Rahsia di sebalik fokus

By | 12/01/2015

Focus-2BRahsia di sebalik fokus ini hanya saya sedari baru-baru ini sahaja. Selama ini bukan tak tahu bahawa fokus penting dalam usaha kita mencapai sasaran, tapi agak mendatar lebih kepada maksud fokus pada satu kerja dalam satu masa. sumber gambar

Saya mula faham satu lagi perspektif fokus ketika makan di restoran seorang kawan yang berjaya dalam perniagaan restorannya. Saya panggil kawan saya itu sebagai Pak Pin.

Pak Pin bermula dari bawah ketika berhijrah dari Pantai Timur ke Lembah Kelang. Dia berusaha dari tiada apa-apa sehinggalah berjaya seperti sekarang. Dia ada dua kedai Corner Lot. Dia beli rumah mahal tak jauh dari rumahnya.

Dan dia sering buat berbagai kebajikan menderma dan bantu orang susah. Orang kampungnya kenal Pak Pin sebagai orang kaya sekarang dan Pak Pin sekarang bukan lagi Pak Pin dahulu.

Bincang rahsia di sebalik fokus

Bila saya pergi makan di kedai Pak Pin, dia akan datang bawa minumannya untuk duduk sekali dengan saya. Itulah kelebihan Pak Pin. Dia fokus dan tak pernah jemu bertanya.

Mungkin Pak Pin melihat saya tahu banyak perkara, maka setiap kali saya datang dia akan duduk menunggu saya makan dan berbual. Biasanya dia akan kongsikan masalah yang dihadapinya dan kemudiannya dia akan mendengar dengan kusyuk apa saja maklumat yang saya kongsikan.

Biasanya, bila bersama Pak Pin, dia akan hanya mencetuskan persoalan dan kemudiannya dia akan lontarkan bola pada saya. Maka sayalah yang akan membawa bola sambil mengelecek tak henti-henti. Ringkasnya saya yang banyak bercakap dan dia setia mendengar.

Malam sabtu lalu dia bincang berkenaan kenapa saya sentiasa ingat banyak perkara dan kenapa dia sering hadapi masalah untuk ingat perkara baru walaupun dicubanya bersungguh-sungguh.

Untuk legakan hati Pak Pin saya ingatkannya bahawa bila umur meningkat, semua orang akan mudah lupa. Daya ingatan dan hafalan juga akan mula menurun.

Persoalannya adalah bagaimana nak atasi masalah tersebut? Itu kemusykilan Pak Pin.

Bertemu rahsia di sebalik fokus

Saya sendiri tak pasti dengan jawapan kepada persoalan tersebut. Oleh itu saya renung kembali bersama Pak Pin bagaimana saya buat selama ini untuk ingat apa saja perkara baru yang saya belajar.

Juga bagaimana saya boleh sentiasa ingat apa yang orang lain kongsikan cerita, bersama maklumat baru yang disampaikan.

Di situlah terungkai rahsia di sebalik fokus. Saya bincang dengan Pak Pin bagaimana sikap kita ketika bersama dengan orang lain. Saya bincang juga bagaimana sikap kita ketika menuntut ilmu dan ketika buat kerja.

Hanya dengan memberikan sepenuh tumpuan maka kita akan menyerap apa saja maklumat yang disampaikan. Hanya dengan fokus pada perkara yang sedang dilakukan mampu membuatkan kita belajar perkara baru.

Bagaimana nak fokus pada kerja

“Macam mana nak berikan tumpuan ?” itu soalan Pak Pin.

“Pastikan fikiran dan badan kita berada ditempat yang sama ketika itu”, itu jawab saya spontan.

Saya lihat Pak Pin sentiasa resah dan melihat jam dan kepalanya tak henti menoleh kiri dan kanan melihat sekelilingnya.

Lalu saya berikan contoh pada Pak Pin bagaimana keadaan dirinya sendiri sekarang ketika berbual dengan saya. Saya yakin ada terlalu banyak perkara yang sedang berkecamuk dalam fikiran Pak Pin.

Itu contoh nyata bagaimana badan Pak Pin berada bersama dengan saya sedangkan fikirannya berada samada di depan masa akan datang ataupun di belakang masa yang lalu.

Seperti yang saya tuliskan sebelum ini dalam bab berada dalam keadaan semasa di sini. Fikiran bercelaru apabila kita asyik berada di masa depan atau di masa yang lalu. Kita tak pernah berhenti sebentar untuk berada di masa sekarang.

Sikap itu membuatkan kita hilang daya tumpuan. Rasa tertekan. Tidak suka dan tidak selesa. Dan paling teruk adalah tak dapat menguasai keadaan dan hilang kemampuan untuk belajar dengan apa yang sedang berlaku secara optima.

Hanya satu cara untuk tenang dan relaks dan berikan tumpuan. Pastikan fikiran dan badan berada di masa yang sama di tempat yang sama. Itu saja!

Fikir ke depan untuk merancang

“Tapi kita perlu fikir kedepan, baru boleh merancang apa nak buat?”, bantah Pak Pin

Ertinya Pak Pin memahami bahawa mustahil untuk kita maju kalau asyik hanya ada di masa sekarang sedangkan tanpa adanya aktiviti fikirkan ke masa depan, adalah sukar untuk merancang.

“Betul!, tapi fikir hanya bila perlu untuk buat keputusan apakah yang perlu dilakukan sekarang!”, jawab saya.

Pak Pin masih tak faham bila saya jawab begitu. Lalu saya bertanya apa perkara depan yang sedang dia fikirkan dan risaukan.

Pak Pin jawab dia sedang risau kalau-kalau orang akan menunggunya nanti sedangkan dia masih tak mandi dan bersiap. Tapi dalam masa yang sama dia masih mahu berbual dengan saya.

Disitulah punca masalahnya. Lalu saya terangkan situasi sebenar masa sekarang. Biasanya bila kita resah dan tak fokus hanya ada 3 perkara yang boleh kita lakukan,

  1. Kekal di situ dan kekal risau dalam keadaan fikiran di depan dan badan di situ. Kita akan terus tak fokus dan tak tenteram.
  2. Atau, keluar dari situasi tersebut untuk mengubahnya agar kita tenteram dan fokus semula.
  3. Kalau tak boleh, terima seadanya dan kembalikan semula tumpuan di situ samada badan maupun fikiran.

Jadi dalam kes Pak Pin, saya suruh dia fikirkan sejenak apakah yang dia perlu lakukan sekarang. Sama ada kekal di situ dan berikan perhatian dan nikmati perbincangan dan minuman, atau balik sekarang juga dan buat apa yang dia perlu buat.

Jika dia rasa dia boleh buat semua itu selepas setengah jam lagi, maka tutup terus fikiran masa depan itu dan kembalikan fikiran di situ dan selepas setengah jam nanti bangun dan pergi buat apa yang patut.

Sentiasa biarkan diri berada dalam situasi pertama yang saya sebutkan di atas tadi adalah satu perbuatan yang tidak siuman.

Pak Pin anggukkan kepala dan nampaknya dia mula faham. Lalu pilihannya adalah keluar dari situ dan pergi buat apa yang dia perlu buat. Selesai masalah.

” Berada di situ dalam masa yang sama tak suka dan tak mahu berada di situ, dan terus kekal di situ, adalah perkara tidak siuman yang sering kita lakukan “

Korek rahsia di sebalik fokus

Keesokkan harinya saya pergi kedai buku dan terus beli satu lagi buku bertajuk ‘Focus’ yang ditulis oleh Daniel Goleman. Beliau merupakan penulis buku bestselling ‘Emotional Intelligence’.

Ternyata apa yang kami bincangkan adalah tepat. Dari buku itu saya lebih yakin dengan rahsia di sebalik fokus. Menurut penulis, kita akan mampu belajar atau ingat apa saja perkara dengan hebat apabila berjaya memberikan perhatian penuh dengan apa yang dipelajari atau yang sedang dilakukan.

Ketika kita berikan tumpuan penuh, otak akan menyerap segala maklumat baru yang ada dan cuba hubungkan dengan apa yang telah kita tahu dan seterusnya membina satu lagi rangkaian baru.

Ada 3 perkara yang perlu diberikan perhatian:

  1. Perhatian pada diri dalam kita – termasuklah fikiran, emosi dan tubuh badan kita.
  2. Perhatian pada orang lain – Memberikan perhatian pada orang lain yang berkaitan dengan diri kita.
  3. Perhatian pada dunia sekeliling – Perhatian pada keadaan semasa, maklumat semasa dari duani luar lain yang lebih luas dan menyeluruh.

Rumusan baik yang saya dapat dari buku itu adalah,

“Tumpuan yang anda berikan itulah realiti diri anda…”

Cari rahsia di sebalik fokus

Saya yakin ada banyak rahsia di sebalik fokus dan tahu betapa pentingnya keupayaan fokus dengan baik untuk berjaya dalam hidup.

Masalahnya adalah untuk mempraktikkan keupayaan fokus itu sendiri agar ia lebih mantap. Fokus itu bertindak seperti otot. Semakin digunakan semakin kuat. Jika tidak digunakan, akan menjadi lembik dan tidak berupaya.

Seperti kusyuk dalam solat. Cakap mudah. Tapi dah berpuluh tahun amalkannya masih tak ada kusyuk. Puncanya sama saja. Ketika bersolat, fikiran kita merawang ke masa depan fikirkan apa yang perlu dibuat selepas itu. Atau fikiran pergi berpatah balik ke belakang, mengenangkan apa yang telah berlaku samada sedih atau gembira.

Yang pastinya, hampir dalam kesemua solat yang kita lakukan, fikiran tidak pernah ada dalam keadaan semasa…

Satu lagi rahsia di sebalik fokus…

Anda boleh kuatkan otot fokus dengan berusaha untuk kusyuk dalam solat. Semakin kusyuk solat anda, sudah pasti semakin berjaya kehidupan anda.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

9 thoughts on “Rahsia di sebalik fokus

  1. Pingback: Permulaan Hidup Sederhana – MadeLifeSimply (Hidup Sederhana)

  2. Redza Leman

    Assalam tuan Shubhi….

    TG Syeikh Nuruddin Al-Banjari menjelaskan persoalan kenapa tiada seorang pun pemain bola sepak tidak membawa handphone di dalam padang ketika permainan sedang berlangsung…

    Jawapan: Tiada kepentingan..!!.Mereka hanya perlu FOKUS pada permainan.
    Jadi kenapa kita perlu membawa handphone ketika masuk ke Rumah Allah./masjid?
    Adakah padang bola lebih mulia daripada masjid?
    Adakah bermain bola itu kena lebih FOKUS/khusyuk berbanding solat?

    Pesanan Syeikh:Mulai sekarang,belajarlah…belajarlah untuk tidak menyibukkan diri dengan handphone/netbook/laptop dalam rumah Allah kerana tiada urusan yang lebih penting daripada urusan kita dengan Allah.
    >>c&p dari wassap<<

    : Setelah banyak hari saya memFOKUS mencari perencah keluaran orang kita di banyak pasaraya.Akhirnya semalam saya dah dapat salurkan duit saya dengan membeli perencah HILAL di Az-Zain…sangat gembira hati saya…

    Reply
  3. Abdullah Idris

    Sebenarnya fokus ini telah ditekankan kepada kita sejak dibangku sekolah lagi.

    Cuma bila kita semakin dewasa, semakin banyak komitmen, maka ketika itulah kita memerlukan kekuatan fokus yang tinggi.

    Tidak mencampur adukkan perkara lain ketika kita sedang melakukan perkara yang lain.Akhirnya kedua-duanya akan terganggu.
    Abdullah Idris recently posted…Bagaimana Manfaatkan Teknik Pemasaran BlogMy Profile

    Reply
  4. blogger lelaki

    kupasan yang bagus bro..mcm kita dalam kelas la..waktu sekolah dulu…kita kena sedia dari segi mental dan fizikal biar berada dalam kelas…tumpuan kita untuk mendengar apa yang cikgu ajar…jika kita mengelamun…ilmu yg diajar dah tak masuk…kalau fizikal kita pula keluar kelas lagilah tak dapat ilmu..he3
    blogger lelaki recently posted…Jepun Sebagai Destinasi Pelancongan UtamaMy Profile

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge