Ubah kawan-kawan agar bersolat!

By | 06/12/2012

Saya balik ke Malaysia pada tahun 1993 setelah berada di negara Perancis sejak tahun 1989. Banyak kesempatan membesar, melepak dan belajar yang terlepas bersama dengan rakan-rakan sepermainan sejak kecil di kampung.

Untuk mengejar semula apa yang terlepas, saya mula aktif menyertai kawan-kawan kampung melepak setiap malam. Pot yang menjadi pusat melepak kami adalah di depan kawasan rumah salah seorang rakan.

Kami sediakan kerusi lepak yang besar dan luas cukup untuk mengisi dalam lingkungan 6 ke 7 orang. Kawasan tersebut berada di bawah pokok dan agak gelap serta sunyi. Hampir setiap malam seorang demi seorang akan mula datang untuk berkumpul di situ.

Kebanyakan dari mereka sudah bekerja setaraf dengan kelulusan serta kemahiran masing-masing sedangkan saya masih belum bekerja. Kebanyakan dari mereka bukanlah termasuk dalam golongan yang senang. Saya akan sertai mereka selepas selesai solat di masjid.

Biasanya kami tamatkan perjumpaan tersebut menjelang tengah malam. Untuk memastikan perjumpaan tidak sia-sia, biasanya saya akan memberikan motivasi dan nasihat pada setengah jam terakhir sebelum bersurai.

Apa yang saya perhatikan pada rakan-rakan adalah sikap mereka yang tidak berapa menjaga solat dan jarang pergi ke masjid. Saya sedaya upaya memberikan dorongan tanpa membuatkan mereka rasa tidak selesa setiap malam. Namun nampaknya tidak berapa berkesan.

Sehinggalah satu malam sebelum pulang saya membawa mereka pada persoalan mati. Saya berkata bayangkan jika setiap dari kita ketika pulang pada malam tersebut tiba-tiba menemui ajal. Ajal tidak memilih waktu, bila tiba masanya maut akan hinggap tanpa sesaatpun terlewat atau terlebih awal.

Apabila tersedar, kita sedang dikebumikan dan seterusnya ditinggalkan keseorangan dalam kubur yang gelap gelita di alam barzakh. Lalu datanglah malaikat menjalankan kerja mereka. Jika disoal jawab masih ok lagi, tapi bayangkan ketika itu kita menyedari rupanya keislaman kita kabur.

Alangkah hinanya ketika itu jika kita sedari bahawa kita rupanya mati bukan sebagai seorang mukmin! Untuk berpatah balik dan mengkaji semula adalah mustahil sama sekali. Segalanya telah terlewat.

Lalu saya bertanya pada mereka semua, kenalkan kita apa itu Tuhan? adakah kita benar-benar kenal dan faham sifat-sifat Tuhan, kerana itulah saja caranya untuk mengenali Tuhan yang kita sembah. Dan paling malang sekali adalah, apabila kita sedar sebenarnya kita tidak pernah menyembahNya!.

Kita mengaku menganut agama Islam, tapi tahukah kita jika untuk menganut Islam itu ada pintunya, maka untuk keluar daripada Islam juga ada pintunya.

Persoalannya adakah kita tahu pintu atau perangkap terkeluar dari Islam. Jika kita tidak tahu, maka ada kemungkinan kita akan tersasar dan melalui pintu tersebut. Adakah kita pernah melaluinya?

Mereka semua mendengar dengan kusyuk senyap sunyi di dalam suasana yang samar-samar malam hari tersebut. Saya tak pasti samada mereka memahami apa yang saya katakan. Selesai semua persoalan tersebut saya berkata:

“Kita bukanlah golongan yang senang dalam dunia ini, pangkat tiada dan hartapun tiada, janganlah pula di akhirat nanti yang tiada penghujungnya kita terus berada di dalam kesusahan dan hina”. “Biarlah kita tak seberapa di dunia asalkan kita selamat di sana, fikir-fikirkanlah!”

Dengan ayat tersebut kami semua bersurai.

Keesokannya, kami bertemu lagi. Tapi kali ini masing-masing serius. Rupanya mereka semua tidak dapat tidur pada malam tersebut terfikirkan semua kata-kata saya.

Malam itu saya mendapat tahu masing-masing rupanya tak kenal beza antara alif dengan nun. Mereka terlalu daif dengan hukum hakam agama dan tidak pasti dengan ilmu mereka. Itulah yang membuatkan mereka menjauhkan diri daripada masjid dan surau.

Maka saya dengan rela hati menawarkan diri untuk mengajar mereka. Dimulakan dengan membaca mukadam dan belajar mengenali alif, ba dan ta. Sejak itu kami setiap malam belajar mengenali huruf-huruf Al_Quran. Saya mengajar mereka membaca fatihah dengan betul dan juga surah-surah lazim yang lain.

Alhamdulillah merangkak-merangkak mereka akhirnya mula mengenali huruf-huruf tersebut dan mula belajar mengeja dan mambaca. Sejak malam itu mereka mula mendekati majlis agama dan berjinak-jinak dengan masjid dan surau.

Saya harap apa yang dilakukan dicatatkan sebagai amalan kebaikan untuk saya di akhirat nanti. Pada semua yang membaca blog ini, pernahkah anda berusaha menyelamatkan kawan-kawan anda setakat yang mampu?

Jangan kita hanya pandai menghukum sedangkan usaha memberikan kesedaran tidak pernah dilakukan. Sampaikanlah walau satu ayat….!

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

One thought on “Ubah kawan-kawan agar bersolat!

  1. Dahlan

    Banyak dikalangan kita yg lahir dalm kalangan org islam tapi tidak sklipun memparaktikkan ajaran islam..sedngkan mereka yg masuk dlm agama islam (muallaf) lebih mempraktikkan islam dlm kehidupan mereka..mereka yg lahir dlm islam hanyalah pada nama….

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge