blue-metal-1500x1000Bulan ini merupakan antara bulan paling banyak saya ada di luar kawasan. Tak sempat nak menulis sekerap dahulu lagi dalam keadaan sering keluar kawasan ke sana dan ke sini.

Dalam tempoh dua minggu ini saya ada di kawasan utara tanah air. Mulanya minggu lepas di Perlis dan sekarang, ketika sedang menaip di komputer ini, saya sedang berada di Sungai Petani, Kedah.

Untuk pastikan minggu ini ada artikel yang saya siarkan di blog ini, saya ambil masa sedikit di sini untuk buat pembaca semua cuba renungkan tajuk yang tertera di atas.

Kenapa buat begitu ?

Ada nasihat dari barat yang amat baik untuk kita fikirkan dalam menjalani kehidupan, nasihat itu menyebut,

” Jika sejuta orang buat perkara salah, ia tidak menjadikan perkara salah itu betul “

Ertinya, alasan bahawa ramai orang buat begitu, tidak boleh dijadikan alasan yang baik untuk kita turut sama mengikuti apa yang ramai orang buat.

Ada banyak perkara yang orang lakukan disebabkan ramai atau hampir semua orang buat begitu.

Bila ditanya, “kenapa buat begitu ?”,

Dia akan jawab, “Sebab semua orang buat begitu…! “.

Satu lagi hasil dari sikap ikut-ikutan begitu adalah, timbulnya perasaan takut, “nanti apa pulak orang kata!”.

Kenapa bilik air pasang mar-mar licin ?

Cuba perhatikan di kebanyakan bilik air yang ada di negara kita, yang dipasang mar-mar atau mozek di lantainya. Anda boleh lihat kebanyakannya memasang mar-mar yang licin.

Cuba pergi lihat di kebanyakan masjid yang memasang mar-mar di kawasan ambil air sembahyangnya. Di situ juga kebanyakannya di pasang dengan mar-mar yang licin.

Agaknya kenapa jadi begitu ?

Mungkin di kebanyakan tandas atau bilik air barat, mereka memasang mar-mar sedemikian supaya kelihatan cantik dan berseri serta bersih.

Maka kita juga melakukan perkara yang sama.

Lagipun kebanyakan teknologi atau trend yang masuk ke negara kita adalah datang dari, samada barat atau timur tengah.

Jika kita main ikut saja tanpa bertanya kenapa perlu buat begitu, mengkaji hasil yang didapati, pro dan contra dan segala bagai. maka akan lahirlah sesuatu yang tidak sesuai dengan keadaan semasa dan budaya setempat.

Di barat, mereka guna air yang sedikit berbanding orang kita. Basuh berakpun jarang guna air, kebanyakan mereka hanya beristinjak dengan tisu.

Dari amalan tersebut, tidak berlaku lantai basah merata tempat.

Mar-mar basah, lantai licin

Minggu lepas, saya singgah solat magrib di Masjid Bukit Aman. Sebak saja masuk ke dalam masjid di bahagian bawah untuk pergi ambil wuduk, anak kecil saya yang berumur 5 tahun berlari gembira ke depan.

Tak sempat nak kata apa, anak saya itu terus jatuh bergolek di lantai.

Lantai dipasang dengan mar-mar licin berkilat, dari bilik air sampai keluar semuanya dipasang dengan mar-mar tersebut.

Kawasan itu juga terdedah dengan tempisan hujan. Kebetulah hari itu hujan turun lebat dan basahlah mar-mar itu dengan air.

Itulah yang berlaku apabila kita tidak bertanya kenapa buat begitu, dan main ikut saja apa yang orang lain buat.

Bab jatuh bergolek pada anak saya itu bukan perkara terpencil. Banyak kejadian orang tua jatuh bergolek di masjid disebabkan lantai licin yang basah.

Ramai juga kita dengar orang tua meninggal dunia dalam bilik air terjatuh.

Masjid ala Timur Tengah

Dalam pembinaan masjid juga ada banyak binaan yang ikut rekabentuk timur tengah.

Bila di lihat memang cantik, terasa seperti ada di timur tengah ketika berada di dalamnya. Tapi bila hujan turun, jemaah yang ada di bawah habis basah kuyup.

Mungkin para arkitek yang membinanya tak terfikirkan bahawa kat Malaysia, jumlah hujan yang turun setahun terlalu jauh lebih tinggi dari Timur Tengah.

Semua orang bagi duit

Dalam dunia perniagaan terutamanya yang melibatkan peluang kerja dari kerajaan atau organisasi swasta, bab bagi duit juga macam dah jadi satu budaya biasa walaupun tersorok.

Ramai yang terpaksa buat juga begitu sebab semua orang buat, jadi dia juga perlu buat. Ada kawan-kawan berniaga yang sampai berpegang kalau buat bisnes dengan kerajaan tak bagi duit pasti gagal.

Bagi duit perkara biasa. Untuk lebih lagi mendapat perhatian dengan kerja-kerja yang lebih besar, perlu beri lebih dari duit. Maka merebaklah pula budaya berikan perempuan (untuk pegawai lelaki) dan lain-lain hiburan yang hebat dan mahal.

Itu satu lagi masalah tak tanya kenapa dan main ikut saja.

Cari jalan terbaik yang lebih sesuai

Apa yang saya berikan di atas hanyalah beberapa contoh keburukan main ikut-ikutan.

Kita mesti hentikan sikap suka main ikut macam tu saja dan perlu berikan perhatian lebih kepada matlamat yang nak dicapai.

Fikirkan matlamat terlebih dahulu dan kemudian barulah merangka jalan yang paling baik untuk mencapainya.

Jalannya pula mestilah jalan yang beretika, bersesuaian dengan keadaan setempat dan dibenarkan oleh undang-undang.

Untuk membolehkan kita mencari jalan sebegitu, tidak ada cara lain selain dari berada dalam keadaan sedar dan jelas dengan apa yang sedang kita lakukan.

Kita juga perlu jelas dengan apa yang kita mahu.

Kemudian barulah diberikan tumpuan kepada mencari jalan bagaimana untuk jayakan apa yang diingini.

Apa yang anda buat ?

Cuba buat senarai amalan anda selama ini dalam perniagaan terutamanya. Dan di hujung setiap amalan tersebut, cuba berikan sebab kenapa anda lakukan sedemikian.

Adakah anda lakukannya,

  1. Sebab orang sebelum anda biasa buat begitu atau sebab orang lain buat begitu
  2. Sebab anda dah kaji, itu adalah cara paling berkesan untuk mencapai apa yang anda mahu.

Jika jawapannya adalah no. 2, anda pasti seorang yang berjaya melebihi orang lain dan insyaallah akan lebih jauh ke depan satu hari nanti.

Jika jawapannya adalah no.1, paling hebat, anda hanya sama dengan semua orang lain sahaja itupun agak payah untuk mencapainya. Kurang dari orang lain adalah perkara biasa.

Contoh

Bagi mereka yang biasa kerja syarikat besar samada swasta atau kerajaan dan kemudiannya berhenti dan jalankan perniagaan mungkin akan alami masalah terikut dengan budaya kerja lama.

Bila dia berniaga dengan beberapa orang tenaga kerja dan rakan kongsi, dia mahu buat mesyuarat formal penuh protokal dan etika seperti mesyuarat yang pernah di alami ketika kerjanya dahulu.

Cuba tanya, apakah perlu buat begitu ?

Adakah cara itu paling berkesan dan optimum ?

Kenapa tak bincang saja dikedai kopi ?

Cuba anda fikirkan !

 

Total
1
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge