Susah senang tak kira bangsa, 2 faktor penentu kedudukan anda

By | 02/01/2017

Memang sahih ! susah senang tidak ada kena mengena dengan bangsa.

Samada Melayu, samada Cina, Mat Saleh, India, Kelabit, Iban atau apa saja bangsa atau etnik, anda boleh jadi senang, dan boleh jadi susah.

Mungkin ada yang akan tanya…

Tapi ! bukankah apa yang melekat dalam genetik kita itu banyak memberi kesan terhadap apa yang berlaku pada kita ?

Memang betul.

Genetik adalah salah satu faktor penentu terhadap cara berfikir dan bertindak anda dan saya. Dan setakat ini, mengubah ikatan atau simpulan genetik pada DNA manusia bukanlah tersedia untuk semua orang melakukannya. Para pengkaji masih menyelidiki semua perkara tersebut.

2 faktor penentu susah senang kita

Sebenarnya ada dua faktor utama yang menentukan cara berfikir dan cara anda dan saya bertindak. Sekali gus menentukan apa yang akan jadi pada kita, lalu memberikan kesan terhadap susah senang kehidupan.

Salah satunya sudah tentu genetik.

Selain dari itu, cara berfikir dan bertindak kita dibentuk oleh satu lagi faktor yang penting, iaitu faktor persekitaran.

Saya baca penerangan yang menarik dalam buku yang ditulis oleh M. Bakri Musa. Beliau merupakan seorang pakar bedah yang menjalankan khidmat di pusat perubatan kepunyaannya, di Silicon Valley, California.

Dalam bukunya bertajuk, Liberating The Malay Mind, dia ada mengulas bagaimana kedua-dua perkara tersebut memberi kesan kepada kehidupan kita.

Bentuk muka bumi tentukan cara jatuh bola

Perumpamaan mudah faham yang saya belajar dari penerangannya adalah begini,

Katakan ada dua biji bola. Keduanya sama besar dan sama bulat, dibuat dari bahan dan cara yang sama dengan tekanan angin yang sama dimasukkan ke dalam kedua-duanya. Pendek kata kedua-duanya adalah kembar serupa dan seiras.

Ambil kedua-dua biji boleh itu dan pergi panjat atas bukit yang curam yang berbatu. Bila dah sampai kat atas bukit, lepaskan kedua-dua biji bola itu serentak. Satu di sebelah kanan, dari tangan kanan dan satu lagi di sebelah kiri anda.

Lihat bagaimana cara kedua-dua biji bola tersebut bergerak turun ke bawah.

Bentuk curaman bukit yang berbatu menuju ke bawah itu sudah tentu berbeza-beza. Ada berbagai bentuk ketulan batu yang membentuk cerumannya. Ada batu tajam, leper, tertonjol ke atas, bersegi melintang dan sebagainya.

Cuba pergi buat sekarang dan lihat bagaimana kedua-dua bola itu jatuh ke bawah.

Anda akan lihat kedua-duanya jatuh dengan cara yang amat berbeza sekali. Ia bergantung jalan curam yang dilaluinya. Mungkin salah sebuahnya akan melantun ke atas bergerak ke kiri dan kanan, melantun lagi lebih tinggi bergolek dan pergi lebih jauh entah ke mana.

Yang sebuah lagi pula sudah tentu amat berbeza sekali cara jatuhnya. Dan sudah pasti kedua-duanya akan berakhir dengan kedudukan dan lokasi yang tidak sama. Mungkin lebih jauh atau mungkin lebih dekat.

Yang pastinya kedua-duanya amat berbeza sekali cara mereka jatuh dan cara mereka berakhir.

Macam itulah juga anda dan saya. Kita ada persamaan genetik secara umum dari segi bangsa dan etnik. Tapi persekitaran kita berbeza. Maka gabungan kedua-dua faktor itu banyak memainkan peranan untuk menentukan apa yang akan jadi pada kita.

Tempat tinggal mampu ubah bangsa

Saya ada baca satu lagi buku menarik yang ditulis oleh Jared Diamond, seorang professor Geografi di UCLA yang menyentuh tentang keadaan tempat tinggal sesebuah masyarakat.

Dalam bukunya bertajuk Guns Germs & Steel, dia ada menceritakan tentang dua bangsa yang datang dari satu keturunan yang sama. Penghijrahan dari satu keturunan yang sama itu membentuk dua bangsa. Satu dinamakan Moriori dan satu lagi bernama Maori.

Maori tinggal dan menetap di New Zealand. Moriori pula yang berhijrah keluar dari New Zealand sejak 500 tahun dan berpisah dari Maori menetap di Pulau Chatham. Pulau itu terletak 500 batu dari New Zealand.

Keadaan bentuk bumi amat berbeza antara New Zealand dan Pulau Chatham. Keturunan Maori di New Zealand merupakan peladang yang bercucuk tanam. Bila mereka berhijrah ke Pulau Chatham, pertanian tidak dapat dilakukan di situ sebab cuaca dan persekitaran yang amat berbeza.

Mereka tidak dapat teruskan budaya bercucuk tanam tumbuhan makanan tropika di situ, lalu beralih arah menjadi pemburu untuk memenuhi keperluan makanan mereka. Budaya pemburu amat ringkas cara hidupnya. Bila perlu keluar memburu, dapat hasil balik dan relaks.

Budaya tersebut membuatkan mereka tidak melahirkan satu peradaban yang kuat berbanding orang Maori di New Zealand. Orang Maori berladang dan mampu keluarkan hasil bumi cukup untuk semua orang. Bila ada peladang yang usahakan makanan mencukupi, maka lahirlah para genius yang mereka dan mencipta berbagai kelengkapan seperti senjata, peralatan pertanian dan seumpamanya.

Populasi juga cepat berkembang dan makanan yang mencukupi hasil dari aktiviti perladangan sekumpulan populasi mampu menyara berbagai aktiviti lain seperti pengurusan, kemasyarakatan dan pembinaan organisasi. Ia juga menyebabkan lahirnya pemimpin yang bijak mengurus dan memimpin.

Nak dpendekkan cerita, setelah 500 tahun, bangsa yang sama bertukar menjadi dua bangsa yang amat jauh berbeza dari segi amalan dan gaya hidup. Satu hari, orang Maori mendengar berita tentang wujudnya satu pulau yang kaya dengan isi bumi dan makanan segar.

Maka bergeraklah seramai 900 orang Maori menuju ke Pulau Chatham. Habis dibunuhnya Bangsa Moriori seorangpun tiada tinggal dan ditawannya Pulau Chatham itu. Mereka tidak sedar bahawa semua adalah dari satu keturunan yang sama.

Kesimpulannya, persekitaran membuatkan satu bangsa yang sama menjadi berubah segala amalan dan budaya kehidupan mereka.

Pilih persekitaran yang baik

Bila dah tahu dan faham maklumat yang saya berikan kat atas tu, ia merupakan satu berita yang amat baik untuk kita semua.

Berita baiknya adalah, kita boleh pilih persekitaran yang kita mahu. Malah kita juga boleh merangka persekitaran kita sendiri. Itu satu keupayaan atau anugerah yang tidak patut dilepaskan oleh kita semua.

Sebab itu saya sering sarankan supaya kita pilih siapa kawan kita, siapa guru kita, siapa model kita, siapa mentor kita, siapa jiran kita di mana kita tinggal, di mana kita belajar, buku apa yang kita baca, portal apa yang kita layari dan sebagainya. Sebab nak pastikan persekitaran yang ada dapat membantu mencapai apa yang kita sasarkan.

Kadang kala saya dikritik terutamanya dalam bab pilih kawan atau dengan siapa kita kerap habiskan masa. Ada yang sinis berkata dia kawan dengan semua orang samada positif atau negatif. Baginya, menjauhi kawan yang negatif itu sendiri adalah satu amalan yang negatif.

Ertinya orang itu masih tak faham erti bertanggung jawab dengan masa yang diberikan pada kita. Pastikan masa digunakan sebaiknya dalam segala urusan membina masa depan kita. Berkawan biarlah dengan semua orang. Tapi pastikan masa yang jauh lebih banyak diluangkan bersama dengan mereka yang dapat membantu sasaran hidup kita.

Ia tidak ada kaitan dengan urusan tolong orang yang berada dalam kesukaran. Bila ada orang susah, tolonglah !, samada penagih dadah, pelacur, maknyah, India, Cina Melayu atau siapa saja. Jika ada orang lapar, berilah makan tanpa melihat siapa orang tersebut. Itu adalah amalan kebajikan yang wajib kita lakukan sebagai seorang insan yang baik.

Membentuk persekitaran amalan orang berjaya

Jika anda dah berakal, dah matang, dah akil baligh dan berupaya buat pilihan sendiri, maka buat pilihan anda sekarang.

Tak perlu nak mengeluh dari mana anda datang, dari keluarga mana anda dilahirkan, dari kampung mana anda membesar dan sebagainya.

Masa belum berakhir dan anda masih ada kesempatan untuk membentuk persekitaran yang mampu meransang kejayaan anda sekarang. Jangan jadi seperti lalang dan jangan biarkan orang mencatur persekitaran anda.

Kalau boleh ubah, ubahlah segera. Jika anda dihalang, berpindah saja. Bumi ini amat luas terbentang diperuntukkan Allah pada manusia seperti anda dan saya. Pilihlah, dan ambil tanggung jawab penuh dnegan pilihan yang anda buat.

Saya yakin anda dah dapat mesej yang saya cuba sampaikan sekarang. Maka bertindaklah sedikit demi sedikit. Semoga kita semua berjaya hendaknya, Insyaallah !

7 thoughts on “Susah senang tak kira bangsa, 2 faktor penentu kedudukan anda

  1. Ali

    Artikel seperti ini yg saya cari,terbaik……terima kasih tuan

    Reply
  2. Rayna

    terima kasih! saya jadi bersemangat lepas baca artikel ni. sgt bermanfaat 🙂

    Reply
  3. Hasmaizan Hassan

    Amat berminat dgn corak pemikiran & mind set tuan subhi bukan saja mengenai keusahawanan tp juga prinsip hidup ringkas..amat serasi dgn pegangan saya..simple person living in simple life..but with significant impact..
    Mohon tuan utk whattapps no 013-9219144..terima kasih tuan..!

    Reply
    1. Shubhi Post author

      Terima kasih tuan Hasmaizan Hassan, sudi baca dan berikan komen di blog ini, insyaallah nanti saya whatsapp.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge