Perniagaan kedai basikal Ah Hu kat Pekan Penanti, Bukit Mertajam yang ada sekarang tu dah lama wujud.

Zaman saya kanak-kanak lagi, ketika dok belajar mengaji Quran kat Masjid lama Kubang Semang, perniagaan Kedai Basikal Ah Hu tu dah ada.

Tapi masa saya kecil waktu tu, perniagaan Kedai Basikal tu diuruskan oleh bapanya yang kami panggil Ah Tek.

Sampai sekarang saya masih ingat macam mana rupa Ah Tek bapa kepada Ah Hu. Orangnya nampak lebih garang dan tegas. Tapi cara kerjanya sama sahaja, tekun dan berdedikasi.

Ah Hu ambil alih perniagaan kedai basikal

Saya tak ingat bila Ah Hu mula ambil alih perniagaan kedai basikal kat Pekan Penanti tu. Yang pastinya, bila Ah Hu ambil alih, bapanya masih ada lagi ketika itu tapi dah tua dan rambunya dah beruban penuh kepala.

Ah Hu ada abang, tapi hanya dia saja yang berminat tolong bapaknya sejak muda. Abangnya cari makan dengan kerja di tempat lain. Lagipun bukan mudah nak ambil alih perniagaan yang tak berapa glamour tu.

Kalau tak tekun, tak ada minat, memang tak dapat nak berikan tumpuan pada perniagaan kecil buka kedai basikal saban hari bertahun-tahun lamanya.

Itulah yang ada pada Ah Hu.

Berbeza sikit dari mendian bapanya, Ah Hu bermuka manis, sering tersenyum dan kelihatan seperti seorang yang Happy go lucky.

Dia sering berseluar pendek, tak pakai baju sambil buat kerja melayan para pelanggannya dari kanak-kanak sehingga ke orang tua.

Baru-baru ini saya lihat posting kawan kat kampung di dalam FB.

Dia kongsikan gambar Ah Hu sedang baiki basikal anaknya. Dalam gambar tu, saya lihat cara Ah Hu buat kerja masih tetap sama dari zaman saya kanak-kanak dulu sampai sekarang.

Dia duduk atas sebuah kerusi kecil yang rendah, nampak macam bertinggung dan tangan kedua-duanya hitam berminyak sedang pulihkan tayar basikal anak kawan saya itu.

Suasana kedai basikal itu juga kekal sama. Dia masih pakai seluar pendek. Cuma bezanya, saya lihat Ah Hu dah pakai baju ketika buat kerja.

Antara Cina paling bahagia di Penanti

Ramai kawan-kawan kampung yang sekarang dah tinggal di merata tempat komen kat posting tu. Memang semuanya terimbau semula zaman kanak-kanak dan remaja ketika di kampung dahulu.

Saya komen, “Ah Hu ni saya rasa antara Cina paling bahagia kat Pekan Penanti tu”, tulis saya pada posting tersebut.

Kawan-kawan nampaknya setuju. Mereka komen walaupun dia bukannya kaya, tapi kehidupannya stabil dan konsisten dari dahulu sampai sekarang. Ah Hu dapat sara keluarganya dari kecil sampai besar dari perniagaan kedai basikal itu.

Kenapa saya kata dia antara Cina paling bahagia kat Pekan Penanti tu?

Bagi saya, kalau dia masih kekal buat kerja yang sama, dengan cara yang sama, dengan kualiti dan ketekunan yang sama berpuluh-puluh tahun lamanya secara konsisten, apa lagi yang boleh kita panggil selain dari bahagia dengan apa yang dilakukan.

Itulah yang saya lihat pada Ah Hu.

Kat tempat saya tinggal di Selangor inipun ada kedai basikal. Bila perlu saya bawa basikal anak-anak untuk dibaiki ke kedai itu. Juga dipunyai oleh seorang Cina. Tapi saya boleh lihat perbezaan ketara cara buat kerja dari segi kualiti antar Cina itu dengan Ah Hu kat kampung.

Ketika saya berniaga kedai makan di Pekan Penanti satu ketika dahulu, Ah Hu merupakan antara pelanggan tetap saya. Dia akan ulang alik dengan basikalnya untuk pekena Kopi O antara 3 ke 5 kali sehari.

Dalam pukul 11 lebih dia akan datang makan nasi sepinggan. Lauk kegemarannya adalah gulai ikan bawal. Itulah makanan rutinnya bila datang ke kedai makan saya.

Setiap kali sampai, Ah Hu tak pernah lokek dengan senyuman. Ditambah dengan gaya seluar pendek tak berbaju itu, senyumannya berambah mesra bagi orang yang kenal dia.

Bila selesai makan, dia balik semula ke kedainya sambung kerja. Nanti dia datang balik kena secawan kopi O kaw. Macam itulah Ah Hu.

Tak perlu kaya untuk bahagia

Saya dah tak duduk kat kampung, dah buat macam-macam kerja.

Dari makan gaji, berhenti untuk berniaga, perniagaan tak menjadi, makan gaji semula, berhenti pulak dan berniaga semula sampai sekarang. Buat beberapa perniagaan lagi… Ah Hu kekal macam tu juga, konsisten dengan kerja di kedai basikalnya.

Saya buat perubahan demi perubahan atas faktor mencari kepuasan juga. Atau mungkin mencari kebahagian hidup.

Bila dikenang semula segala perjalanan yang dilalui. Saya sedar bahawa kebahagaiaan yang kita cari itu sebenarnya sentiasa sudah ada di mana saja kita berada. Ertinya, di mana anda berada sekarang, apa saja yang anda buat sekarang, di situ dah ada semua yang anda cari.

Tapi biasanya, kita semua terpaksa buat satu perjalanan yang amat jauh dan lama untuk sedar bahawa kebahagian yang kita cari itu sebenarnya sudah ada di tempat kita bermula tadi.

Itulah kehidupan. Kalau tak keluar, tak teroka dan tak cari, tak sedar kedudukan diri.

Ada orang yang beruntung.

Dia kekal buat apa yang dia sedang buat, kuasai kemahiran, suka dengan apa yang dia buat dan terus tenggelam dengan kerjanya sampai tak terasa yang dia bekerja. Dia seperti dah nampak bahawa kebahagiaan sentiasa berada di tempat dia berada.

Tak payah nak melencong kembara jauh untuk mencari jawapan bahawa kebahagian yang dicari ada pada tempat dia bermula dahulu.

Bahagia sudah ada sekarang

Cuba lihat apa yang anda mahu sebenarnya. Semua orang mahukan keselesaan, masa dan wang yang mencukupi untuk makan dan minum, untuk dapat luangkan masa bersama keluarga, kawan-kawan dan menikmati perjalanan hidup yang bermakna di dalam masyarakat.

Jika anda bukan masuk dalam golongan fakir dan miskin, semua itu sudah ada sekarang sebenarnya. Makan dan minum, masa bersama keluarga, masa bersama kawan-kawan, dan masa bersama masyarakat.

Tak perlu pergi jauh dan ambil masa yang lama sangat untuk kejar harta kekayaan bertimbun-timbun, ditimpa berbagai dugaan naik dan jatuh tertiarap, dan berjaya kumpulkan banyak kekayaan dan akhirnya baru nak luangkan masa dengan keluarga, kawan-kawan, dan masyarakat. Sedangkan diri dah tua, anak-anak dah dewasa dan kawan-kawan ramai yang dah meninggal dunia.

Bukan nak suruh padamkan cita-cita tinggi besarkan empayar perniagaan.

Boleh! malah itulah yang perlu dilakukan jika mahu berkhidmat pada masyarakat, bangsa dan negara. Tapi perlu berusaha dengan bijak. Bina kerjasama kumpulan untuk mendapatkan hasil yang lebih besar dengan kerja dan masa yang sedikit.

Outsource pada mereka yang lebih fokus dan mahir dengan kerja mereka dan anda pula hanya fokus pada kerja yang anda mahir. Dengan berbuat begitu, masa yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik adalah lebih pantas dan murah secara keseluruhannya.

Buat kerja bijak sedemikian membolehkan anda luangkan masa untuk keluarga, kawan-kawan dan masyarakat. Dan dalam masa yang sama, kerja masih tetap hebat, insyaallah.

Total
18
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge