Rahsia mencuba perkara baru

By | 16/03/2015

_SRU7190Perubahan dalam kehidupan hanya akan berlaku apabila kita sanggup tinggalkan kebiasaan dan mencuba perkara baru.

Namun untuk mencuba perkara baru, ia merupakan satu perkara yang agak sukar dilakukan. Maklumlah, nama pun perkara baru. Semua orang akan rasa kekok setiap kali melakukan satu perkara baru.

Proses dalam mencuba perkara baru biasanya begini…

  1. Bosan dengan amalan kebiasaan yang dilakukan.
  2. Mula mencari satu perubahan dengan mencuba perkara baru.
  3. Kenal pasti satu perkara baru untuk dilaksanakan.
  4. Memaksa diri melaksanakan dalam keadaan tidak selesa. Ini memerlukan disiplin dan iltizam untuk dilakukan.
  5. Merasa tidak selesa dan mula nak putus asa. Jika dilayan ketidak selesaaan itu, anda akan berhenti dan mula kembali dalam keadaan ‘default’. Ertinya anda kembali kepada rutin asal. Lebih tepat lagi, anda gagal untuk berubah.
  6. Sedar kembali dan kembali amalkan perkara baru yang gagal dilaksanakan tadi. Paksa diri lagi dan disiplinkan diri semula. Kali ini mungkin lebih mudah kerana dah ada pengalaman pertama tadi. Anda mungkin akan pergi lebih jauh sikit daripada cubaan pertama.
  7. Anda mungkin gagal sekali lagi dan kembali semula pada rutin lama.
  8. Sedar semula dan cuba sekali lagi. Mungkin kali ke tiga, atau lebih dari itu. Setiap kali cubaan semula ia membawa anda ke depan sedikit lagi berbanding yang sebelum ini.
  9. Anda mula rasa sedikit selesa sebab dah mula nak membiasakan diri. Amalan diteruskan dengan lebih lama dan akhirnya…
  10. Anda berjaya menjadikan perkara baru tersebut sebagai kebiasaan yang mudah. Lalu berlakulah perubahan dalam kehidupan.
  11. Jika perkara baru itu perkara positif dan baik, maka jadilah perubahan baik kepada kehidupan anda. Sebaliknya jika perkara baru itu adalah buruk atau negatif, terjadilah perubahan buruk pada kehidupan anda.
  12. Ia berterusan begitu selagi belum datang rasa bosan semula kerana dah jadi amat biasa. Bila kebosanan memuncak, anda mula ulang semula peringkat nombor satu di atas. Sehinggalah proses tersenarai kat atas tu berjalan dan anda berubah lagi.

Pilih perkara baru yang baik

Lumrah kita sebagai manusia amat senang menjadi bosan dengan perkara rutin. Itu keistimewaan manusia yang dipanggil keupayaan meyesuaikan diri.

Manusia adalah makhluk yang amat hebat dalam bab menyesuaikan diri ini. Ia diperlukan demi kelansungan hidup dalam dunia ini.

Banyak kajian demi kajian dilakukan yang membuktikan kehebatan manusia dalam menyesuaikan diri terhadap perubahan.

Anda sendiri tentu pernah lihat bagaimana orang yang asalnya celik kemudian menjadi buta dapat menjalani kehidupan seperti biasa dalam masa yang pantas.

Ada juga yang lengkap anggota kemudiannya cacat dapat meneruskan kehidupan seperti biasa apabila proses menyesuaikan diri berlaku. Malah ada yang menjadi lebih hebat apabila cacat jauh melebihi ketika keadaannya serba sempurna.

Semua itu membuktikan bahawa yang memainkan peranan utama pada diri manusia adalah sistem pemikiran. Material atau anggota fizikal hanyalah alat. Kalau lebih bonus dan kalau kurang tidak memberikan kesan.

Semuanya bermula dalam fikiran. Semua bergantung pada bagaimana anda berfikir. Kalau positif, anda menjadi hebat dan kalau negatif anda jadi lembab.

Memilih jadi usahawan sebagai perkara baru

Jika anda sekarang seorang pekerja yang makan gaji sekarang, anda ada pilihan untuk menjadikan perkara baru dalam hidup anda dengan menjadi seorang usahawan.

Adalah lumrah apabila otak akan mula membentangkan dalam minda segala perkara buruk yang bakal ditempuhi agar anda berubah fikiran.

Otak tahu bahawa mencuba perkara baru akan meletihkan dirinya. Mencuba perkara baru akan menggunakan banyak tenaga. Oleh itu otak akan cuba sedaya upaya untuk anda kembali kepada keadaan biasa.

Jika anda tidak kuatkan iltizam, berdisiplin dan cari jalan, akan kekallah anda jadi seorang pekerja makan gaji. Anda mungkin salah seorang dari mereka yang ikut apa kata otak selama ini untuk mengelakkan diri dari berubah.

Bagaimana nak atasi masalah tersebut?

Cara mengatasinya adalah dengan memecahkan proses perubahan daripada seorang yang makan gaji kepada seorang usahawan. Pecahkan proses tersebut kepada proses-proses yang lebih kecil.

Jika masih belum cukup kecil, pecahkan lagi semua sub proses tersebut kepada pecahan proses yang lebih kecil.

Membuat perubahan kepada perkara kecil adalah jauh lebih mudah berbanding membuat perubahan terhadap perkara besar.

Oleh itu jangan terus letak jawatan dan menjadi usahawan. Mulakan dengan membina segala sikap baru yang diperlukan untuk menjadi seorang usahawan. Antara perkara baru yang boleh anda mulakan adalah seperti,

  1. Menambah lebih ramai kawan dikalangan usahawan.
  2. Berbelanja jauh lebih rendah daripada pendapatan.
  3. Berbelanja dengan apa yang anda dapat dan bukannya dengan apa yang bakal anda dapat, ertinya jangan berhutang terutamanya menggunakan kad kredit.
  4. Ambil masa merancang dengan secukupnya sebelum melaksanakan sesuatu.
  5. Jangan merancang terlalu mendalam mengharapkan kesempurnaan sampai tak mula. Terutamanya dalam bab mengumpulkan maklumat untuk merancang. Tak perlu kepada 100% maklumat yang banyak, cukup sekadar 45% sahaja dah mencukupi.
  6. Biasakan diri tidak sibuk terhadap perkara atau urusan yang tidak berhasil. Sibuk bukan bererti produktif dan relaks bukan semestinya tidak produktif. Ini antara masalah besar pekerja makan gaji. Mereka perlu tunjukkan diri sibuk supaya hilang rasa bersalah.
  7. Matlamat perlu jelas. Jawapan kepada soalan ‘apa yang mahu dicapai?‘ mesti sentiasa ada dan jelas. Jangan mula merancang dan buat kerja selagi tiada jawapan kepada soalan tersebut.
  8. Cabar diri dengan mengambil tugasan baru. Bukannya sentiasa mengelak dengan jawapan ‘itu bukan kerja saya!’.
  9. Belajar kenal pasti yang paling penting di antara yang penting dan laksanakan tugasan tersebut terlebih dahulu. Untuk itu, sekali lagi, matlamat mesti jelas.
  10. Belajar menyerahkan tugasan pada orang lain dan anda hanya tumpukan pada urusan yang paling penting sahaja.
  11. Datang kerja awal setengah jam awal untuk merancang dan balik setengah jam lewat untuk menyemak status. Tak perlu panjangkan masa kerja berjam-jam selepas tamat waktu kerja sedangkan tak ada apa-apa yang penting untuk dilakukan.
  12. Orang yang cekap adalah mereka yang dapat mengoptimumkan masa sependek mungkin dengan menghasilkan impak sebesar mungkin. Oleh itu sasarkan melaksanakan kerja paling penting yang mendaangkan kesan yang paling besar.
  13. Sentiasa peka pada prinsip Pareto. Prinsip ini biasa juga dipanggil prinsip 80/20. Input kecil biasanya memberikan output yang besar, kenal pasti apa input itu dan laksanakannya. Dan input besar memberikan output yang kecil, kenal pasti apa input itu dan tinggalkannya.
  14. Sentiasa cari jalan untuk selesaikan masalah dan bukannya cari alasan untuk menangkan masalah.

Perkara baru banyak mengubah diri saya

Bila dikenang kembali perjalanan hidup saya, saya dapati perubahan berlaku setiap kali saya memaksa diri mencuba perkara baru.

Asalkan ianya adalah baik, walaupun kecil dan dipaksa diri untuk dilaksanakan sehingga ia menjadi kebiasaan, tetap membuatkan perubahan besar dalam kehidupan.

Daripada tak baca Quran, berubah membacanya, membuatkan saya lebih tenang dan kurang baran. Daripada tak baca tafsir berubah membacanya, saya lebih faham erti kehiduan dan lebih bersikap terbuka.

Daripada tak bersenam, berubah bersenam secara rutin, saya rasa lebih segar dan sihat dan tahan lasak samada mental atau fizikal.

Daripada tak puasa sunat berubah mengamalkan puasa sunat Isnin dan Khamis, saya berjaya mengubah rutin kehidupan. Dengan puasa juga saya hilangkan masalah susah atau tak boleh tidur.

Daripada makan gaji berubah menjadi usahawan, saya ubah keseluruhan kehidupan saya dan cara berfikir.

Daripada satu syarikat berubah memiliki banyak syarikat, saya mengubah cara saya berfikir terhadap pengurusan dan keusahawanan.

Banyak perubahan yang dipaksa pada diri saya membuahkan hasil yang bermanfaat. Asalkan perubahan itu adalah perubahan baik, kehidupan anda pasti akan berubah.

Oleh itu jangan pandang remeh untuk mencuba perkara baru dalam kehidupan anda. Cari dan paksa diri untuk mencubanya sehingga ia menjadi rutin.

Jika anda istiqamah membuat perubahan demi perubahan kecil dengan mencuba perkara baru yang kecil, perubahan besar akan datang secara automatik. Tak percaya cubalah !

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

12 thoughts on “Rahsia mencuba perkara baru

  1. mrhanafi

    saya ada sesuatu yang baru untuk dikongsi dengan para pembaca blog hidup ringkas..nak tahu boleh pergi terjah sendiri la ye..

    berbalik pada topik yang dibincangkan ..tak ramai yang berani mencuba perkara baru..sebab perkara baru bakal menemui risiko.

    Bagi saya risiko tersebut..cuma risiko yang terjangka..
    mrhanafi recently posted…Belajar Dari Pesaing Untuk BerjayaMy Profile

    Reply
  2. norazliza

    Assalamualaikum Pak cik,

    Moga dalam keadaan sihat hendaknya. Sesuatu yang tidak nampak dihadapan memang kita akan berasa takut dan goyang. Itu mmg fitrah seorang manusia. Saya dalam proses untuk berhenti kerja dan menjalani sesuatu yang baru. Alhamdulillah saya mendapat restu dan dorongan dari ahli keluarga yang lain. Setelah baca entry ni, ianya seolah2 semangat untuk belajar menjadi lebih terbaik. Lulusan akademik yang tinggi menyebabkan rasa takut dan rendah diri itu makin berkurangan.

    Lizz nak bertanya apakah 2 falsafah perniagaan cina yang pakcik ceritakan dalam entry mengenai diri pakcik sebelum ini. lizz interested utk mengetahuinya mungkin ianya akan menjadi pembakar semangat untuk masa hadapan.

    Terima kasih.
    lizz

    Reply
  3. muhamad faizal

    Ya,perkara baru…itu yang saya buat sekarang,berniaga berniaga,tapi kekadang terpikir boleh ka nak truskan berniaga ni,akibat selalu bca blog ni,so far bg saya brniagalah keja terbaik,makaseh tuan syukur pada Ilahi

    Reply
  4. Izham

    Terima kasih atas segala tips yg bernas. Kita selalu mendengar apabila seseorang itu ingin mengubah hidup dengan cara menceburkan diri dalam dunia usahawan, pasti akan ada yang menentang (terutama sekali orang melayu yang sinonim dengan makan gaji). Biasanya orang pertama yang akan menentang dan menghalang kita ialah ibu bapa kita sendiri. Saya mungkin kurang arif dalam agama, tetapi apa yang saya sering fikirkan adakah kita telah menderhakai kedua ibu bapa jika kita tetap meneruskan cita-cita untuk menjadi usahawan, sedangkan pada masa yang sama mereka tidak menyukai (atau mungkin tidak merestui) segala tindakan kita itu. Saya khuatir, setiap usaha kita dalam perniagaan akan tiada keberkatan. Boleh bagi pandangan…

    Reply
    1. Shubhi Post author

      selesaikan lah masalah itu dengan meyakinkan ibubapa. Cari jalan dan jangan jadikan itu alasan untuk lupakan hasrat jadi usahawan… itu permulaan latihan meyakinkan orang, mulakan dengan meyakinkan ibu bapa

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge