BW-Hands-Typing-On-A-LaptopSamada anda seorang yang makan gaji atau anda seorang usahawan, saya yakin sebahagian besar daripada masa anda, akan dihabiskan samada dengan melakukan aktiviti yang anda perlu buat, ataupun aktiviti yang anda suka buat.

Jika anda semak semula semua aktiviti rutin saban hari, saban minggu dan bulan, paling banyak aktiviti yang akan anda habiskan masa adalah dengan melayan aktiviti yang anda suka buat.

Biasanya, masa yang diperuntukkan untuk melaksanakan segala aktiviti yang anda perlu buat adalah amat terbatas. Tambahan pula apa yang perlu dibuat itu anda tak berapa suka.

Perkara yang anda perlu buat

Apa sebenarnya perkara yang anda perlu buat?

Hanya anda sendiri tahu apa perkara tersebut. Ia banyak bergantung pada sasaran yang diletakkan dalam hidup untuk anda capai dalam tempoh jangkamasa yang pendek, sederhana dan panjang.

Namun begitu ada beberapa perkara asas yang anda perlu buat. Tak kisah walau apapun sasaran yang diletakkan untuk dicapai dalam jangkamasa pendek atau panjang.

Antara perkara yang anda saya dan semua orang perlu buat adalah seperti berikut:

  1. Tambah ilmu
  2. Beribadat
  3. Jaga makan
  4. Bersenam
  5. Berehat

Cuba semak diri anda sekarang.

Dalam 5 perkara asas tersebut mana satu perkara yang anda perlu buat itu masih tidak menjadi perkara yang anda suka buat ?

Bila perkara yang anda perlu buat tidak menjadi perkara yang anda suka buat, maka akan timbul sedikit masalah untuk maju ke depan.

Maklumlah, benda yang anda tak suka katakan!, memang susah nak buat walaupun anda perlu buat.

Sebab itu timbulnya perkataan ‘Disiplin’, yang bermakna,

“Keupayaan melakukan perkara yang anda perlu buat, walaupun dalam keadaan anda tak suka buat”

Orang yang ada disiplin akan mengelak daripada mencari alasan. Malah dia tak perlu mencipta alasan kenapa dia tak perlu bangun dan laksanakan segala perkara yang perlu dilakukannya.

Itulah yang membezakan antara orang yang berjaya dengan orang yang biasa-biasa saja. Yang satu menerapkan nilai disiplin dalam kehidupannya dan yang satu lagi amat bijak mencari alasan.

Apa yang saya suka buat

Ada banyak perkara yang saya suka buat. Ada yang buruk dan ada yang baik.

Perkara yang kita suka buat walaupun tidak menjadi satu kesalahan, jika ianya tidak mendatangkan kebaikan dalam membina potensi diri kita adalah tetap buruk, walaupun ia mungkin baik untuk orang lain.

Sebab itu saya sering promosikan ayat hidup ringkas ini,

“Buat yang perlu sahaja dan tinggalkan selainnya…”

Berbalik pada tajuk kecil di atas, apa perkara yang saya suka buat? Saya boleh senaraikan beberapa aktiviti seperti di bawah:

  1. Beli dan baca buku – Ini aktiviti yang saya suka buat sejak tahun 2000 lagi. Sebelum itu bukan tak suka baca buku, tapi bada secara memaksa diri sebab saya tahu ia perlu saya buat walaupun saya tak suka.
  2. Bersenam – Ini juga antara perkara rutin yang saya suka buat. Saya akan berjalan kaki lebih kurang satu jam sehari. Biasanya di waktu pagi sebelum sarapan, mandi dan bersiap pergi pejabat. Dalam masa sejam berjalan kaki itu saya akan cuba ringankan kepala mengelakkan diri dari memikirkan perkara yang negatif. Masa itu juga saya akan cuba kawal minda untuk fokus dan menguasai apa yang saya mahu fikirkan. Bersenam ini juga saya mulakan dengan memaksa diri sejak awal tahun 2000 lagi.
  3. Berpuasa – Ini juga saya suka buat sekarang. Malah ia akan dibuat secara mudah tanpa ada paksaan. Setiap tahun selepas selesai sebulan ramadan, saya akan puasa 6 pada Syawal kedua. Kemudiannya terus sambung dengan puasa Isnin dan Khamis tanpa henti setiap minggu. Saya dah buat sejak berbelas tahun yang lalu dan alhamdulillah masih keal sampai sekarang. Saya berdoa agar Tuhan berikan kekuatan untuk saya amalkannya sampai mati, Insyaallah.
  4. Menulis – Ini juga salah satu perkara yang saya suka buat. Bermula dengan paksaan juga sejak tahun 2008 (kalau tak salah ingatan saya). Banyak manfaat menulis ini, paling ketara adalah keupayaan untuk memahami sesuatu dan menyampaikan apa yang kita faham supaya orang lain juga turut faham.
  5. Melayari internet – Ini juga saya suka buat dan saya tahu masa yang diperuntukkan untuknya adalah berlebihan. Termasuklah membaca email, membaca komen, membaca berita online, membaca maklumat menarik dan sebagainya. Masalahnya adalah leka. Bila kita suka, kita mudah leka sedangkan ada banyak lagi perkara yang kita perlu buat sedang menunggu. Saya masih mendisiplinkan diri untuk kurangkan aktiviti ini.
  6. Berjumpa kawan – Ini juga saya suka buat. Banyak masa saya peruntukkan untuk aktiviti ini tak kira di mana saja saya berada. Cuma sekarang saya terpaksa merancang dan memilih masa dan siapa yang saya nak jumpa. Untuk pastikan segala pertemuan ada manfaat dan tidak membuang masa dan lagha.

Masih ada banyak lagi perkara yang saya suka buat. Sudah tentu yang saya suka buat tetapi sebenarnya tidak mendatangkan impak yang besar dalam hidup saya tak disenaraikan di sini. Biar saya saja yang tahu.

Apa yang saya nak kongsikan di sini adalah betapa perkara yang saya suka buat di atas banyak membantu saya mengharungi hidup sebagai seorang usahawan.

Banyak perkara yang saya suka buat adalah sama dengan perkara yang saya perlu buat. Jadi ianya memudahkan saya mencapai apa yang disasarkan.

Tetapi semuanya bermula secara paksaan terlebih dahulu sebelum ia berjaya menjadi perkara yang saya suka buat.

Disiplin diri untuk suka  apa yang anda perlu buat

Untuk memudahkan anda mencapai apa saja sasaran, pastikan anda tahu apakah aktiviti yang anda perlu buat.

Senaraikan kesemuanya dan lihat mana satu yang anda suka buat dan mana satu yang anda tak suka buat.

Yang anda tak suka buat tetapi anda tahu inaya perlu dibuat, mulakannya dengan memaksa diri. Berdisiplinlah sampai ianya berjalan lancar tanpa paksaan.

Kejayaan menjadi mudah apabila perkara yang anda perlu buat untuk mencapai kejayaan itu, dalam masa yang sama adalah perkara yang anda suka buat.

Total
1
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

  1. mula2 paksakan duiri dulu..
    lepas tu disiplin kan diri..
    alhamdulilah Tuan dah istiqomah berbelas2 tahun, lebih2 lagi bab beribadat/bekerja pada yang Rabb..
    SubhanaLLah..

  2. Salam. Terbaik untuk diamalkan. Selalu baca blog Tuan tetapi lama tak komen. Cuba hendak istiqamah puasa sunat isnin dan khamis, bersenam dan berjumpa ramai kawan (networking) InshaaAllah azam tahun 2015. Terima kasih Tuan Shubhi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge