Petua Ramadan – Peluang mulakan puasa sunat Isnin & Khamis

By | 30/07/2012
Puasa isnin khamis

Orang sering bercakap bulan ramadan sinonim dengan bulan meninggalkan tabiat merokok. Saya cuba membawa sedikit kelainan dengan mengambil kesempatan ramadan ini dijadikan landasan permulaan untuk mengamalkan puasa sunat Isnin dan Khamis.

Bagi yang suka kepada kebaikan, tentu amalan puasa sunat Isnin dan Khamis menjadi salah satu cita-cita untuk dilaksanakan. Tapi biasalah, bukan semua benda baik mudah untuk dilaksanakan. Walau bagaimanapun itu hanyalah puasa sunat dan puasa yang wajib adalah puasa di bulan Ramadan.

Apa kelebihan berpuasa setiap hari Isnin dan Khamis?, saya rasa tak perlu diulang lagi kelebihannya. Puasa sahaja merupakan amalan yang diperakui di seluruh dunia perubatan sebagai satu cara detoksifikasi. Iaitu proses pembuangan bahan tak guna atau beracun dari dalam badan kita.

Kajian juga menunjukkan puasa secara berselang seli jika diamalkan secara konsisten banyak memberikan faedah kepada kesihatan tubuh badan. Ini memberikan peluang untuk badan menyahkan segala toksik yang ada.

Memandangkan keadaan dunia yang penuh dengan pencemaran ditambah lagi dengan makanan kini yang juga tak kurang tercemarnya, puasa selang seli menjadi seperti satu keperluan.

Dari segi amalan yang dianjurkan oleh Nabi Junjungan Mulia kita terhadap amalan puasa sunat, puasa Isnin dan Khamis merupakan satu anjuran yang sahih dan dipersetujui oleh jumhur ulama.

Kalau tak mampu boleh juga diamalkan puasa setiap kali awal, pertengahan dan hujung bulan Islam. Faedahnya adalah terlalu nyata dan mereka yang mengamalkannya sahaja dapat merasakannya.

Saya ingin berkongsi sedikit dengan pembaca bagaimana saya mula mengamalkan puasa sunat Isnin dan Khamis sejak 7 tahun yang lalu. Mungkin sesiapa yang berminat untuk mengamalkannya boleh menjadikan cara saya sebagai panduan. Lagipun ia ternyata berkesan dan selama 7 tahun itu hanya sekali saya tinggalkan puasa pada hari Isnin namun saya gantikan keesokan harinya. Berikut, bagaimana saya lakukannya:

  • Hayati bulan ramadan dengan tenang dan jangan buat penambahan amalan yang terlalu ekstrem sehinggakan menjadi amalan kita hangat-hangat taik ayam. Memang Rasulullah menambahkan amalan ibadah dengan lebih banyak sepanjang bulan ramadan, tapi perlu diingat Rasulullah adalah seorang yang amat konsisten beribadah sepanjang hidupnya. Bukan macam kita yang mana amalan macam yo-yo ikut musim dan malapetaka yang melanda.
  • Beri tumpuan pada pertingkatkan kualiti puasa itu sendiri daripada melencong melakukan amalan lain secara mendadak dan akhirnya terbengkalai setelah tamat sahaja bulan puasa. Antara perkara yang perlu kita lihat dalam pertingkatkan amalan puasa adalah:
    • Amalan berbuka – ikut sunah sebaik mungkin dan makan ala kadar untuk menambahkan tenaga dan bukannya untuk memuaskan nafsu yang membuak-buak. Tanda amalan pemakanan anda betul bila anda lansung tidak merasa lapar dan dahaga keesokan harinya ditambah dengan rasa bertenaga seperti biasa.
    • Amalan bersahur – Jaga juga pemakanan dan jangan pulun macam nak cover keseluruhan waktu tak boleh makan esok hari dengan tambah berpinggan-pinggan. Makan sekadar lapik perut dan banyak minum air suam. Jangan lupa susu dan tamar.
    • Perhatikan sikap anda sewaktu berpuasa di siang hari – Ia sepatutnya lebih baik tenang dan selesa daripada hari-hari lain. Kawal sikap tamak, marah dan bersangka buruk dengan sentiasa sedar apa yang sedang kita rasa dan lakukan sepanjang hari.
    • Banyak berfikir – kalau tak tahu apa yang nak difikirkan, lihat sekeliling anda dan bertanya soalan yang meransang minda. Fikirkan bagaimana anda boleh menjadi lebih baik selepas bulan ramadan ini.
    • Banyak melihat – Kita sering celik tapi tak pernah melihat apa yang berlaku. Lihat kehebatan ciptaan Allah dan bertafakur memikirkannya. Mendongak ke langit yang biru sahaja sebenarnya mampu membuatkan kita merasa kagum. Jangan sibuk melihat anak dara orang ketika membeli juadah berbuka kerana di situ banyak yang sedang berbuka aset mahal mereka. Kalau boleh elakkan suasana sebegitu. Kalau tak pergi lagi bagus.
    • Perkemaskan segala amalan wajib – Solat antara amalan wajib yang kalau nak dijitukan terlalu banyak ruangnya. Anda boleh beri tumuan pada itu sahaja sepanjang sebulan ramadan ini untuk cukup menyibukkan diri anda.
  • Dapatkan kelazatan berpuasa. Dengan memberikan tumpuan pada item no 1 di atas, anda sebenarnya akan menemui kelazatan amalan berpuasa. Ini memberikan motivasi untuk anda mengharapkan ramada berlaku sepanjang tahun.
  • Tanam azam untuk terus berpuasa selepas habisnya Ramadan. Dengan kelazatan berpuasa anda mula impikan agar anda boleh berpuasa sepanjang tahun. Mula berazam untuk meneruskanya selepas ini dan jangan lupa berdoa agar diberikan kekuatan untuk anda berpuasa sunat pula selepas Ramadan.
  • Sambung dengan puasa syawal 6 hari sebaik sajaha selesai menyambut Aidil Fitri. Ketika merayakan Aidil Fitri, jangan belasah makan macam orang kemaruk. Makan macam biasa ikut jadual. Makan hanya bila lapar dan berhenti bila kenyang. Jangan terlalu nak ambil hati orang sehingga memaksa diri menyumbat apa saja yang dihidang. Ziarah bermaafan lebih utama, dan bukannya makan jamuan.
  • Selesai sahaja puasa enam, sambung pula dengan puasa Isnin atau Khamis pada hari mana yang datang terlebih dahulu. Jangan ingat kelazatan bila tak puasa, tapi ingat kelazatan bila berpuasa dan teruskan setiap minggu walau apapun yang bakal terjadi.
  • Lawan bisikan syaitan. Syaitan atau nafsu kita sendiri mula membisikkan idea kononnya kita nak tunjuk warak dengan buat amalan puasa sunat. Biarkan saja bisikan tersebut dengan menjawab kalau aku tak puasa juga, sampai bila aku tak boleh berlatih menahan daripada berlagak kerana berpuasa. Teruskan amalan puasa anda walaupun memang benar ada sedikit rasa ujub timbul kerana berjaya puasa sedangkan orang lain tak puasa. Lawan perasaan itu dan bukannya meninggalkan puasa.
  • Jika ada sesuatu menghalang dan tak dapat dielakkan memaksa anda berbuka pada Isnin atau Khamis, segera gantikannya pada keesokan harinya. Ini mampu memberikan mesej jelas pada diri kita bahawa kita benar-benar serius. Selepas ini halangan itu tak akan mampu menggugat kita lagi.

Cuba amalkan, insyallah berjaya…selamat mencuba.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

3 thoughts on “Petua Ramadan – Peluang mulakan puasa sunat Isnin & Khamis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge