Pupuk tabiat berjaya ketika makan gaji

By | 20/02/2013

sea-shells-on-beach-1500x1000Selain daripada berjumpa dengan usahawan lain dari kalangan kawan-kawan, saya sering berjumpa dengan dua golongan utama seperti berikut:

  • Mereka yang makan gaji dan teringin sangat nak berniaga. Ini kumpulan yang paling ramai dalam masyarakat kita terutamanya dari kalangan orang Melayu. Ramai yang buat kerja sampingan dengan menjalankan perniagaan bagi menamabah pendapatan.
  • Mereka yang tak ada pekerjaan tetap dan menyara kehidupan dengan buat apa saja asalkan halal dan dapat duit. Samada melakukan berbagai-bagai perniagaan ikut musim atau bekerja sebentar dengan orang dan berhenti bila tidak diperlukan.

Satu perkara sama yang kedua-dua kumpulan di atas berkongsi adalah,

‘kedua-dua mereka memerlukan duit samada untuk menampung keperluan hidup, ataupun sebab tak cukup dengan apa yang dah ada.’

Seperti kebanyakan orang lain, apa yang kedua-dua kumpulan ini dapat adalah rasa tak puas hati dengan apa yang mereka lakukan.

Mereka akan membandingkan diri mereka dengan kumpulan usahawan lain yang fokus pada satu atau beberapa perniagaan yang kelihatan jauh lebih berjaya dan hebat pencapaiannya.

Mereka juga cemburu (yang positif) melihat usahawan seperti itu membesar dan terus membesar samada dari segi pendapatan, kakitangan atau perniagaan itu sendiri.

Dari situ timbul soalan yang saban waktu menghantui fikiran,

‘bila agaknya aku akan temui satu perniagaan yang sesuai untuk diberikan sepenuh tumpuan dan kemudian, membinanya ke tahap yang tertinggi?’

Itulah dilema ramai orang yang ingin menjadi usahawan berjaya.

Dari situ juga timbul banyak soalan bagaimana para usahawan lain lakukan untuk berjaya dan apa yang perlu dibuat untuk mengecapi kejayaan yang sama.

Satu perkara pasti yang saya tak boleh berdusta adalah untuk berjaya dalam perniagaan dan menjadi usahawan yang hebat bukanlah satu perkara mudah.

Saya tak perlu berbohong untuk menarik pembaca menjadi usahawan dengan berkata saya punyai teknik mudah untuk berjaya dalam perniagaan. Tak ada formula sebegitu.

Mereka yang terpengaruh dengan dakyah palsu cepat kaya, cepat berjaya dan mengecapi kemewahan serta berjaya dalam perniagaan dengan mudah dan cepat kebiasannya akan putus asa dan sedar bahwa mereka telah tertipu.

Nasihat saya kalau nak berjaya

Bagi kedua-dua kumpulan yang saya sebutkan diatas, jika anda sudi mendengar cadangan saya, saya sarankan jangan risau dan teruskan buat apa yang anda sedang buat.

Tetapi anda hendaklah berpegang pada satu prinsip penting dalam memastikan anda akan berjaya sebagai usahawan dalam satu perniagaan yang anda ceburi setelah menemuinya kelak.

Prinsip tersebut adalah:

“Walau apapun yang anda lakukan, pastikan anda melakukannya sebaik mungkin”

Pepatah orang tua-tua, “seperti melepaskan batok di tangga” perlu dielakkan sama sekali.

Apa saja yang anda lakukan, lakukannya dengan cara paling baik.

Jika tidak jangan lakukannya sama sekali.

Tanam azam sekarang juga

Bagi mereka yang makan gaji.

Anda perlu amalkan sikap yang saya sebutkan di atas samada anda suka atau tidak suka dengan apa yang anda sedang lakukan.

Ini akan membentuk disiplin diri memberikan yang terbaik pada majikan yang mengupah anda dan seterusnya membina rekod cemerlang.

Bagi mereka yang berniaga macam-macam, sekejap itu sekejap ini, jangan risau, teruskan sehingga anda bertemu sesuatu yang berkenan di hati dan sesuai.

Tapi ingat!, lakukan ia sebaik mungkin.

Untuk pastikan apa saja yang anda lakukan itu adalah yang terbaik anda perlu mengamalkan beberapa langkah di bawah:

  1. Sentiasa fikirkan idea bagaimana ianya boleh dilakukan dengan cara yang lebih baik bagi mendatangkan hasil yang lebih baik. Bertanya, berbincang, baca buku, berjalan dan seumpamanya boleh membantu anda mendapatkan idea.
  2. Sekadar fikirkan idea, masih tidak cukup. Anda perlu laksanakannya satu persatu dan lihat hasilnya.
  3. Setelah anda laksanakan idea anda sendiri, mula dapatkan pula idea orang lain dan laksana idea yang anda rasa berkesan. Jangan cari idea orang selagi idea sendiri belum dilaksanakan
  4. Jangan berpuas hati dengan hasil yang telah didapati. Buat pembaikan berpanjangan sepanjang masa.

Apa yang anda dapat

Dengan sentiasa amalkan sikap buat hanya yang terbaik, anda sedang membina satu disiplin serta tabiat yang amat diperlukan bagi menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Apabila tabiat itu terbentuk dan sebati dengan diri, apa saja yang dilakukan bakal mendatangkan hasil yang hebat.

Apabila anda temui satu perniagaan yang sesuai tabiat tersebut secara tidak disedari akan memacu perniagaan anda naik ke peringkat yang tinggi.

Ingat!

Dengan hanya berusaha membentuk disiplin berjaya sahaja akan membuatkan diri anda berjaya, selain daripada itu, anda hanya berangan-angan kosong dan membuang masa!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge