Tahu berenang dan rahsia tranformasi diri

By | 11/07/2013

Adakah anda tahu berenang?

Kebiasaannya ramai orang kita yang tak tahu berenang. Walaupun ada yang tinggal di tepi laut atau tepi sungai, namun ada juga yang tak tahu berenang.

Puncanya hanya satu. Orang tua kita sering berpesan agar menjauhi air. Jangan mandi sungai dan jangan mandi laut merupakan pesan orang tua sejak kita kecil.

Kita sering dilarang dari mendekati air. Akibatnya kita membesar dengan tidak tahu berenang.
Belajar berenang mudah
Saya ialah salah seorang daripada golongan yang ibubapanya sering berpesan agar jangan mandi sungai atau mandi laut.

Tetapi, walaupun sering dilarang dan diingatkan, saya berakhir dengan tahu berenang. Sebabnya adalah kerana saya tetap juga pergi mandi sungai secara diam-diam ketika kanak-kanak dulu. Sikap degil inilah yang membuatkan saya tahu berenang.

Walau bagaimanapun, sebelum tahu berenang, sikap degil itu jugalah yang membuatkan saya hampir-hampir mati lemas di dalam sungai yang luas.

Bagaimana saya tahu berenang?, Ceritanya begini,
Belajar berenang
Masa kanak-kanak dulu saya dan kawan-kawan akan curi pergi mandi sungai selepas habis mengaji Quran di Masjid.

Sungai yang kami mandi memang dalam tetapi keluasannya cukup untuk kami ambil lajak dan terjun dengan laju untuk terus sampai ke seberang sana.

Kepakaran yang kami dapat hasil dari latihan terjun laju untuk menyeberangi sungai membuatkan keupayaan atau tahu berenang tidak diperlukan.

Suatu hari, kami melangkah jauh untuk mandi di sungai Kulim yang keluasannya hampir lima kali ganda dari keluasan sungai yang kami selalu mandi.

Dengan keluasan itu, sehebat manapun kami terjun tak mampu untuk membawa kami menyeberang ke sebelah tebing sana.

Oleh itu kami yang tak tahu berenang hanya bermain-main di tepian dan sekali sekala menggunakan tali panjang yang digantungkan pada dahan pokok Riang Aceh untuk melakukan gayutan ala tarzan yang mampu membawa kami ke seberang sungai.

Setelah puas mandi di tepian, saya naik ke darat untuk melakukan hayunan tarzan dengan menggunakan tali tersebut.

Setelah ambil lajak, maka saya bergayut melalui tengah sungai di mana beberapa rakan lain yang tahu berenang sedang bermain.

Mereka melawak dengan menarik saya sebaik sahaja sampai di tengah sungai berhampiran mereka.

Apalagi, “buuum!”, saya terjatuh betul-betul ditengah sungai yang dalam dan luas itu.

Semua orang tak tahu yang saya tak tahu berenang. Maka saya tenggelam timbul sambil menjerit tolong pada mereka semua yang sudahpun naik bertinggung di darat melihat telatah saya.

Mereka sangkakan itu cuma satu sandiwara.

Dah bergelen air sungai saya telan dan saya mula putus asa dan panik yang amat sangat. Sedangkan mereka semua hanya ketawa dan ketawa!.

Dalam kelam kabut itu saya buat keputusan untuk berhenti meronta dan membiarkan diri tenggelam begitu saja.

Sebaik saja buat keputusan untuk menerima keadaan ketika itu seadanya, secara tiba-tiba ketenangan muncul dalam minda.

Ketenagan itu membuatkan saya dapat merasakan keseluruhan anggota tubuh badan saya. Saya dapat rasakan air yang sejuk menyentuh anggota badan.

Keheningan perasaan itu membuatkan saya mula menggerakkan sedikit kedua-dua tangan secara berirama. Hasil lonjakan lembut itu membuatkan seluruh badan saya naik ke atas.

Segala perbezaan hasil gerakan tangan dan kaki terhadap kedudukan saya di dalam sungai dapat dirasakan dengan jelas dan nyata.
Belajar teknik berenang
Saya betul-betul dapat menguasai diri sepenuhnya ketika itu dan dengan perlahan saya berada dipermukaan menyeimbangkan diri dan akhirnya menguakkan tangan dan berenang dengan tenang ke tepian.

Ketika kesemua itu berlaku suara tertawa langsung tidak kedengaran. Hanya keheningan perasaan merasakan diri saya sendiri yang sedang mengapung di dalam air.

Saya sampai ke tepi dan pada tempat cetek mula berdiri dan naik ke atas darat. Suara ketawa kawan-kawan mula kedengaran semula apabila saya memberikan tumpuan pada sekeliling.

Saya turut tertawa dan duduk bertinggung kesejukan. Dalam kepala masih tidak percaya yang saya baru saja berenang merentasi sungai dari tengah menuju ke tepi.

“Aku dah tahu berenang!”, bisik hati saya.

Sejak itulah saya tahu berenang. Sekarang saya memang boleh berenang ke tengah laut tanpa rasa penat. Saya boleh berenang di lautan sama macam saya berjalan sekeliling taman tanpa ada rasa penat.

Pelajarannya

  • Walau apapun yang terjadi, hanya anda sendiri yang mampu menyelamatkan keadaan.
  • Sejauh mana anda cuba menerangkan masalah anda pada orang lain, tiada sesiapa yang akan benar-benar faham keadaan sebenar selain daripada anda sendiri dan Allah. Anda perlu tahu bila perlu berhenti mengadu pada orang dan hadapkan wajah anda hanya padaNya.
  • Asas untuk menggunakan kekuatan diri akan muncul hanya apabila anda buat keputusan untuk tidak panik.
  • Perasaan panik akan hilang sebaik sahaja anda berjaya menerima hakikat diri anda seadanya dan memberi tumpuan dalam keadaan itu untuk mula berubah tanpa mengharapkan bantuan luaran.
  • Tumpuan hanya akan datang sebaik sahaja anda melupakan perkara lalu dan berhenti membayangkan masa hadapan.
  • Sebaik saja anda berhenti mengimbau masa lalu dan lupakan masa hadapan, anda mula berada di masa sekarang.
  • Masa sekarang adalah realiti yang sedang dihadapi sedangkan masa lalu hanyalah kenangan dan masa hadapan hanyalah imaginasi.
  • Mereka yang berjaya meletakkan dirinya pada masa sekarang berupaya merasai kekuatan diri dan dapat menggunakan sepenuhnya kekuatan itu untuk apa-apa saja hasrat yang diputuskannya.

Ini menjawab banyak persoalan kenapa kita tidak berjaya dan sering resah dalam kehidupan. Kita sering rasa seolah-olah tenggelam timbul seperti seorang yang sedang bersabung nyawa lemas di dalam air.

Cuba perhatikan sepanjang masa kita sedar berapa kali minda kita sering mempermainkan diri dengan mengimbau kenangan lalu dan mendambakan masa hadapan yang lebih baik.

Itu semua membuatkan kita tidak pernah berada dalam masa sekarang di mana saja kita berada sama da sedang bawa kereta sedang bermain malah ketika sedang bersolat sekalipun.

Itulah jawapannya kenapa apa saja kerja yang kita lakukan langsung tidak berkualiti!

Oleh itu terimalah hakikat di mana anda ada sekarang dan perhatikan dan rasakan dengan jelas apa yang anda ada. Gunakan semua itu untuk melaksanakan tugasan anda dalam meneruskan kehidupan.

Masa hadapan belum tentu berlaku kerana anda boleh saja mati sesaat atau dua saat dari sekarang. Adalah lebih bijak hargai apa yang ada sekarang dari bersedih kerana masih belum dapat apa yang anda tak ada!

“Anda mahu belajar berenang? jangan masuk kolam sebelum baca buku ini!!!”

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

11 thoughts on “Tahu berenang dan rahsia tranformasi diri

  1. fiezaradzi

    nasib baik ok.. kalau mampu berfikir sebaiknya, baguslah.. de juga perkara baru utk kita tahu..

    tima kasih atas perkongsian.. bagus cerita ni..

    Reply
  2. nurul

    saya pun tak reti berenang. masuk kolam je gelabah. cuba nak terapung tapi asyik tenggelam. lepas tu adik lelaki saya kata “cuba ko bersila dalam air tu sambil tahan napas”. haha nak tergelak pun ada tiba2 boleh terapung. cuma nak maju ke depan je tak reti2. kuak 10x tapi gerak 1 inci je =P tapi rasanya kuak lentang lagi senang.

    Reply
  3. Hafizul

    Hehe..menarik utnuk dibaca..saya dulu pandai berennag..tapi lepas kemalngan hampir nk lemas hari tu, lepas tu jadi fobia nak masuk mandi kat air dalam..sampai sekarang masih takut dengan air dalam…

    Reply
  4. kakiblog

    antara cerita motivasi yang cukup mengujakan..masa kecil dahulu saya pernah beberapa jatuh dalam sungai dan hampir lemas..pengalaman ini menjadikan saya nekad belajar berenang…akhirnya kemahiran berenang boleh saya kuasai sepenuhnya.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge