Petua hancurkan belenggu: Tahan dikritik!

By | 26/12/2012

Sambungan dari sini

Hasil dari jual petai memang lumayan. Orang pekan ramai yang kemarok makan petai, sebab itu petai perlu dibawa ke pekan di mana pokok petai tak ada.

Lumrah manusia benda yang tak ada akan dikenang dan didambakan. Sebaliknya bila benda ada di depan mata, kita jerkah suruh ketepi kerana menghalang pemandangan.

Dalam kes petai, saya bawanya dari Kedah untuk dijual di kawasan pasar malam Seberang Jaya. Petai di isi penuh dalam lori menuju ke mana-mana pasar malam yang ada. Untuk berniaga di pasar malam perlu ada tapak kalau tak ada tapak kita boleh buat:

  1. Tunggu dulu jangan berniaga sehingga berjaya mendapatkan tapak melalui permohonan. Inilah cara yang betul luruis mengikut undang-undang perbandaran.
  2. Teruskan berniaga dengan mencari jalan terbaik. Cari tapak orang yang tak datang berniaga atau berniaga di mana-mana pinggir jalan berhampiran pasar malam. Cara begini adalah salah mengikut undang-undang dan layak disaman oleh pihak berkuasa. Kalau sanggup menanggung risiko boleh dilaksanakan.

Kalau nak tunggu semua ada, alamat tak berniaga dan tak ada pendapatan. Saya pilih cara kedua dan cari jalan untuk minimumkan risiko. Pendekatannya adalah dengan memastikan perniagaan saya habis sepantas mungkin. Semakin cepat saya berniaga dan balik semakin kurang risiko disaman.

Setiap kali sampai di pasar malam, saya akan pantau suasana di sepanjang jalan di pasar malam tersebut. Saya perhatikan di mana ada ruang kosong dan di mana ada lagi orang jual petai. Saya perhatikan kesemua harga yang ditawarkan oleh pesaing.

Selesai semua aktiviti pemantauan tersebut. Saya mula melonggokkan semua petai berselerak pada kawasan yang sesuai dan mula menconteng tanda harga pada kertas besar. Biasanya harga yang ditawarkan adalah kurang 10% daripada harga terendah yang ditawarkan oleh pesaing.

Satu lagi kelebihan yang saya tawarkan pada pembeli yang tak ada pada pesaing lain adalah dengan buat satu longgokan besar dan jerit kuat-kuat, “Petai-petai, murah-murah, pilih petai sendiri…”. Saya tawarkan pada pembeli untuk memilih sendiri petai yang mereka suka ditambah dengan harga yang sedikit murah.

Apa lagi! setiap kali saya beroperasi, berebut pak cik makcik bertinggung memilih petai yang saya jual. Bagi mereka yang masih mintak kurang dan minta lebih petai walaupun harga telah amat murah, akan saya sedekahkan saja tanpa ambil bayaran. Ini membuatkan mereka rasa serba salah dan menyesal mintak kurang.

Begitulah operasi kilat jual petai saya yang biasanya akan habis licin dalam tempoh tak sampai dua jam. Orang lain masih berniaga, saya yang biasanya datang lebih lewat dari mereka akan pulang awal dengan barang habis terjual licin!. Pengalaman ini bila dikenang semula membuatkan saya tersenyum lebar.

Tercabar untuk buang rasa malu

Setelah beberapa hari buat aktiviti rahsia jual petai tersebut akhirnya ramai juga kawan-kawan yang tahu saya berniaga petai. Mereka memerli saya hanya berani jual di kawasan luar tetapi malu untuk berniaga di kampung sendiri.

Memang hakikatnya saya merasa amat malu untuk ditemui oleh orang kampung sedang menjual petai di pasar malam. Maklumlah semua orang tahu saya belajar agak ok tapi berakhir dengan menjaja petai di pasar malam.

Malu ini tidak mendatangkan kesakitan pada anggota fizikal, tapi jiwa yang lemah biasanya tak tahan bila batin menerima kritikan pedih walaupun apa yang kita buat tidak salah, lumrah manusia!.

Saya terjumpa dalam buku Napolean Hill mengatakan antara perkara yang menghalang manusia maju kedepan adalah kerana dibelenggu ketakutan menerima kritikan. Jika kita berjaya membuang belenggu ini, insyallah kita boleh maju.

Saya lalu menebalkan muka berniaga di pasar tani di depan kampung sendiri. Awal-awal pagi lagi saya menerima tekanan hebat yang cukup memedihkan telinga. Kalau tak tahan daulat mahu rasanya saya berpaling dan terjun ke dalam Ban Busuk (Sungai busuk) di belakang saya untuk menyelam menyorokkan muka.

Tapi saya tahan. Ayat pertama yang saya dengan berbunyi, “laaaaa Bihi! hang penat-penat mengaji tinggi untuk jual petai kat sini?”. Orang kampung panggil saya Bihi dan makcik yang kata macam tu saya panggil Mak Chak.

Saya tersenyum sumbing dan sempat menjawab dengan lemah, “lebih bagus saya jual petai dari mencuri barang orang Mak Chak…”

“Betul juga tu, hang memang baguih dan rajin…” itu jawapan yang saya terima dan dia membeli seberkas petai dari saya. Saya tambah lagi satu berkas sebagai hadiah menguji ketahanan jiwa saya.

Alhamdulillah saya lepas semua ujian tersebut. Saya tak hilang sebelah telinga kerana menahan malu sebaliknya saya belajar menerima kritikan yang saya yakin amat penting sebagai bekalan di masa mendatang.

Tiap yang mula akan berakhir, begitu juga musim petai bukannya ada sepanjang masa. Habis semua petai saya jual dan bekalan sudah tiada lagi. Saya mula tidak ada lagi barang untuk diniagakan. Otak menjadi ligat memikirkan apa pulak yang nak diniagakan di pasar malam.

Saya lihat pasar malam merupakan lubuk duit segera jika tahu caranya dan istiqamah dengan usaha yang dilakukan. Tapi nak berniaga apa pulak….?……bersambung.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Petua hancurkan belenggu: Tahan dikritik!

  1. diana

    Betul tu…pasar malam memang lubuk. Bagi yang ngaji tinggi memang ada perasaan macam tu tapi apa nak buat….REDAH JERRR

    Reply
  2. GoodGood Ice-Cream

    Meniaga ni kalau laku, ramai yang puji. Kalau tak laku ramai lah yang keji. Nak tahan dikeji tu kena ada mental dan semangat yang kuat. 🙂

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge