Rahsia mengemas rumah dan berjaya dalam kehidupan

By | 25/06/2012

Kenapa anda perlu mengemas rumah untuk berjayaAdakah rumah anda berselerak?, atau anda jenis yang sering mengemas rumah dan memastikan rumah anda tersusun rapi dan lapang?

Ada orang yang rumahnya berterabur di sana sini lansung tidak tersusun sehingga nak jalan pun sukar. Apabila ditanya kenapa dia buat begitu, jawapannya mudah, “aku jenis orang yang simple…”.

Saya ada menulis sebelum ini kenapa untuk mengamalkan kehidupan yang ringkas anda tidak dapat mengelak daripada melakukan pembersihan, penyusunan dan menyahkan segala barangan yang tidak digunakan.

Mesej utama dalam artikel itu adalah, hidup ringkas bukan bermakna anda menjadi pemalas dan membiarkan rumah berselerak, malah mengemas rumah adalah salah satu ciri hidup ringkas yang utama.

Hanya mereka yang sering menggunakan akal dan sentiasa rajin membaiki keadaan sahaja yang akan berjaya untuk hidup ringkas. Ini kerana menjalani hidup ringkas adalah dengan tujuan untuk mengambil jalan selamat dunia akhirat.

Walau apapun yang terjadi anda perlu mengemas rumah. Keadaan sekeliling yang berselerak sebenarnya mampu memberikan kesan negatif yang pelik dan tidak kita sangkakan. Suasana berselerak itu menyerang tubuh badan dan juga minda tanpa kita sedari.

Sikap kita yang mencampak dan melonggokkan apa saja dalam rumah membuatkan kita menjadi biasa dan menerima keadaan tersebut menjadi perkara biasa. Tetapi perlu diingat bahawa minda separa sedar kita tidak begitu, ia memberikan kesan yang negatif.

Berikut saya senaraikan beberapa perkara penting mereka yang tidak mengemas rumah dan membiarkan keadaan rumah yang berselerak sebagaimana yang telah dirumuskan oleh pakar melalui kajian:

  1. Takut kepada masa hadapan. 
    1. Orang yang rumahnya berselerak sering kali menghadapi masalah kerisauan untuk menghadapi masa hadapan secara tidak mereka sedari.Mereka tenggelam dan terbelenggu dengan kisah silam. Kisah silam terpendam pada barangan yang kita simpan merata-rata tempat di sekeliling kita.
    2. Ini membuatkan perkembangan masa hadapan kita terbantut. Mungkin ramai yang tak sedar dan tertanya-tanya kenapa dia masih di takuk lama sedangkan ramai kawan-kawannya yang lain sudah jauh ke depan.
    3. Cuba lihat keadaan rumah atau pejabat rakan anda yang sudah maju itu dan bandingkannya dengan keadaan rumah anda, anda pasti akan menemui jawapannya.
  2. Gemuk. 
    1. Samada kita percaya atau tidak keadaan rumah yang berterabur merupakan salah satu penyumbang kepada keadaan badan kita yang gemuk berlebihan.Ini merupakan penemuan oleh seorang pakar, Karen Kingston setelah melakukan kajian yang lama terhadap masalah berselerak ini.
    2. Beliau mendapati mereka yang berselerak rumahnya seringkali berhadapan dengan masalah kegemukan. Ia ada kaitan dengan sikap dan cara kita berfikir yang  terperangkap pada masa silam dan badan kita juga mengambil sikap yang sama dengan menyimpan berbagai lemak dan tenaga sebagai reaksi dari cara kita berfikir.
  3. Suka bertangguh. 
    1. Seringkali mereka yang tidak menyusun dan membiarkan rumah berselerak menghadapi masalah suka menangguhkan kerja. Keadaan yang berselerak membantutkan selera kita untuk bekerja dan kita hilang motivasi serta hilang daya tumpuan dengan teruk.
  4. Masalah kewangan 
    1. Membiarkan keadaan rumah berselerak menyebabkan kos kehidupan meningkat. Ini berkisar daripada sikap kita membeli sesuatu barang yang kita rasakan akan menggunakannya pada satu masa nanti. Kita membeli dan kita menyimpannya sehingga memenuhi ruang rumah kita.
    2. Kes yang sama berlaku pada para peminat sesuatu barangan seperti barang antik dan sebagainya. Kadangkala minat itu mendatangkan pembaziran dengan harapan ianya akan mendatangkan faedah pada satu masa nanti.
    3. Ia juga ada hubungan dengan menyimpan nostalgia masa lalu yang menghalang kita maju ke depan. Orang sebegini juga amat mudah terpengaruh dengan tawaran istimewa pada barang yang mereka minat dan mereka dengan mudah berbelanja untuk membelinya. Sikap sebegini juga membuatkan kita banyak hutang terutamanya hutang kad kredit.

Cara terbaik untuk mengelakkan diri kita daripada menghadapi 4 masalah yang saya sebutkan di atas adalah dengan segera membuat langkah drastik untuk mengemas rumah kita.

Simpan apa yang perlu saja dan buang atau berikan pada orang lain yang memerlukan segala barang yang kita tidak menggunakannya. Dengan berbuat begitu kita akan dapat merasakan satu tenaga baru muncul dengan segar dalam diri kita.

Minda kita seterusnya mendapat isyarat bahawa kita sudah bersedia mahu maju ke depan dan itulah yang akan dilakukannya pada hari-hari yang mendatang. Anda pasti akan berubah menjadi manusia yang baru dengan  hanya mengemas rumah dan meluaskan semula ruang tempat penginapan anda.

Apa lagi nak ditangguh, jadikan mengemas rumah satu tabiat semula jadi anda dan berubah menjadi orang yang berjaya. Mulakannya sekarang juga kemaskan persekitaran kita dan buang semua yang tidak berguna.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

5 thoughts on “Rahsia mengemas rumah dan berjaya dalam kehidupan

  1. yati

    Nak buang suami tak bagi….koleksi buku cerita pahlawan ntah ape2…..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge