Sesekali turun ke bawah untuk faham

By | 09/05/2013

Ini artikel perkongsian merasai semula nikmat kehidupan apabila turun ke bawah.

Sepanjang tempoh berkempen pada PRU 13 baru-baru ini saya menghabiskan masa berada di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang. Kampung Kubang Semang dan Pekan Penanti merupakan taman permainan tempat saya dibesarkan.

Semenjak dilahirkan hinggalah lepas tingkatan 5 saya tinggal di kampung. Ketika menunggu keputusan SPM pula, saya berniaga burger di simpang 3 depan balai polis pekan Penanti.

Perniagaan burger sekitar tahun 1985 itu adalah agak baru. Hasil dari berniaga burger saya dapat sedikit pendapatan untuk menyara gaya hidup saya ketika itu.

Setelah keputusan SPM diumumkan, saya mula keluar dari untuk sambung belajar. Mulanya di KL kemudian ke luar negara. Zaman awal kerja makan gaji saya tinggal semula di kampung. Zaman itu serba kekurangan, duit tak ada, baru mula bekerja.

Segalanya berbeza kini,

  • Dulu tak ada telefon bimbit, sekarang ada malah terus jadi gabra kalau tertinggal telefon bimbit.
  • Dulu ke mana-mana naik bas awam, sekarang ada kereta sendiri
  • Dulu berkira-kira duit untuk makan di luar, sekarang terus makan dan bayar
  • Dulu jalan kaki saja meronda di Tanjung, sekarang berlagak letih jika terpaksa berjalan.
  • Dll
Ringkasnya semuanya terasa mudah sahaja waktu itu, walaupun sekarang semua itu dilihat menyusahkan.
Pergi Tanjung naik bas
Untuk cuba menghayati semula suasana dulu, saya keluar berjalan kaki sambil membawa beg ke perhentian bas di Pekan Penanti. Destinasi adalah untuk ke Georgetown atau orang Pulau Pinang biasa panggil sebagai Tanjung.
Saya mula menunggu bas di depan Balai Polis Pekan Penanti dari pukul 2.30 petang. Nasib baik ada kakak penjual di gerai sebelah yang boleh diajak berbual. Berbual rancak sehingga tak terasa dah sejam menunggu bas masih tak datang.
Akhirnya muncullah bas Rapid yang menuju ke Pekan Bukit Mertajam dengan tambang dikenakan sebanyak RM1.20. Lega rasanya dapat naik bas setelah berpuluh tahun tidak merasainya lagi. Teringat kembali segala nostalgia lama naik bas dari sekolah rendah sampai remaja di kampung setiap kali berjalan atau ke sekolah di Bukit Mertajam.
Sampai di BM, terpaksa tunggu bas yang menuju ke Butterworth pulak. Nasib baik basnya cepat datang dan saya terus memlompat masuk sambil bertanyakan tambang pada pemandu. Bayar RM2.00 terus dapatkan tempat duduk.
Bas bergerak laju dan diri berkhayal lagi. Diri terasa segar seperti remaja. Setiap kali mahu ke Pulau Pinang masa remaja dulu, perasaan seronok tak dapat digambarkan.
Sampai di Perhentian Bas Butterworth, terus keluar berjalan kaki menuju ke jejambat yang membawa penumpang menuju ke Feri. Sebelum masuk ke tempat menunggu feri kena bayar terlebih dulu. Uniknya feri Pulau Pinang adalah bayaran hanya dikenakan untuk pergi sahaja. Balik percuma.
Tunggu pula kedatangan feri selama 20 minit lebih baru muncul. Saya terus masuk sebaik saja gate dibuka dan mendapatkan tempat duduk melepaskan keletihan.
Badan mula tersa letih. Tambahan pulak hari itu saya berpuasa sunat hari isnin. Kebetulan ada seorang pemuda di sebelah yang murah senyumannya mengajak saya berbual. Lalu hilanglah keletihan asyik bertanyakan pengalaman pemuda yang merupakan seorang ushawan dalam industri pelancongan. Kami bertukar-tukar business card.
Sebaik saja sampai di seberang, kami berpisah. Dia mahu ke pusat peranginan di batu feringgi manakala saya hanya mahu berjalan kaki merayap ke bandar.
Nasi kandar, roti canai
Perlahan-lahan saya berjalan menikmati keletihan dan kesusahan menjadi insan yang tidak berkenderaan sehinggalah sampai ke Masjid Kapitan Keling untuk menunaikan solat asar. Waktu dah menujuukkan jam 6 petang.
Masa terlalu cepat berlalu dan saya perlu bergegas pulang untuk berbuka puasa bersama ibu yang menunggu. Berjalan kaki bepatah balik semula sambil merakamkan beberapa gambar yang dilihat menarik. Ketika lalu di kedai nasi kandar, puasa membuatkan roti canai yang ditebar kelihatan cukup lazat. Saya bungkus dua ketul untuk di bawa pulang
Ketika mahu bayar, lalu di sebelah lauk pauk, terpercik pula air liur melihat ayam goreng berserta dengan berbagai rempah kari. Bungkus pulak nasi berlaukkan ayam lalu terus cepat-cepat berjalan kaki menuju ke jeti feri.
Feri balik kali ini sedikit berbeza kerana penumpang jalan kaki diletakkan bersama dengan penumpang kenderaan. Ada kawasan seperti kandang berpagar yang memisahkan pejalan kaki dengan mereka yang berkereta.
Tutup enjin kereta atas feri
Saya rasa lega kerana dapat duduk untuk melepaskan keletihan. Tapi malangnya bahang dari enjin kereta sebelah membuatkan rasa panas. Saya melihat pemandunya seorang perempuan bertudung labuh dengan selamba tidak mematikan enjin keretanya untuk memasang penghawa dingin.
Sepatutnya semua pemandu kenderaan di wajibkan menutup enjin ketika berada di dalam feri. nampaknya kakak tersebut tidak reti bahasa. Kemudian datang pekerja feri ke depan cermin kereta tersebut memberikan isyarat agar enjin ditutup.
Malangnya kakak itu hanya merenung pekerja feri dan meneruskan aktiviti membaca surat khabarnya. Berlagak sungguh! mentang-mentranglah dia bawa kereta Honda Accord!. Oleh kerana bosan dengan sikap kakak itu, saya bangun dan menggawang padanya agar tutup enjin dengan memberikan isyarat panas bahang enjin itu mengganggu saya.
Nasib baik dia akhirnya menutup sambil menggelengkan kepala tanda mengherdik tindakan saya menegurnya. Kesabaran teruji namun objektif untuk menghilangkan bahang sudah tercapai, apa nak dipanjangkan lagi cerita. Saya duduk dan melupakan wajah kakak bertudung labuh itu.

Buka puasa atas bas
Sampai di Butterworth, terpaksa pula mengambil bas untuk ke Bukit Mertajam. Jam dah menunjukkan pukul 7.15 malam, magrib dah nak masuk dan bas masih lagi belum bergerak. Akhirnya saya berbuka puasa di dalam bas dengan minum sebotol air mineral.

Nak ditambahkan malang, bas yang saya naiki ambil jalan jauh untuk ke BM. Oleh kerana jam dan hampir pukul 8 malam, saya terpaksa turun ke Pekan Permatang Pauh supaya dapat menunaikan solat magrib di masjid.

Setelah selesai solat magrib, mulalah menelefon kawan-kawan yang ada berhampiran, malangnya semua berada di luar kawasan dengan aktiviti perhimpunan ceramah pilihanraya. Nasib baik akhirnya seorang abang yang saya kenali menyapa saya ketika sedang termenung di tangga masjid.

Akhirnya dia menjadi mangsa untuk menghantar saya balik ke rumah. Alhamdulillah saya akhirnya dapat makan nasi dan minum kopi sambil berbual dengan emak yang menemani saya makan.

Apa yang saya belajar hari itu adalah betapa selama ini setelah mendapat kemudahan seperti kereta sendiri dan sebagainya tanpa perlu naik bas awam membuatkan saya lupa akan nikmat tersebut. Bila turun ke bawah semula, barulah terasa betapa nikmat yang Allah kurniakan pada kita seringkali membuatkan kita alpa.

Saya selalu mengingatkan diri saya bahawa harta kekayaan itu sentiasa datang dan pergi. Ada masa ia datang pada kita dan ada masanya ia akan pergi meninggalkan diri kita.

Semua itu bukanlah untuk menyusahkan diri kita, sebaliknya untuk menyedarkan semula tumpuan kita pada Tuhan yang mengurniakan semua kemudahan dan nikmat tersebut. Nikmat tidak akan terasa selagi ianya tidak ditarik balik.

Bila dah tiada barulah tersedar bahawa selama ini kita lupa. Oleh itu untuk menyedarkan diri sendiri, sekali sekala eloklah turun ke bawah dan rasai semula sedikit kesusahan.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

3 thoughts on “Sesekali turun ke bawah untuk faham

  1. Anonymous

    sedih jugak baca. sebab permulaan hidup saya agak sukar. dah bertahun kerja tapi masih tak mampu berkereta. naik bas, train, kena hujan panas, nak sampai rumah jauh pulak kena jalan kaki sebab bus stop dgn rumah jauh. ye saya menangis lagi2 kalau masa hujan ribut sampai payung terbalik patah pulak. kereta lori moto yg lalu asyik nak hon. sepanjang jalan istighfar byk2 supaya sabar dgn ujian allah. tiap langkah zikir sebab sebab tak tertahan nak menangis. memang bahaya gadis sunti nak jalan sendiri macam tu tambah pulak hari makin gelap. tapi saya kuatkan semangat dan redha kalau perkara buruk terjadi.

    tambah sedih sebab ada ahli keluarga lepas belajar terus dapat kerja tetap. terus mampu berkereta tanpa susah payah jalan kaki atau sekurangnya motor, perli2 kita. dah la tak pernah membantu, tumpangkan kereta balik kampung pun tak sudi walau sudah dipesan mak suruh balik sama2.

    alhamdulillah…dgn ujian allah tu lah buat saya jadi kuat. kalau terjumpa sapa2 yg saya kenal tengah jalan kaki nak ke tempat yg tak jauh dgn arah tuju saya, saya akan tumpangkan. perasaan dapat tolong orang tu tak mampu nak gambarkan dgn kata2. ujian tu mengajar saya supaya tak pentingkan diri.

    Reply
    1. Popo

      Salam. Sama la kita. Pernah merasa ‘di bawah’. Sekarang saya insyaAllah kalau nampak aja orang macam ada masalah di tepi jalan akan tolong dia seboleh mungkin… Saya selalu anjurkan macam tu lah, kalau kita boleh tolong kita tolong dulu sebab kalau tak nanti bila kita susah siapa yang nak tolong kita.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge