Allah hantar ujian kepada kita, di luar bulan puasa serta di bulan puasa terutamanya, dalam pelbagai cara demi menguji kesabaran hati dan adakah tercuitnya ego.

  1. Orang kata idea kau tak bagus.
  2. Orang sekeliling kata pakaian kau selekeh
  3. Orang tanya “Kereta kau ni cat pakai berus sabut ke?”
  4. Orang tak suka hasil kerja kita
  5. Orang kutuk masakan
  6. Orang perli kita dengan benda-benda yang memang mereka tahu kita akan marah
  7. Orang kata kereta kau tak laju
  8. Orang kata muka tua 10 tahun dari umur
  9. Orang perli sebab pendidikan kita rendah
  10. Orang kutuk kerana masih menganggur
  11. Orang perli sebab lambat kahwin
  12. Orang asyik tanya bila nak dapat zuriat
  13. Orang mengata kerja kita yang pendapatan tak seberapa
  14. Orang bandingkan pendapatan kita dengan orang lain yang lebih berjaya
  15. Rakan taulan mengata hal kita di belakang
  16. Saudara mara bercakap hal kita yang buruk
  17. Orang double-park belakang kereta kita
  18. Orang ambil tempat parking
  19. Orang lambat bergerak di lampu isyarat
  20. Orang lambat layan kita di kaunter
  21. Orang lambat bayar duit hutang
  22. Kita buat kerja bertungkus lumus tapi yang tak buat kerja dan kaki ampu dapat jawatan
  23. Hantar baju raya dan salah jahitan atau ukuran
  24. Keluarga bandingan diri kita dengan saudara lain
  25. Orang kata kita makin kurus (Bagi yang ingin berisi pernyataan ini berikan tekanan)
  26. Orang kata kita makin berisi (Bagi yang ingin kurus pernyataan ini berikan tekanan juga)
  27. Buat proposal pinjaman tapi agensi lambat beri jawapan
  28. Barangan yang diorder lambat sampai
  29. Harapkan naik pangkat tapi rakan lain yang dapat
  30. Saudara dan sahabat handai perli usaha kita kata “Sudahlah dah bertahun-tahun rugi, tak payah berniaga lah”
  31. Kenalan jauhkan diri sebab kita tiada jawatan dahulu
  32. Macam-macam lagi dan macam-macam berlaku

Usah merungut dan tertekan, sebaliknya perlu berterima kasih kepada Allah atas nikmat ujian kerana Dia sayangkan kita.

Semua ini hanya ujian untuk melihat kesabaran kita. Allah pinjamkan kita di dunia. Asalnya kita fakir kerana kita tak miliki apa-apa di alam rahim ibu lalu kita dipinjamkan kehidupan dan kenikmatan hidup.

Kita kerap kali terlupa yang semua ini hanya pinjaman dan kita sering marah dan tertekan kerana kita “berasa” yang kita ada HAK atas sesuatu.

Kita rasa kita ada hak atas harta, ada hak atas keluarga, ada hak atas wang ringgit, ada hak atas kuasa, ada hak atas masa dan ada hak atas pelbagai bicara

Namun kita terlupa yang semua ini hanya ujian.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Thabrani daripada Abu Umamah, Allah berfirman kepada malaikat-Nya bermaksud: “Pergilah kepada hambaKu. Lalu timpalah bermacam-macam ujian kepadanya kerana Aku mahu mendengar suaranya.”

Tidakkah kita sepatutnya berasa sangat bersyukur di atas ujian yang melanda kita. Ujian tanda kasih sayang Maha Pencipta kepada hambaNya yang penuh dengan noda dan dosa.

Kita juga sering tertanya-tanya apakah hikmah yang Allah mahu berikan dengan ujian ini. Kita akan terus mencari dan mencari, tetapi masih tidak ketemu jawapannya.

Terkadang hikmah dan kebaikan itu hanya Allah sahaja yang tahu, walaupun kita memandang buruk dengan ujian dan dugaan yang menimpa kita.

”Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah: 216)

Kunci bagi setiap kali ujian menimpa kita, adalah bersabar dan bersyukur. Allah takkan menimpa ujian di luar batas kemampuan kita sebagai seorang manusia.

Apabila terjadinya sesuatu yang berat buat kita, solatlah dua rakaat terlebih dahulu. Agar jiwa kita tenang untuk berfikir dan menyelesaikannya.

”Dan kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” (Surah al-Anbiya: 35)

Matlamat kita semua adalah syurga, jadi bersiap sedialah dengan ujian yang datang dan akan mendatang.

Hadapinya dengan tenang, pintalah agar Allah memudahkannya dengan kebaikan dan mohonlah kekuatan hanya pada Allah, satu-satunya Tuhan yang sangat sayang pada kita.

Ingatkan ini ialah untuk diri saya sendiri yang sering merungut dan lemah dan saya ingin berkongsi agar sekurang-kurangnya ada sedikit manfaat bersama yang dapat diambil dari kelemahan sifat saya ini insyAllah.

Selamat berpuasa.

Nota: Artikel di atas adalah sumbangan dari saudara Azad Jasmi. Beliau merupakan seorang Biz Coach yang anda boleh hubungi melalui email azadjasmi@yahoo.com

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge