tetapi mendalam. Itu baru satu Phd!

Jalan penyelesaian pada pengisian masa hidup yang cukup pendek tersebut adalah dengan mengamalkan gaya hidup ringkas.

Ia bermakna memberikan tumpuan pada hanya perkara perkara penting saja dalam hidup kita dan meninggalkan terus selain daripadanya.

Perkara penting itu pula mestilah sesuatu yang amat penting yang mampu memuaskan jiwa kita sahaja. Cara mudah untuk memulakan gaya hidup ringkas sekarang juga adalah dengan

  1. Buat senarai apa yang paling penting dalam hidup kita
  2. Tinggalkan terus segala yang lain yang tidak penting.

Sebagai contoh, jika anda ada terlalu banyak aktiviti yang berlebihan sampai tak ada masa untuk bersama dengan keluarga, mungkin anda perlu fikirkan beberapa aktivi yang perlu disingkirkan terus agar ada ruang bersama dengan mereka yang tersayang.

Oklah setakat itu saja kali ini untuk permulaan pelancaran amalan hidup ringkas kita.

Mari kita cari satu masa sendirian yang sesuai untuk memerah otak kita dengan ikhlas bagi menyediakan senarai perkara penting dalam hidup kita. Saya juga sedang memikirkan senarai saya sendiri.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge