Masa kini berlalu pantas dan bagaimana perlahankannya

By | 18/06/2012

“Sekejap saja masa kini berlalu!”, itu ayat yang biasa kita dengar malah seringkali kita sendiri ucapkannya. Kepantasan masa kini semakin ketara dengan peningkatan umur kita, lebih-lebih lagi jika tinggal dan bekerja di bandar.

Kita terkejar-kejar sepanjang masa dari pagi sehingga ke petang dan kadang-kadang sehingga ke malam. Apakah dunia berpusing dengan lebih laju sekarang ini?.

Penciptaan alam dan segala isinya termasuklah bumi dan segala cakerawala yang kita duduki ini berlaku dengan amat terperinci sekali. Allah menjadikan segala kejadian alam sentiasa tunduk pada kejadiannya.

Segalanya terletak pada landasannya dan sebagaimana bumi bergerak selaju 700 batu sejam sejak dulu, begitu jugalah sekarang ini tidak ada perubahan.

Sebab itu kita dapat mengira bila berlakunya gerhana matahari atau bulan dalam tempoh seribu tahun lagi yang akan datang dan bila tiba waktunya ia akan berlaku sebagaimana yang telah kita jangka, tanpa ada apa-apa perubahan.

Begitulah Maha Hebatnya perancangan dan ciptaan Allah Taala yang sungguh terperinci. Jadi jelas di sini bahawa bumi tetap mengikuti rentaknya seperti biasa dan masa 24 jam sehari tetap masih sama seperti dulu juga. Habis kenapa masa kini berlalu begitu pantas?

Sebenarnya masa sentiasa cukup sebanyak 24 jam sehari, cuma perkara yang kita lambakkan untuk dilaksanakan dalam tempoh 24 jam tersebut sahaja yang semakin meningkat.

Kita semakin membuatkan dunia di dalam diri kita sendiri semakin laju sehingga menjadikan wujudnya dua jenis jam dalam alam ini. Satu yang nyata yang berdetik pada jam tangan kita dan satu lagi yang berdetik di dalam minda kita sendiri.

Uji bagaimana jam dalam diri anda berdetik

Kita boleh menguji samada jam dalam minda kita berdetik sebagaimana jam di dunia nyata atau tidak dengan  melakukan langkah berikut:

  • Set jam tangan selama 5 minit.
  • Pejamkan mata dan jangan buat apa-apa.
  • Ketika pejam itu ingatkan diri bahawa kita sedang hidup sekarang ini dan tidak ada sesiapa yang boleh mengambil kehidupan kita kecuali Tuhan. Masa yang kita ada adalah kepunyaan kita untuk kita gunakan sebaiknya. Berterusan bayang dan fikirkannya.
  • Setelah kita rasa lima minit telah berlalu, bukan mata dan lihat berapa lama kita ambil untuk pejam mata tadi.

Jika kita pejam selama 5 minit sebagaimana yang ditunjukkan oleh jam kita, maka, sebenarnya kita tidak terkejar-kejar sangat dalam kehidupan kita dan kita benar-benar menghayati kehidupan ini.

Jika masa kita buka mata dan waktu baru menunjukkan 2 atau 3 minit, maka ia menunjukkan jam dalam minda diri kita berdetik teramat pantas dan kita sedang berada di dalam dunia sibuk tak terkawal.

Akhirnya jika masa kita pejam setelah kita buka mengambil masa jauh melebihi 5 minit, maka kita nampaknya ada terlalu banyak masa terluang dan tak tahu nak buat apa dan elok isikan sedikit lagi masa kita dengan aktiviti bermanafaat.

Bagi mereka yang jam minda dirinya berdetik teramat pantas sudah tentu merasakan waktu berlalu teramat pantas. Jika anda mahu perbetulkan masalah tersebut berikut beberapa tips berguna yang boleh kita amalkan:

1. Luangkan lebih masa kini anda untuk melihat.

 Pelik juga sedangkan kita sentiasa melihat?, jika kita sangka kita sentiasa melihat sebenarnya kita salah. Para saintis mendapati masa yang diambil manusia untuk melihat dalam tempoh 50 tahun kebelakangan ini menurun dengan begitu mendadak sekali.

Bila kali terakhir kita melihat titisan embun yang berada di hujung rumput di waktu pagi? semalam, kelmarin, tahun lalu atau dah tak ingat? sedangkan ia sentiasa berada di sekeliling kita dan kita tidak ada masa untuk melihatnya.

Itulah yang Al-Quran katakan manusia itu punyai mata tetapi hanya sedikit yang menggunakan dia untuk melihat. Banyak lagi perkara yang kita sudah lama tidak berhenti sejenak melihat. Bagaimana nak berhenti melihat sedangkan kepala otak kita asyik fikirkan duit, kerja, wanita, tekanan, dan lain-lain samada ketika berjalan, memandu atau di mana-mana saja, kita tidak melihat.


Cukuplah dengan kelam kabut kita. Mulakan melihat apa yang ada di sekeliling kita. Wajah anak-anak kita, pucuk daun yang baru keluar di pokok pada taman depan rumah kita. Anak burung mencicip diberikan makan ibunya.

Berbagai lagi benda yang telah lama kita tidak melihat dan kita biarkan semuanya berlalu. Dengan tanam azam untuk lebih melihat, insyallah masa akan menjadi lebih perlahan.
 
2.Sebutkan nama benda yang kita lihat
 
Jangan hanya melihat. Cuba ingat kembali apa namanya benda yang kita lihat tersebut. Kalau tak tahu jadikan ia satu tugasan untuk mengetahuinya. Setelah anda tahu dan anda terlihatnya semula sebutkannya dengan kuat dan jelas.

Biarlah kita jadi macam kanak-kanak, sebab memang itupun matlamat kita untuk tanam semula nilai kehidupan yang tidak sepatutnya berserabut dan terlalu cepat.

Biarkan sifat ingin tahu kita berkembang seperti kanak-kanak. Ingat kehebatan Nabi Adam antaranya adalah keupayaannya mengenali nama benda-benda yang dilihatnya setelah Allah mengajarnya.

Anda tentu akan dapat rasakan perbezaan apabila anda mula mengenali apa yang anda lihat dan boleh menyebut namanya. Ini juga secara lansung membuatkan diri kita merasa lebih sedar dan mula menyaksikan segala tanda-tanda kewujudan Pencipta.

Semakin banyak yang kita lihat semakin banyak yang kita nampak semakin terisi kehidupan kita.
 
3. Jalankan amalan rutin kita dengan lebih perlahan.
 
Kita biasanya melakukan perkara rutin kita dengan pantas. Maklumlah sebab dah terlalu biasa dan boleh dilakukan dengan hanya pejam mata. Kebiasannya kita terjun masuk dalam kereta lalu terus cucuk kunci dan hidupkan kereta kita.

Kita mula masukkan gear dan dalam masa yang sama tarik talipinggang keselamatan dan pasang. Kita tekan minyak berdesup melintasi rumah jiran, kita buka mata tetapi tidak pernah melihat apa ada di sekeliling kita sedar-sedar kita terpaksa berhenti di lampu isyarat trafik kerana warna bertukarmenjadi merah.

Itupun kita masih tidak melihat sedangkan kita masih membuka mata. Kita merenung ke depan seolah-olah melihat, namun kita hanya berkhayal dengan tugasan atau masalah kita seolah-olah ada satu hijab menutup antara mata dengan apa yang berada di sekeliling kita.

Apa salahnya perlahankan ia sedikit dan nikmati kesempurnaan apa yang anda sedang lakukan itu. Perlahankan masa anda. Jika anda makan umpamanya, jangan kelam kabut dan gelojoh.

Suap perlahan-lahan, tengok bagaimana rupa nasi yang ada dalam pinggan anda, besar mana butiran nasi itu, perlahankanlah dan nikmati betul-betul kunyahan dan rasai keenakan makanan yang merupakan rezki anda pada hari itu.
 
4. Betulkan cara bernafas
 
Ini ramai yang dah tak perasan. Kita tentu sangka bernafas adalah dengan mengembangkan dada apabila kita menarik nafas masuk ke dalam rongga badan. Sebenarnya kita menyedut nafas melalui perut.

Perut sepatutnya kembung atau mengembang bila menyedut udara. Perut perlu kempis bila menghembus udara.

Semuanya berpunca apabila kita berhenti melihat. Bila kali terakhir kita melihat seorang bayi yang sedang lena tidur. Bila kali akhir kita lihat dan renung muka bayi yang sedang menarik nafasnya laju, bagaimana alun badannya ketika dia menarik nafas adakah dadanya yang beralun atau perutnya yang beralun.

Jika kita mula melihat, kita tentu akan mula bertanya kenapa perutnya kembang dan kuncup kenapa bukan dadanya yang kembang dan kuncup. Kenapa dia bernafas melalui perut dan apakah cara bernafas yang sebenarnya.

Kawal semula cara kita bernafas dan secara sedar kita akan perasa yang kita sedang hidup dan sedang bernafas. Bernafaslah secara perlahan-lahan dan rasai pernafasan kita, insyallah masa akan perlahan semula.

 

Cubalah amalkan apa yang disebutkan di atas untuk kembalikan masa kini anda lebih berkualiti dan bermakna dan seterusnya meletakkan semula masa kini pada landasannya semula

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

4 thoughts on “Masa kini berlalu pantas dan bagaimana perlahankannya

  1. Anonymous

    Saya rasa masa itu terlalu cepat kerana masa tidak dapat berpatah balik.saya rasa 1 minggu cuti teramat cepat kerana hari jumaat mula cuti dan tiba tiba sudah hari ahad. padahal cuti 1 minggu.mungkin kerana saya rasa tidak ingin hidup di dunia ini lagi.

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Kalau anda sudi mendengar nasihat saya…perasaan tidak ingin hidup di dunia ini lagi wujud apabila sepanjang masa kewujudan anda otak sentiasa berfikir akan hanya masa yang lalu atau yang akan datang.

      Masa lalu jika lebih buruk dari sekarang membuatkan anda rasa sedih dan kecewa…sedangkan ia tidak ada kena mengena dengan masa sekarang jika difikirkan secara mendalam…hanya dalam minda dan bukan nyata.

      Masa lalu jika lebih dari sekarang juga membuatkan anda rasa kecewa dan dambakan masa yang bahagia itu sedangkan anda realitinya tak ada apa-apa masalahpun sekarang.

      Bila masa depan pula difikirkan…

      Bila anda bayangkan masa depan yang lebih baik dari sekarang membuatkan anda tergesa-gesa mahu meninggalkan masa kini dan tak sabar dengan apa yang ada sekarang sedangkan ianya hanya ilusi yang belum nyata.

      Bila anda bayangkan masa yang lalu yang lebih teruk dari sekarang anda senak peurt tidak mahu masa berjalan dan pergi menghadapinya sedangkan belum tentu lagi ianya akan berlaku…juga hanya ilusi.

      Fikirkan sahaja masa sekarang…sekarang dalam erti kata dalam saat ini juga ketika ini juga dan lihat kaki, tangan, nafas, muka, mulut, atau apa saja yang ada sekeliling anda dan terimanya seadanya, gunakan atau diam sekadar merasai udara, bunyian atau kesunyian bergerak atau diam….adakah anda masih ada masalah…?

      Sudah tentu tidak kerana anda hanya fikirkan sekarang. Bila fikiran membawa pada masa lalu atau masa depan…cepat-cepat keluar dari kepala dan lihat bagaimana fikiran itu mereka cipta cerita masa depan atau menayangkan semula masa lalu dan katakan pada diri anda itu semua tiada dalam dunia nyata sekarang.

      Apa yang ada hanya anda…tiada masalah, boleh bernafas sakit atau segar….sekarang dan rasakan bahawa anda sedang bersyukur pada Tuhan kerana membawa anda merasakan masa atau saat ini….

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge