terima hakikat kehidupan sebenarSalah satu ciri-ciri orang yang tak boleh pergi jauh adalah mereka yang tidak terima realiti kehidupan. Bukannya tak tahu akan realiti kehidupan, tapi lalai dan tidak dapat terima.

Semua orang sebenarnya tahu akan realiti kehidupan ini dan kita semua menyedarinya sepanjang menjalani kehidupan seharian.

Tapi segala tindakan, segala keluhan dan fikiran kita seolah-olah mahu menafikan akan realiti kehidupan.

Antara orang yang paling malang jika tidak terima realiti kehidupan adalah golongan usahawan. Jika anda buat keputusan untuk jadi kuat dan terjun menjadi usahawan, anda perlu belajar terima realiti kehidupan.

Apa realiti kehidupan

Apa yang saya maksudkan sebagai realiti kehidupan ada banyak. Anda semuapun tahu. Tapi eloklah saya berikan beberapa contoh realiti kehidupan yang semua orang tahu. Antaranya adalah:

  1. Orang jahat jauh lebih ramai berbanding orang baik. Tapi kita sering komen sepatutnya orang tak buat jahat itu dan ini sedangkan yang patut kita berikan tumpuan adalah bersedia mendindingkan diri dari kejahatan itu dan ini.
  2. Memang ramai yang ingin jadi baik, tapi gagal dalam kawalan nafsu membuatkan ramai yang tergelincir. Semakin banyak halangan yang tak dapat direbahkan, semakin tergelincir kita.
  3. Orang yang ikhlas menolong terlalu sedikit, majoriti orang mahukan balasan akan setiap bantuan yang diberikan. Tak ada istilah percuma dalam kehidupan biasa.
  4. Ramai orang tewas bila berjaya naik ke atas. hanya segelintir yang bersabad dengan kesenangan.
  5. Ramai yang mampu sabar dalam kesusahan, tapi itu belum bermakna dia akan selamat bila berjaya.
  6. Manusia tak sepatutnya menipu atau mencuri atau khianat, tapi hakikatnya, ramai yang tak dapat menahan diri daripada amalan itu.
  7. Semua orang nak dekati orang yang berjaya, tapi bukan semua orang mahu dekati orang yang dalam kesusahan.
  8. Bukan semua orang menggunakan akal mereka dengan betul walaupun ramai yang marahbila dituduh tak guna akal.
  9. Ramai tahu untuk berjaya perlu berusaha dan banyak berkorban, tapi ramai juga yang mahu berjaya tanpa ada usaha dan tidak sanggup berkorban.
  10. Semua orang tahu lebih mudah ubah diri sendiri berbanding mengubah orang lain. Tapi semua orang mahu orang lain berubah melainkan dirinya sendiri.
  11. Tidak siapa yang mampu ubah arah angin (melainkan Allah), tapi tak ramai yang mahu gunakan layar untuk ubah haluan, mereka tetap mahu menunggu angin berubah sebelum menukar haluan.
  12. Apa yang kita dapat sejak kecil sampai besar jauh terlalu banyak berbanding apa yang kita mahu tapi tak dapat. Kita obses dengan yang tak ada sehingga lupa manafaatkan apa yang kita ada.
  13. Apa yang kita tak tahu jauh terlalu banyak berbanding apa yang kita tahu, tapi tindakan kita seolah-olah menggambarkan kita serba semua tahu. Kita tak tambah ilmu, kita tolak mentah-mentah cadangan orang dan macam-macam lagi.

Ada banyak lagi realiti kehidupa yang boleh anda senaraikan sendiri. Semuanya bertumpu pada sikap manusia itu sendiri yang telah diketahui sentiasa berbolak balik hatinya.

Bersedia untuk berjaya dengan menerima realiti kehidupan

Bila anda dah tahu semua itu, maka kenapa mengeluh bila rakan kongsi menipu, bukankah kita perlu berhati-hati kerana dah tahu tak ramai manusia yang baik?

Kenapa kita marah kerajaan atau institusi pembiayaan kerajaan yang tak membantu orang yang betul, malah membantu rakan atau kroni yang tak layak, bukan semua orang ikhlas melakukan kerja mereka dan tahan dari menyalah gunakan kuasa.

Kenapa tak bersedia membina perniagaan dan mempamerkan kestabilan untuk mendapatkan pinjaman wang dari bank bila dah tahu bank hanya beri pinjaman pada orang ada wang dan melarikan diri bila orang kesempitan wang.

Kenapa marah bila semua orang tak bantu bila kesusahan dan perlukan bantuan bila dah tahu majoriti orang ramai akan melarikan diri bila kita susah dan akan mendekati bila kita senang.

Apa yang saya cuba sampaikan di sini adalah, terima hakikat kehidupan dan cari jalan bagaimana nak diselesaikan segala masalah. Berhenti salahkan orang lain dan berhenti cari alasan. Lebih baik berusaha cari jalan dari membuang masa mengeluh dan cuba ubah orang lain.

Jika kita terima realiti kehidupan, kita perlu bersedia merancang berdasarkan kondisi berat sebelah yang ada terbentang di depan mata. Hanya dengan merancang, berusaha dan bertawakkal sahaja segala cabaran akan dapat diharungi. Hanya dengan terima realiti kehidupan sahaja kita akan merancang dengan andaian yang betul.

Mahukah anda terima realiti kehidupan…?, jika ya!, bersedialah untuk berjaya, Insyaallah!

Total
4
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge