Buat keputusan, anda akan berjaya…

By | 08/02/2013

Masa remaja dulu biasa masuk panggung wayang di pekan BM. Filem kegemaran masa tu adalah cerita Kung Fu. Setiap kali balik sekolah, dalam perjalanan ke stesen bas akan melalui Panggung Cheok Sah. Jika ada poster yang sempoi saya akan masuk ke dalam untuk melihat lebih lanjut.

Jika cerita best, terus pasang niat nak tengok jika cukup duit. Masa tu harga tiket wayang hanya 50 sen saja. Murah tapi kena duduk depan sekali sambil melangut ke atas. Rasa lenguh juga leher. Tapi jika di belakang tak penuh, ramai yang akan pindah tempat.

Gelap kepada cerah
Dalam keadaan yang gelap cuma dibantu oleh cahaya dari skrin, kita masih mampu bergerak dan mencari jalan untuk berpindah. Mata dah sesuaikan diri untuk membolehkan kita melihat di dalam samar-samar gelap.

Habis saja cerita, ramailah berebut nak keluar. Sikap orang kita baik cina, melayu atau india, suka berebut-rebut tak sabar nak keluar dulu. Saya juga sama ketika itu. Entah apa yang dikejar saya kurang pasti.

Sebaik saja keluar mata akan menjadi sepek seperti hero Cina yang berlakon cerita Kung Fu tadi. Bukan sebab terpengaruh mahu jadi macam hero cerita cina tersebut. Tapi perubahan daripada keadaan gelap kepada kecerahan yang ketara membuatkan mata silau.

Tapi sekejap saja mata mula menyesuaikan keadaan dan tidak berapa lama, kita sudah tidak lagi fikirkan kesukaran untuk buka mata kerana terlalu terang. Kita dah menjadi normal dengan perubahan dala masa yang singkat saja.

Bising teramat
Biasanya jika bas tak ada lagi, terpaksa melepak  kat mana-mana. Paling mudah sekali adalah naik kedai permainan di sebelah depan panggung wayang. Ada video game, ada billiard dan lain-lain. Sebaik saja masuk ke dalam pusat permainan seperti itu, telinga tiba-tiba terasa amat bingit

Macam-macam bunyi tak tentu arah. Ada mainan lagi dari peti mainan lagi berbayar, ada jeritan orang bersembang, ada bunyi mainan video yang bersepah-sepah dan macam-macam lagi.

Tapi setelah duduk sebentar, telinga mula menjadi biasa semula. Bingit dan bising menyucuk tadi telah berjaya diadaptasikan dengan baik. Kita sudah boleh berbual dengan kawan dalam kekecohan suasana sebegitu.

Apa yang boleh kita belajar?
Ada dua perkara daripada cerita di atas yang boleh kita ambil iktibar dalam mengenal keupayaan diri kita. Kita sering melalui pengalaman sebegitu dari kecil hingga dewasa tapi mungkin tak pernah terfikir dan mengambil manafaat daripadanya.

  • Manusia itu makhluk yang amat fleksibel – Dalam keadaan biasa kita sentiasa boleh sesuaikan diri dalam keadaan apa sekalipun. Dari gelap kepada cerah, dari sunyi kepada bising, dari susah kepada senang, dari senang kepada susah dan berbagai lagi keadaan.
  • Keupayaan membuat saringan pada perkara yang diberi tumpuan. Deria mata, telinga dan rasa berupaya menyaring kepada perkara yang kita mahu berikan tumpuan saja. Jika masuk ke tempat yang bising, keupayaan minda untuk fokus dan mendengar apa yang telinga mahu dengar saja amat ajaib. Begitu juga mata dan deria rasa.
Kebolehan perkara di atas banyak menyelamatkan diri kita daripada menjadi gila. Bayangkan sepanjang kita sedar terdapat berbillion benda yang boleh kita lihat, terdapat jutaan jenis bunyi yang boleh kita dengar.
Tanpa keupayaan menyaring dan tumpukan hanya pada benda yang kita mahu lihat dan juga benda yang mahu kita dengar, kita berkemungkinan besar akan menjerit tutup telinga dan pejam mata.
Kebiasannya kita ambil mudah keupayaan yang saya sebutkan di atas. Ini dibuktikan daripada sikap kita yang tidak mahu buat keputusan pada perkara apa yang mahu kita dengar dan perkara apa yang mahu kita lihat.
Kita biasanya biarkan keputusan dibuat secara tidak sedar atau secara spontan. Apa yang kita mahu dalam kehidupan terbentuk tanpa ada sedikit usaha memupuknya berdasarkan perkara yang kita mahu. Disebabkan itu kita sering berubah-ubah pendirian.
Kejap nak kaya, kejap tak kisah, kejap nak pandai kejap tak kisah kejap nak berniaga kejap nak makan gaji dan begitulah seterusnya.
Untuk mengambil faedah daripada keupayaan sesuaikan diri dan juga saringan, kita hanya perlu tetapkan matlamat dengan nekad. Buat keputusan apa yang mahu didengar dan apa yang mahu dilihat. 
Semakin jelas matlamat yang kita mahukan semakin hebat minda menyaring semua perkara lain dan hanya fokus pada matlamat kita sahaja. Akhirnya kita sentiasa dapat melihat apa yang kita mahu dengan mudah di mana saja kita berada dalam keadaan apa sekalipun.
Jika kita mahu berniaga, peluang muncul dalam apa saja keadaan, dengan siapa saja kita berjumpa, dan dalam apa saja keadaan kita.
Oleh itu untuk tinggikan keupayaan fokus, anda hanya perlu tetapkan pendirian pada apa yang anda mahukan dalam hidup. Jelaskan matlamat di dalam minda dan anda akan dapati dia akan mula bekerja untuk anda tanpa henti….cubalah!
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Buat keputusan, anda akan berjaya…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge