Teknik kemas almari rumah untuk jadi kaya

By | 28/08/2012

mellow-yellow-1500x1003Bagaimana agaknya kemas almari rumah boleh membuatkan anda jadi kaya?

Masyarakat kita dipenuhi oleh mereka yang cukup pendapatan tapi tak pernah menjadi kaya.

Sebelum itu, jangan lupa apa makna kaya dalam definisi Hidup Ringkas.

Ciri-ciri mereka yang cukup pendapatan tapi tak pernah kaya itu hanya ada dua sahaja:

  1. Mereka tinggal di sebuah rumah yang penuh berselerak dengan barang-barang
  2. Rajin keluar rumah cari duit untuk membeli barang-barang lagi, bagi menambah koleksi simpanan barang-barangnya di rumah.

Penyakit suka beli barang bila ada duit ini biasanya menjadi tabiat yang sebati dengan jiwa kumpulan yang yang saya sebutkan di atas.

Ia seperti tidak terkawal dan dilakukan tanpa disedari.

Untuk membunuh tabiat sebegitu, mari kita gunakan teknik kemas almari rumah sebagai permulaan membina sikap hidup ringkas untuk menjadi kaya.

Jika berjaya, ia bakal membuatkan wang akan berlebihan sedikit daripada kebiasaan seterusnya menjadi motivasi melebarkan teknik ini pada perabut atau sudut dalam rumah, yang lain.

Kemas almari rumah

Cuba buka kesemua almari pakaian kita dan keluarkan kesemua pakaian yang ada satu persatu.

Asingkan  mengikut jenis seperti berikut:

  1. Pakaian yang sering kita gunakan
  2. Pakaian yang jarang digunakan
  3. Pakaian yang tak pernah digunakan

Kebiasannya fenomena 80/20 akan terbukti benar apabila kita mendapati dalam keseluruhan baju yang kita ada, hanya 20% sahaja daripadanya yang kita gunakan 80% daripada masa.

Lebihan 80% daripada pakaian dalam simpanan itu hanya digunakan 20% daripada masa kita.

Maknanya, kita akan dapati jenis pakaian dalam kategori kedua dan ketiga menjadi koleksi paling banyak dalam almari pakaian.

Simpan semula pakaian dalam almari

Setelah selesai mengklasifikasikan ketiga jenis pakaian di atas. masukkan semula jenis yang pertama ke dalam almari. Iaitu jenis yang memang anda sentiasa pakai dan gunakan.

Anda akan dapati ruang almari menjadi cukup luas dan lapang.

Semak semula pakaian jenis kedua dan simpan satu atau maksimum dua saja pakaian yang kita gunakan untuk samada:

  • Majlis perayaan seperti hari raya atau
  • Majlis formal seperti dinner atau lain-lain seumpamanya.

Simpan hanya yang terbaik, tercantik, terbaru dan paling anda suka sahaja untuk kategori ini. Selebihnya jadikan ia sebagai kategori yang ketiga.

Biasanya jumlah pakaian dari jenis ketiga ini masih tetap jauh lebih banyak daripada kategori pertama.

Semak satu persatu untuk kali terakhir

Mulakan membelek satu persatu pakaian jenis ketiga ini buat kali terakhir.

Biarkan jenis ini melekat dalam kepala kerana kenangan sedih ini akan digunakan dalam kehidupan kita seterusnya. Setelah puas membelek, anda boleh buat keputusan samada mahu hadiahkan pada kawan baik atau orang susah.

Anda boleh juga jual dalam bentuk bunddle atau hadiahkan pada organisasi kebajikan. kalau tak ada yang layak buang sahaja dan jadikan sebahagiannya sebagai kain buruk.

Perhatikan semula jenis yang pertama

Kini tiba masa untuk membuat sedikit kajian terhadap pakaian daripada jenis yang pertama tadi. Fikirkan dan buat analisa kenapa anda suka pakai pakaian tersebut secara rutin.

Kenal pasti apa ciri-cirinya dan buat catitan pada buku nota. Spesifikasi yang telah disenaraikan tadi perlu digunakan setiap kali anda mahu membeli pakaian baru jika perlu. Ini akan membuatkan setiap pakaian yang dibeli akan lebih terjamin bukan satu pembaziran dan bukan dibeli semata-mata atas tipudaya promosi jurujual.

Mulakan gaya hidup baru – Hidup Ringkas

Selesai semua aktiviti kemas almari rumah di atas menandakan satu permulaan kehidupan ringkas yang sebenarnya dalam hal berpakaian.

Anda hanya mempunyai pakaian yang benar-benar berguna dan sering dipakai. Anda juga akan secara automatik menghindari kesilapan membeli pakaian yang tidak diperlukan apabila sering teringatkan semula berbakul-bakul pakain jenis itu yang telah disingkirkan dari almari pakaian dirumah.

Wang pendapatan bulanan akan mula ada lebihan sedikit untuk dijadikan wang simpanan sebagai modal untuk diternakkan agar membiak dalam jangka panjang.

Anda sudah mula menjadi orang kaya baru. Orang kaya dalam makna hidup ringkas.

Selamat mencuba kemas almari rumah untuk permulaan membentuk sikap jadi kaya, semoga kita sama-sama berjaya, Insyallah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge