petua pilih jalan berbeza

Bila sebut pasal pilih jalan berbeza, teringat pada kawan sekampung saya, Tuan Khairul Saidi, seorang kontraktor dan sekarang sedang berusaha membina perniagaan Kopi Jasmina. Dia pernah ceritakan pada saya tentang seorang kawan berbangsa Cina yang dia kenal satu ketika dulu.

Kata kawannya itu,

“Kalau lu tengok semua orang pi ikut sana, jangan ikut itu orang semua, lu ambil jalan lain yang tak sama… baru berjaya!”

Khairul selalu juga ulang yang disebut oleh kawan berbangsa Cina itu, mungkin dia tak ingat dia dah banyak kali ulang perkara yang sama itu pada saya, tapi perkataan itu ada banyak benarnya.

Pilih jalan berbeza dari orang ramai

Secara umumnya, kita dianggap normal apabila cara hidup dan apa yang kita buat adalah sama dengan majoriti besar orang ramai.

Dalam bab makan gaji, majoriti besar orang ramai sudah tentu makan gaji. Jadi jika anda juga makan gaji sudah tentu anda juga seorang yang normal.

Bagi orang yang tak makan gaji dan berusaha menyara kehidupannya dengan kerja sendiri atau dengan menjadi usahawan, itu merupakan satu jalan berbeza yang dia pilih.

Dan hasilnya, orang yang memilih jalan berbeza itu, jika terus bersikap degil macam kisah Tony Fernandes yang saya kongsikan dalam artikel sebelum ini, sudah tentu menjadi idaman semua orang yang normal tadi.

Setiap kali terdetik untuk menjadi lebih bagus daripada kebanyakan orang yang lain, petua yang sama boleh dijadikan panduan untuk melakukan langkah mula kita. Lihat sekeliling dan perhatikan apa yang mereka buat.

Kenapa takut pilih jalan berbeza

Kalau anda lihat semua orang buat perkara A, maka itu merupakan petanda bahawa kalau anda nak jadi lebih baik dari kebanyakan mereka, anda perlu pilih jalan yang berbeza. Ertinya anda tak boleh serbu pergi buat perkara A juga. Mudah dan ringkas saja petuanya.

Tapi, biasanya, memilih jalan lain yang berbeza dari kebanyakan orang ramai, kesan paling besar yang ramai tak tahan adalah kesan tekanan psikologi.

Kita jadi begitu sebab dah terbentuk dalam DNA manusia sikap bersosial sejak zaman dahulu kala lagi. Masa itu, kalau anda tersingkir dari kumpulan, maka potensi untuk dibaham binatang ganas dan atau ditombak musuh dari kumpulan lain adalah tinggi.

Untuk atasi maslaah tersingikir itu, maka tak ada jalan lain selain dari ikut macam mana semua orang amalkan. Buat berbeza sedikit, maut padahnya.

Pemikiran sedemikian masih ada dalam urat darah kita walaupun kesan dari ikut jalan berbeza tak macam semua orang tidaklah akan membawa maut seperti zaman dahulu kala. Kalau anda faham asas awal kenapa anda takut ikut jalan berbeza itu, anda akan dapat atasi rasa takut untuk iku jalan lain yang tak ramai laluinya.

Jangan berbeza teruk sangat

Tapi janganlah pulak anda ikut jalan yang terlalu pelik semata-mata untuk membezakan jalan yang anda lalui berbanding orang lain. Kalau semua orang jalan pakai kaki, jangan pulak anda jalan pakai tangan dengan kepala dok ada kat bawah.

Saya yakin anda bukanlah seorang yang tak cerdik sampai macam itu. Ada limitnya bergantung kepada tahap kebijaksanaan anda dalam menilai mana baik dan mana buruk.

Buatlah apa saja, pilihlah mana saja jalan yang berbeza, asalkan anda tidak melanggar prinsip asas kehidupan seorang insan yang bermoral.

Ikut jalan berbeza yang mudah dahulu

Anda boleh amalkan tabiat ikut jalan berbeza ini secara kecil-kecilan terlebih dahulu.

Mulakan dengan perkara kecil samada di pejabat tempat anda kerja atau di taman tempat anda tinggal. Perhatikan bagaimana amalan semua orang dan cuba buat perbezaan.

Contoh mudah kalau ditempat kerja adalah disiplin waktu masuk kerja. Kalau majoriti besar semua orang masuk waktu kerja ngam-ngam sahaja pada had yang ditetapkan. Anda boleh bezakan diri dengan masuk awal setengah jam berbanding waktu formal.

Dengan amalan baik yang berbeza daripada kebanyakan orang ramai itu saja, anda akan lihat hasil yang tak disangka-sangka. Boleh cuba amalkan dan lihat hasilnya. Tapi perlulah bersabar dan istiqamah sehingga anda dikenali dengan amalan tersebut.

Begitu juga kat taman tempat tinggal anda. Lihat bagaimana sikap atau amalan biasa masyarakat. Cari perkara yang berbeza dari semua amalan orang lain. Contoh mudah adalah dengan sentiasa bersihkan dan buang sampah di tempat yang anda lalu berjalan kaki, walaupun, bukan anda yang buang sampai itu merata.

Bila diamalkan untuk sentiasa perhatikan jalan kebanyakan orang dan cuba ikut jalan yang berbeza, lama kelamaan amalan tersebut akan sebati dengan diri anda.

Anda akan cekap untuk kenal pasti jalan mana yang tidak membawa anda kemana-mana seperti orang kebanyakan yang lain. Dan jalan mana yang terpaksa anda tempuh yang akan membezakan anda dengan orang lain.

“Look at what the majority of people are doing, and do the exact opposite, and you’ll probably never go wrong for as long as you live” – Earl Nightingale

Total
25
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

  1. ya betul.

    pilihan berbeza mungkin dr jenis perkhidmatan yang ditawarkan.

    lain – lain mgkin sama.

    secara ringkasnya.

    kadang kala kalau mengikut segala rentak dan prosedur; seakan – akan orang boleh membaca apa strategi kita.

    dan; dalam bisnes kita tak akan berjaya dengan cara itu.
    Rapunzeel Cikilolo recently posted…update (37) : nyanyian serambiMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge