Senjata dahsyat untuk berjaya yang tidak digunakan

By | 19/01/2013

Adakah satu senjata sulit yang cukup hebat yang mampu menyelesaikan dan merungkai segala masalah? Jika saya katakan ada! dan memang selama ini kita sering menggunakannya tentu anda mahu tahu apakah senjata tersebut.

Jika anda seorang muslim, sememangnya anda memiliki senjata itu. Ianya adalah…..Doa!. Saya telah tuliskan sebelum ini bagaimana anda boleh gunakan doa dalam mencari apa yang anda mahu di sini.

Pada khutbah jumaat baru-baru ini kebetulan isu yang diutarakan adalah berkenaan doa sebagai senjata orang mukmin.

Kita memandang ringan dengan kehebatan doa. Jika kita mengetahui betapa hebatnya doa, sudah pasti kita akan sanggup buat apa saja untuk memastikan kita dapat sentiasa berdoa dengan penuh keikhlasan.

Berikut saya kongsikan dua cerita yang disampaikan oleh Khatib yang membaca Khutbah jumaat di Masjid As-Salam baru-baru ini.

Cerita 1
Khatib berkongsikan pengalaman peribadinya ketika berada di Mekah sedang menunaikan umrah. Pada masa itu dia sedang berada di Masjidil Haram dan terlihat seorang tua bersama dengan anaknya. Anaknya sedang memimpin tangan bapanya yang tua, sakit dan buta.

Ketika melalui mereka, Khatib terdengar kata-kata ayah yang tua dan buta itu meminta anaknya melepaskan tangan dari memimpinnya.

“Lepaskanlah tangan aku, aku punya urusan dengan Allah”, kata si ayah yang buta.

“Bagaimana saya mahu lepaskan tangan memimpin ayah, sedangkan ayah tidak dapat melihat. Tentu ayah akan menghadapi kesukaran jika saya lepaskan!” jawab si anak dengan penuh kasih sayang.

“Lepaskan saja tangan aku itu, aku berada di rumah Allah, aku sedang menjadi tetamu Allah dan aku ada urusan dengan Tuhanku, lepaskanlah tangan ku ini” rayu ayahnya lagi dengan tegas.

Akhirnya si anak melepaskan tangan dari memimpin ayahnya dan membiarkan ayahnya berlalu sendirian. Melihat peristiwa yang menarik itu, Khatib tergerak untuk mengikuti si ayah yang buta dan sakit tersebut. Dia ingin menyaksikan apakah yang akn diperbuatkan oleh si ayah.

Selepas dibiarkan sendirian membawa haluannya, si ayah dalam keadaan berdiri lalu mengangkat kedua belah tangannya ke atas dan berdoa dengan penuh ikhlas dan syahdu. Dia hanya menggunakan bahasa seorang awam dalam doanya tersebut.

“Ya Allah!, sudah 60 tahun aku buta dan tidak dapat melihat. Aku sering mendengar cerita berkenaan rupa Kaabah, namun aku tidak dapat menyaksikannya dengan mata aku sendiri. Demi kebesaranmu ya Allah!, engkau berilah aku kemampuan untuk melihat rupa Kaabah Mu sekarang ini Ya Allah!, aku ingin melihat Kaabah dengan mata ku sendiri!” rayu si ayah yang tua dan uzur itu dengan ikhlas.

Tidak berapa lama kemudian kedengaran laungan si ayah yang buta itu dengan penuh takjub dan syahdu. Dia memuji-muji keindahan Kaabah dengan tidak berhenti-henti.

“Ya Allah!, indahnya Kaabah!, indahnya Kaabah! indahnya Kaabah!….si ayah mengulang-ulang ayat tersebut tidak berhenti-henti dengan penuh rasa kegembiraan.

Masyallah!, Khatib dengan penuh kagum merasa amat kaget dengan apa yang dilihatnya. Doa si ayah yang telah buta sejak 60 tahun lalu dimakbulkan Tuhan serta merta. Dia dapat melihat Kaabah di depan matanya dengan matanya sendiri yang telah buta.

Cerita 2
Seorang Doktor pakar kanak-kanak telah dilantik untuk mengetuai satu seminar yang akan dihadiri oleh seluruh doktor pakar lain sedunia di satu bandar di India.

Doktor Aisyah, itulah namanya. Pada hari yang ditetapkan, dia sampai ke Lapangan Terbang untuk dinaiki yang akan membawanya ke bandar di mana seminar akan diadakan.

Malangnya Kapal Terbang yang bakal dinaiki telah ditangguhkan kerana mengalami kerosakan pada enjin di salah satu sayap.

Dengan penuh risau, dia mengadu akan halnya pada pegawai Lapangan Terbang akan betapa pentingnya urusan yang telah diamanahkan padanya di seminar tersebut. Walau apapun yang berlaku dia perlu mencari jalan untuk sampai ditempat yang mahu ditujunya.

Pegawai lalu memberikan cadangan agar dia mengambil kereta dan memandu sahaja ke destinasinya. bandar yang mahu ditujunya hanyalah mengambil masa 3 jam perjalanan dengan menaiki kereta. Oleh kerana tiada pilihan lain lalu diapun memandu ke sana dengan keretanya.

Dalam perjalanan, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Keadaan semakin lebat sehingga menyukarkan penglihatan. Dalam perjalanan sukar itu, dia mendapati bahawa dia telah hilang punca dan arah. Dia rasa telah sesat dalam perjalanannya.

Dalam keadaan hujan yang lebat dan kabur, lalu terlihat olehnya sebuah rumah kecil di tidak jauh dari jalan yang sempit itu. Lalu dia menuju ke arah rumah kecil itu, berhenti dan keluar dari kereta dalam keadaan hujan lebat dan mengetuk pintu.

Pintu dibuka dan terlihatlah seorang perempuan tua menjenguk dari dalam. Orang tua itu mempersilakan masuk kerana hujan terlalu lebat. lalu Dr Aisyah pun masuk ke dalam. Dia menceritakan halnya yang telah tersesat arah.

“Berehatlah sebentar sementara menunggu hujan reda” cadang wanita tua tersebut. Lalu Dr Aisyah duduk sebentar menunggu agar hujan reda. Perempuan tua tersebut lalu masuk ke dalam bilik yang terbuka pintunya. Dia mahu menunaikan solat.

Dr Aisyah hanya melihat dari luar bilik bagaimana perempuan tua itu solat dan akhirnya memberi salam. Di sebelah perempuan tua itu bersolat kelihatan seorang kanak-kanak sedang tidur tidak bergerak. Selepas solat dia menadah tangannya dan mula berdoa.

Selesai berdoa dia dilihat menggoyang-goyangkan kanak-kanak yang sedang terbaring di sisinya. Begitulah diulang-ulang perbuatannya sehingga beberapa kali. Dr Aisyah melihat dengan penuh minat dan mula timbul rasa ingin tahu apa yang sedang dilakukan oleh orang tua tersebut.

Setelah selesai solat dan berdoa, perempuan tua itu datang menemui Dr Aisyah dan berbual. Lalu bertanyalah Dr Aisyah siapa kanak-kanak yang sedang tidur tadi dan apakah yang dilakukan olehnya dengan menggoyang-goyangkan badan kanak-kanak itu.

Lalu berceritalah perempuan tua itu bahawa anak kecil itu merupakan cucunya. Dia masih hidup tetapi lumpuh dan tidak sedarkan diri sejak beberapa lama. Dia telah dikunjungi oleh seorang Doktor di kampung tersebut yang mengesahkan anaknya masih hidup tetapi tidak dapat dirawat olehnya.

Penyakit kanak-kanak itu hanya boleh dirawat oleh seorang pakar kanak-kanak yang tahu dengan mendalam tentang penyakit yang sedang dialami oleh kanak-kanak itu. Tetapi untuk bertemu dan membuat temujanji dengan Doktor pakar itu bukanlah sesuatu yang mudah.

“Sejak itu saya sentiasa menadahkan tangan berdoa setelah selesai solat agar Allah menemukan saya dengan Doktor pakar tersebut”, terang si nenek tua pada Doktor Aisyah.

“Siapakah nama Doktor Pakar yang diberitahu oleh doktor itu pada Makcik?” tanya Dr Aisyah

“Namanya Dr Aisyah!”, jawab Makcik tua itu.

Terkejut Dr Aisyah mendengar jawapan itu. Sedarlah dia kenapa dia boleh berada di situ setelah dirintangi dengan berbagai masalah. Rupa-rupanya Allah sedang mengkabulkan doa si nenek tua itu.

Allah mengkabulkan doa dengan berbagai cara. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh dan yakinlah dengan Allah. Jangan sia-siakan senjata yang anada ada. Segala usaha yang termampu kita lakukan akan menjadi lebih berkesan jika ditambah dengan doa yang ikhlas dan yakin.

Apa yang perlu kita tanya pada diri sendiri sekarang ini: Adakah kita bersungguh-sungguh ketika berdoa dan adakah kita yakin dengan doa tersebut?

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

3 thoughts on “Senjata dahsyat untuk berjaya yang tidak digunakan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge