Rahsia pemulihan akhlak diri yang anda mungkin tak tahu

By | 13/02/2013
pemulihan akhlak diri agar lebih berakhlak

Ingatlah bahawa kita semua perlu sentiasa melakukan pemulihan akhlak diri daripada akhlak buruk yang ada dalam diri tanpa kita sedari. Mari kita renungkan tulisan di bawah ini.

Yakin pada diri sendiri
Ada satu perkara tentang diri yang membuatkan anda sampai di sini sekarang. Di mana saja anda berada, tahap manapun kejayaan yang telah ditempa, ianya banyak dipengaruhi oleh sikap atau akhlak yang satu ini.

Sikap yang saya maksudkan adalah percaya pada kebolehan diri sendiri. Anda percaya dengan kebolehan yang ada walau dalam sudut mana sekalipun yang membuatkan anda berada di tempat anda sekarang.

Bagi mereka yang berada di tempat yang tinggi, banyaklah pula kebolehan yang mereka ada dan yakin dengannya. Manakala bagi mereka yang berada ditempat yang agak rendah, sekurang-kurangnya mesti ada satu kebolehan yang cukup menyakinkan diri.

Negatif dan positif
Tidak dapat dinafikan, sikap yakin pada diri sendiri amat diperlukan oleh semua orang untuk membolehkan dia bangun setiap pagi terjun dari tilam, bersiap dan keluar melaksanakan tugasannya. Keyakinan tersebut menjadi punca utama yang memberikan tenaga untuk anda terus bergerak.

Namun, sikap yakin pada diri sendiri jugalah yang kebiasannya membuatkan diri anda tersangkut pada tempat anda berada sekarang. Tidak ada peningkatan lagi dan kejayaan nampak seperti sudah tepu dan tidak bergerak. Pemulihan akhlak perlu dalam keadaan ini untuk pergi lebih jauh.

Seandainya pemilihan akhlak tidak dilakukan, tidak ada lagi peningkatan yang akan menyusul.

Yakin yang membuatkan angkuh
Bila kita amat yakin dengan sesuatu keupayaan itu, ia menjadi faktor penghalang untuk menerima teguran dari orang lain. Logiknya memang ada. Jika anda sampai di sini kerana kebolehan itu, mengapa pula anda perlu mengubahnya untuk terus berjaya?

Sebaik saja anda berfikiran sebegitu, anda perlukan pemulihan akhlak, jika tidak, anda akan saksikan pencapaian yang dikecapi mula mendatar dan tidak bergerak naik lagi.

Anda sudah menjadi degil dan sombong untuk menerima teguran atau kritikan. Lebih-lebih lagi kritikan itu datang daripada mereka yang berada di bawah yang kurang berjaya berbanding diri anda.

Apa yang perlu anda tahu tentang akhlak diri anda

Anda mungkin tidak sedar bahawa sebagai manusia biasa,

  • Kita sentiasa terlebih dalam menilai keupayaan yang kita ada – Orang yang yakin dia pandai cakap sentiasa perasan cakapnya hebat daripada orang lain dan anggap orang lain juga merasakan sama seperti yang dirasakannya.
  • Kita sentiasa terlebih menghargai apa saja yang kita hasilkan – Tulisan yang kita karang sendiri kita rasakan cukup hebat walaupun hakikatnya ada tulisan lain dalam tajuk yang sama ditulis oleh orang lain yang jauh lebih baik. Begitu juga dengan perkara lain seperti produk atau hasil seni. Kita rasakan orang lain juga akan pandang tinggi, setinggi yang kita terlebih nilai.
  • Kita sentiasa terlebih menghargai apa saja sumbangan kita – Dalam kerja berkumpulan, sumbangan kita dirasai lebih penting dan memberikan impak besar dalam kejayaannya. Dalam usahaniaga bersama rakan kongsi, kita sentiasa rasakan sumbangan kita lebih tinggi berbanding rakan kongsi yang lain.
  • Kita sentiasa saja terlebih membuat nilaian pada apa saja benda kepunyaan kita – Kita sentiasa merasakan anak kita jauh lebih hebat berbanding anak orang lain. Kereta proton Pesona yang kita miliki jauh lebih bagus daripada kereta yang sama dimiliki oleh orang lain.

Sifat kebiasaan manusia
Ramai daripada kita tidak sedar bahawa sikap terlebih nilai tersebut merupakan satu sifat semula jadi yang ada pada diri kita tanpa disedari. Yang memburukkan lagi keadaan adalah apabila kita anggap semua orang membuat penilaian pada tahap yang sama sebagaimana kita.

Jika ada yang merasakan sebaliknya, kita anggap orang tersebut silap pandang atau lebih buruk lagi, kita rasakan dia dengki dan tidak dapat menerima kenyataan bahawa kita lebih bagus.

Sikap sebegitu memerlukan satu proses pemulihan akhlak yang segera agar anda tidak akan dijauhi oleh orang lain.

Pemulihan akhlak diri bermula dengan ‘hidup dalam sedar’

Untuk membetulkan semula apa saja andaian yang kita rasa tentang kehebatan diri kita, kita perlu sentiasa sedar apa saja yang kita rasakan. Kita perlu ingat setiap penilaian kehebatan diri kita sendiri biasanya adalah berlebihan daripada yang sepatutnya.

Setiap kali kita merasakan angkuh dan kembang hidung, ingatkan diri bahawa anda terlebih perasan bagus. Turunkan semula rasa perasan tersebut dan sedarkan diri bahawa apa yang anda rasa tidak semestinya sama dengan apa yang orang lain rasa atau nilaikan.

Hanya hidup dalam keadaan sedar apa yang difikirkan, apa tindakan sert apa kesan dan keburukannya dapat membantu proses pemulihan akhlak diri.

Mengelak rasa kecewa

Sikap berpijak dibumi nyata dan menerima bahawa kita sentiasa silap terlebih memberi penilaian boleh membantu timbulnya rasa kecewa apabila kerja kita tidak dihargai. Berkemungkinan ianya adalah benar dan ada banyak yang perlu diperbaiki.

Bersikap terbuka dan terimalah keritikan atau teguran atau pemarkahan yang rendah. Itu merupakan peluang yang berharga untuk meningkatkan diri.

Lakukan pemulihan akhlak diri dengan bersikap terbuka dan tidak cepat melenting. Bertanyalah pada diri terlebih dulu kalau-kalau teguran ada kebenarannya. Kalau tak ada relaks dan tak perlu marah, anggap itu satu peringatan.

Ucapkan Alhamdulillah
Jika anda benar-benar dipuji, ucapkanlah sagala puji selayaknya hanya untuk Allah. Siapalah diri kita untuk bermegah-megah sedangkan Tiada Daya Upaya Melainkan dengan Kekuasaan dan Kehendak Allah.

Semua orang yang kembali pada Penciptanya dan memulangkan semula pujian pada Allah mampu melakukan proses pemulihan akhlak diri secara automatik.

Nota: Kajian membuktikan bahawa manusia sering terlebih membuat penilaian dalam apa saja perkara hasil usahanya, samada idea, produk atau apa-apa saja. Berikan tumpuan pada fakta tersebut untuk proses pemulihan akhlak anda.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

One thought on “Rahsia pemulihan akhlak diri yang anda mungkin tak tahu

  1. Guligang

    Ini penulisan yang jarang sekali dikupas. Sangat padat dan bertenaga.
    Perlu dibaca berulang setiap kali ‘penyakit Hati’ itu datang.

    #Saya manusia biasa, terkadang kejayaan datang berpakej bersama sifat Bangga.
    Sholat Dhuha ubat paling mujarat untuk muhasabah diri.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge