Busy-European-City-Street-With-Shoppers1Berapa kali anda mengeluh ketika berbual dengan kawan-kawan tentang kelemahan diri setiap kali berbicara tentang keinginan melakukan sesuatu?

Saya sering mendengar keluhan yang sama daripada kawan-kawan tak kira samada yang muda, sebaya mahupun yang lebih tua daripada saya. Mereka mengeluh kelemahan diri yang ada pada mereka.

Ada yang merancang untuk melakukan berbagai perkara dengan sasaran untuk membaiki kelemahan diri.

Ramai yang percaya bahawa jika mereka dapat baiki kelemahan diri, ia bakal melonjakkan kejayaan lebih tinggi daripada yang ada sekarang.

Mahu ke England untuk baiki kelemahan diri

Baru-baru ini saya luangkan masa berbual dengan salah seorang kawan lama di KL. Kami berbual banyak perkara tentang kehidupan.

Seperti biasa setiap kali bertemu dengan kawan saya itu, akan saya buat banyak laporan terhadap perkembangan kehidupan saya sebagai seorang usahawan.

Saya suka kongsikan semua perkara yang saya tempuh tak kisah samada kegagalan atau kejayaan pada kawan saya itu.

Dia seorang otai usahawan yang jauh mendahului saya dalam dunia perniagaan. Ketika tahun 70-an dulu, saya masih berhingus, dia dah bergelar orang kaya.

Ketika era tahun 70-an dahulu bukan ramai sangat orang Melayu yang menjadi usahawan dan kaya raya dengan aktiviti perniagaan. Dia merupakan salah seorang yang masuk dalam kategori itu.

Banyak juga usahanya ketika berjaya dulu memberikan motivasi dan ceramah keusahawanan di seluruh negara. Malah ramai kawan-kawan lain yang berniaga sekarang dan berjaya merupakan anak murid beliau satu ketika dahulu.

Disebabkan saya pandang tinggi terhadap pengalaman yang dia ada itulah, saya suka kongsikan apa saja dengannya. Sebagai orang lama dia teliti dalam memberikan komen, panduan serta nasihat yang boleh saya ikuti.

Sekarang, kawan saya itu sudah pencen. Dia sudah tak aktif lagi dan hidup menghabiskan waktu tuanya setelah anak-anak sudah besar dan mampu berdikari.

Walaupun masih ada keinginan untuk berniaga semula, tapi nampaknya dia seperti tidak dapat melaksanakannya dengan berkesan. Dia rupanya dihinggap oleh masalah melihat kelemahan diri.

Bahasa Inggeris sebagai kelemahan diri

Saya kesan sikap itu apabila dia bercadang hendak pergi ke England dan tinggal di sana untuk beberapa tahu. Mulanya saya ingat dia nak buat apa-apa projek perniagaan, tapi rupanya ada sebab lain.

Dia nak tinggal di England sebab utamanya untuk belajar Bahasa Inggeris dan menguasai bahasa tersebut. Dia mengaku agak cemburu dengan saya yang banyak maklumat terkini terutamanya dalam isu keusahawanan dan perniagaan terkini.

Sebabnya adalah kerana saya mampu membeli buku dan membaca semua buku berbahasa Inggeris dan juga mampu membaca segala maklumat dari internet yang berbahasa Inggeris.

Oleh kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi utama dunia sekarang, maka banyaklah maklumat terkini ada dalam bahasa tersebut.

Ertinya mereka yang mampu memahami Bahasa Inggeris lebih kedepan dan awal dalam apa saja perkara.

Lihat kekuatan diri, lupakan kelemahan

Saya tidak bersetuju dengan orang yang mahu membaiki kelamahan diri dengan harapan ianya dapat membantunya berbuat sesuatu yang hebat.

Bagi saya apa yang perlu dilakukan sekarang dan paling utama sekali adalah melihat apakah kekuatan diri yang ada pada kita.

Kenal pasti kekuatan diri dan maksimumkan penggunaannya sehingga menjadi sesempurna mungkin. Itulah adalah jauh lebih baik berbanding membuang masa membaiki kelemahan diri yang biasanya mamakan masa yang amat lama.

Jika anda sibuk melihat pada kelemahan diri, anda akan lupa pada kekuatan diri yang ada pada diri anda. Sedangkan kekuatan yang ada pada kita biasanya melebihi orang lain yang biasa.

Jika masa digunakan untuk membaiki kelemahan diri, paling hebatpun, kita hanya mampu meningkatkannya ke tahap biasa sahaja atau ‘average’.

Apa bagusnya sekadar menjadi average?

Seandainya anda lihat kekuata diri. Gilap dengan lebih baik, tambah lagi kekuatan itu supaya hampir sempurna, ia hanya memakan masa yang sekejap dan sudah tentu diri anda akan menjadi lebih menonjol daripada semua orang lain.

Apa nak buat dengan kelemahan diri

Timbul persoalan pula takkan lah nak biarkan begitu saja dengan kelemahan diri yang ada pada kita.

Betul tu !, kena buat sesuatu, tak boleh biarkan begitu saja.

Paling mudah, apa yang perlu kita buat adalah jangan buat kerja itu kalau kita dah tahu bahawa kita lemah.

Itu langkah pertama dan merupakan cara terbaik dalam menangani masalah kelemahan diri.

Selepas itu, pastikan anda cari orang lain yang boleh buat kerja tersebut berdasarkan pemerhatian kita bahawa dia ada kekuatan diri dalam perkara atau urusan itu.

Itulah kerja usahawan ! sebab itu untuk jadi usahawan paling utama dia mesti ada impian besar untuk menjayakan sesuatu.

Kemudian dia ada ramai kenalan yang diperhatikan dan disimpan selama ini di mana dia tahu kekuatan dan kelamahan mereka. Apabila menyusun pergerakannya maka semua kenalan itu digunakannya berdasarkan kekuatan masing-masing.

Kalau anda lihat di sekeliling masyarakat, salah satu daripada sebab ramai usahawan gagal adalah pertamanya buat benda yang dia lemah dan tak buat perkara yang dia mahir atau kuat.

Kemudian itu, berikan urusan penting atau apa saja urusan pada orang yang perkara tersebut bukan kekuatan mereka.

Malah para pekerja juga main serkup sahaja dan bukan dinilai dari segi kekuatan dan kelemahan. Maka tak hairanlah ramai yang lingkup!.

Jadi petuanya kat sini mulakan dengan diri anda terlebih dahulu. Gunakan hanya kekuatan diri anda semaksimum mungkin.

Kemudian kembangkan pula pada rakan kongsi, pekerja, pembekal, pelanggan dan seumpamanya konsep yang sama.

Masing-masing daripada kita ada kekuatan diri dan ada kelemahan diri. Sebagai makhluk yang perlu bersosial, kita perlu saling lengkap melengkapi, barulah meriah dan berjaya!.

Bagi anda yang nak berniaga, lupakanlah apa yang anda tak ada. Lihat apa yang ada dan fikirkan sesuatu bagaimana nak mantapkannya dan pergunakan sebaiknya agar membuahkan hasil.

Jangan berikan terlalu banyak syarat untuk berjaya. Seandainya kita bijak menggunakan kekuatan diri, pertingkatkan kekuatan itu dan sanggup berkerja secara berjemaah tanpa ada sikap irihati, dan akui kelemahan diri, insyaallah kehebatan akan muncul juga akhirnya.

Apa kelemahan diri saya

Kalau nak disenaraikan memang banyak.

Tapi yang pentingnya, saya tak ambil kisah dengan kelemahan tersebut. Saya tak akan buang masa untuk baiki kelemahan sebelum nak buat sesuatu dan tak jadikan kelemahan itu sebagai alasan.

Kalau nak buat sesuatu perkara, saya akan lihat apa kekuatan saya yang boleh dipergunakan untuk menjayakannya.

Yang mana saya lemah, saya akan kumpulkan siapa saja dari kalangan kawan-kawan yang saya tahu mereka ada memiliki kekuatan yang saya tak ada.

Percayalah! masa terlalu pendek untuk mengeluh pada kelemahan kita. tambah lagi kalau umur dan meningkat tua macam saya.

Lebih baik fokus pada kekuatan! anda bagaimana?

Total
28
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

  1. saya suka ayat ni “Kenal pasti kekuatan diri dan maksimumkan penggunaannya sehingga menjadi sesempurna mungkin. Itulah adalah jauh lebih baik berbanding membuang masa membaiki kelemahan diri yang biasanya mamakan masa yang amat lama.”..sepatutnya fokus kepada kekuatan diri sendiri dan yakin dalam melakukannya, insyaAllah berjaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge