Apa agaknya yang orang muda perlu buat bermula dari sekarang kalau dia ada impian nak jadi seorang usahawan satu masa nanti?

Itu soalan yang saya sedang fikirkan bila tengok anak-anak yang sedang membesar.

Bila sebut usahawan berjaya zaman sekarang ni, orang akan tunjukkan ikon hebat antarabangsa seperti Bill Gates, Steve Jobs dan Mark Zuckerberg. Mereka jadi bahan cerita satu dunia. Cerita kejayaan mereka memang seronok untuk jadi bahan bacaan.

Begitu juga dengan ramai lagi usahawan terkenal yang jadi billionaire dalam umur yang masih muda. Terkenal sebab syarikat mereka berjaya ke peringkat antarabangsa. Kat negara kita mungkin cerita Grab adalah satu contoh kisah usahawan yang semua orang muda teringin nak ikut.

Tapi hakikat sebenar yang anda perlu tahu, cerita hebat usahawan seperti itu hanya merangkumi lebih kurang 5% ke 7% sahaja dunia keusahawanan keseluruhannya.

Jalan cerita mereka sebenarnya tak berapa sesuai untuk bakal usahawan yang biasa. Yang bertungkus lumus cuba jayakan bisnes dalam industri pembinaan, industri pembuatan, industri perkhidmatan, industri francais dan lain-lain lagi seumpamanya.

Itulah majoriti besar usahawan yang boleh kita lihat saban masa saban waktu datang dan pergi. Cuba, gagal, dan cuba lagi. Gigih berusaha naik dan turun sekadar untuk pastikan kehidupan diteruskan dan tanggungan dapat disara dengan baik.

Kalau anda rasa down sebab bisnes yang anda jalankan  sekarang tak glamer, anda sebenarnya silap besar. Tak perlu nak down. Tak payah terikut-ikut dengan cerita usahawan glamer yang pihak media dan kaki viral suka petik tu.

Yang paling penting adalah, bisnes anda mampu jana duit untuk teruskan kehidupan diri anda dan semua orang yang anda perlu tanggung. Kayuh pelan-pelan naik setingkat demi setingkat. Dari cukup makan kepada tahap selesa. Dan seterusnya dari tahap selesa kepada tahap idaman.

11 perkara orang muda perlu tahu pasal keusahawanan

Apa yang nak saya kongsikan kat sini adalah panduan khas untuk orang muda yang nak jadikan dunia keusahawanan sebagai jalan hidup yang mahu ditempuhi satu masa nanti.

Anda perlu ingat bahawa kebanyakan bisnes yang anda boleh ceburi adalah bines biasa yang kaki viral atau pihak media tak berapa teruja nak petik.

Tak glamer pun tak mengapa. Yang pentingnya, anda berjaya jadi seorang usahawan. itu saja.

#1. Bisnes perlu buat untuk belajar

Ini paling asas kalau anda nak belajar dan faham pasal dunia keusahawanan.

Jika anda pernah tanya soalan, ‘macam mana nak belajar buka bisnes?’.

Tak ada cara lain selain dari mula terlebih dulu untuk buka bisnes. Buatlah macam manapun, asalkan anda boleh dilihat dah mula berbisnes. Hanya dengan cara itu saja anda akan mula belajar mulakan bisnes.

Anda boleh saja pergi masuk kursus di sana dan sini -memang banyak orang buat duit sekarang untuk berikan ilmu macam mana nak buat bisnes – tapi selagi anda tak belasah buat walaupun masih dalam keadaan tak pasti, selagi itulah anda tak akan belajar mulakan bisnes.

Sambil buat tu, otak kena ligat. Akal perlu sentiasa jalan. Lihat, perhatikan, rasakan, fikirkan, belajar dan belajar tanpa henti. Itulah saja cara yang ada untuk faham pasal dunia keusahawanan.

#2. Bisnes bukan untuk kanak-kanak

Kalau anda pernah dengar orang nasihat yang anda perlu mulakan sebuah syarikat hebat sebelum umur 30. Kalau dah lepas umur tu jangan harap nak jadi ..

Tak payahlah nak percaya nasihat macam tu.

Memang ada usahawan muda yang jadi bualan media macam tu. Tapi ianya jarang berlaku. Tidak mewakili cerita kebanyakan usahawan biasa yang anda lihat ada dalam pasaran sekarang ni.

Kebanyakan usahawan mulakan bisnes hanya setelah umur mereka melebihi 35 tahun.

Malah kebanyakannya tak sambung belajar masuk universitipun. Mereka masuk ke dunia pekerjaan terlebih dahulu untuk cari duit dan cari pengalaman.

Kalau anda masih muda, elok masuk ke dunia kerja terlebih dahulu. Belajar timba ilmu dari mereka yang lebih pandai. Buatlah kerja apa saja asalkan anda boleh serap pengalaman dan ilmu sebanyak mungkin.

Dan paling penting bina rangkaian kenalan yang baik.

#3. Banyak anda belajar masa kerja berbanding di universiti

Tak kisah samada anda sambung belajar masuk ke universiti atau kolej atau mana-mana pusat pengajian tinggi selepas tamat sekolah. Yang pastinya, anda akan lebih banyak belajar pasal kehidupan sebenar, pasal cari makan dan lain-lain, dalam dunia pekerjaan berbanding ketika belajar.

Kalau macam tu, jika anda rasa lebih baik masuk kerja terus selepas tamat sekolah, anda mungkin tak berapa salah. Jika memang dah ada semangat nak jadi usahawan, masuk dalam dunia pekerjaan lebih awal adalah lebih bijak.

Itu pendapat saya setakat ini. Dan tak semestinya anda perlu ikut pendapat saya itu. Mungkin orang yang percaya wajib masuk universiti sambung belajar terlebih dahulu kemudian baru kerja, ada alasan mereka yang tersendiri.

Tapi kenyataan yang saya yakin betul adalah bab, anda lebih banyak belajar masa kerja berbanding masa masuk U atau Kolej. Itu saya yakin 100%.

Kebanyakan usahawan yang berjaya biasanya makan gaji terlebih dahulu di syarikat lain. Anda perlu cuba masuk kerja di syarikat besar terlebih dahulu. Habiskan masa kat situ dalam masa yang mencukupi untuk belajar banyak perkara.

Macam mana harga ditentukan. Macam mana syarikat buat testing. Macam mana syarikat uruskan hal perundangan dan seumpamanya. Macam mana mereka berurusan dengan pekerja, dengan pembekal, dengan pelanggan dan macam-macam lagi.

Itu pusat pembelajaran yang paling unggul kalau anda nak tahu.

#4. Pilih aliran yang sesuai kalau masuk U

Kalau nak jadi usahawan, anda mungkin rasa perlu pilih jurusan keusahawanan, bisnes atau seumpamanya.

Itu satu andaian yang salah.

Jurusan yang paling banyak lahirkan usahawan adalah jurusan yang terlibat dalam bab selesaikan masalah kehidupan seperti jurutera terutamanya. Itulah jurusan yang anda perlu belajar kalau nak jadi usahawan.

Atau anda boleh pilih jurusan sains praktikal lain seperti kimia, fizik, biology, komputer dan sebagainya. Asalkan ianya melibatkan ilmu yang diperlukan dalam kehidupan seharian manusia, itulah jurusan yang sesuai untuk bakal usahawan.

Pengetahuan asas dalam bidang kejuruteraan, sains dan aplikasi, diikuti dengan latihan amali, keupayaan berfikir, huraikan masalah, selesaikan masalah, kemahiran mencatit, menerangkan, menguji dan lain-lain lagi amat banyak manfaatnya kalau anda nak jadi usahawan.

Lepas itu masuk kerja makan gaji dalam jurusan yang relevan dengan apa yang anda belajar, akan menambahkan lagi kemahiran yang diperlukan untuk anda jadi usahawan satu masa nanti.

Jika anda ambil jurusan pengurusan bisnes, biasanya, anda hanya sediakan diri untuk jadi kuli kepada usahawan lain sahaja. Biasanyalah .. tak semestinya semua orang yang ambil jurusan itu akan berakhir dengan kerja makan gaji.

#5. Bisnes ambil masa untuk berjaya

Mungkin anda banyak dengar cerita popular seperti kejayaan Instagram jual pada FB selepas 18 bulan dilancarkan dengan harga USD1 billion, atau cerita WhatsApp dibeli dengan harga USD19 Billion selepas 5 tahun bertapak.

Ada beberapa cerita idaman sebegitu yang ramai teruja dan berangan-angan nak ikut.

Hakikatnya, majoriti besar bisnes taklah macam tu.

Anda perlu sabar.

Bisnes makan masa yang lama untuk bertapak dan berjaya. Kejayaan tak akan datang dengan mudah macam cerita idaman kat atas tadi.

Kebanyakan bisnes matang dan menarik minat syarikat besar untuk beli hanya setelah berjalan selama 14 ke 15 tahun. Kalau anda ada hasrat sebegitu, yang selalu orang sebut exit strategy dan seumpamanya, ketahuilah bahawa itu amat jarang berlaku.

Biasanya Tokeh akan harung layan syarikatnya dalam tempoh masa yang sangat lama. Kalau nasib baik, membesar dan jadi korporat. Atau masuk ke Bursa saham atau syarikat raksaksa beli.

Kalau tak berapa baik, ianya hanya sekadar mencukupi untuk jadikan anda selesa dengan harta yang mencukupi untuk digelar orang kaya di tempat anda tinggal.

Itupun dah cukup baik sangat. Dan biasanya itulah yang kebanyakan usahawan jadi sepanjang yang saya lihat dan berkawan dengan para usahawan.

Yang pastinya, anda perlukan stamina yang kuat untuk perjalanan yang sangat jauh dan perlu banyak bersabar.

#6. Dongeng buat rancangan perniagaan tarik pelabur

Mungkin anda sering dengar nasihat terutamanya dari agensi kewangan kerajaan supaya pergi masuk kelas buat kertas kerja rancangan perniagaan.

Bila pandai buat kertas kerja Rancangan Perniagaan (RP), sediakan semuanya dengan lengkap rapi. Seterusnya boleh persembahkan pada pelabur dan dapatkan dana mula bisnes yang banyak.

Atau boleh persembahkan pada agensi kewangan kerajaan atau pada agensi keusahawanan kerajaan untuk terpilih mendapat suntikan dana mula bisnes.

Atau paling sempoi, buat RP yang hebat, tunjuk pada pelabur pro seperti Venture Capital, atau Angel Capital. Dapat juta-juta suntikan dana untuk idea bisnes anda tu.

Walaupun itu bukanlah satu dongeng, memang ada yang dapat peluang keemasan macam tu, tapi pergilah tanya kebanyakan usahawan kat luar tu, berapa ramai yang dapat peluang macam tu.

Itu mungkin hanya peluang satu dalam seribu. Atau mungkin lebih teruk lagi, 1 dalam 1,000,000 !.

Tak payah nak harap sangat anda masuk dalam kategori mereka yang bernasib baik macam tu. Percaya boleh, tapi jangan berharap.

Anda perlu buat dan berpegang macam majoriti usahawan yang lain. Kebanyakannya tak ada buat kertas kerja lansung sebab semuanya ada dalam kepala. Dan mereka biasanya keluarkan modal sendiri hasil dari duit simpanan atau duit VSS.

Ada yang keluarkan duit simpanan pencen. Ada juga yang pakai Kad Kredit. Ada pula yang dapat pinjam bank dengan cagarkan aset rumah yang mereka ada. Ada yang refinance rumah. Ada yang susahkan semua keluarga, mak, bapak dan kawan-kawan bergolok bergadai.

Yang pastinya, semua mereka itu berhati-hati dengan modal yang mereka keluarkan, berusaha tingkatkan hasil jualan, kemut genggam tak tirih selama mungkin dengan keuntungan yang dijana untuk dilaburkan semula kepada bisnes yang mereka usahakan.

Kemudian lepas dah berjaya bina sedikit aset perniagaan, barulah pihak Bank terhegeh-hegeh datang nak tumpang dengan tawarkan berbagai pakej kemudahan kewangan. Maa tu tak ada minta RP pun!

Itulah dunia sebenar yang dihadapi oleh majoriti besar usahawan kat luar sana.

#7. Setiap syarikat hanya ada seorang Boss

Anda mungkin nak gelar diri anda sebagai Boss atau Taukeh atau boleh saja panggil CEO. Lantaklah nak panggil apa namapun, yang perlu anda ingat dan semat dalam dada adalah, setiap syarikat hanya ada seorang saja Boss atau Taukeh atau CEO.

Jika idea bisnes tu anda punya, anda berusaha sampai jadi. Mungkin sebelum itu, anda ada ajak kawan atau rakan untuk jadi partner dan cuba berlakon yang kedua-duanya adalah Boss atau Taukeh atau CEO.

Hakikatnya, anda perlu faham bahawa hanya ada seorang saja Boss. Tak boleh ada 2 atau lebih. Yang lain tu, selain dari anda, perlu ikut telunjuk anda samada betul atau salah. Kalau tak boleh ikut, anda perlu singkirkan awal-awal.

Kalau anda tak faham kedudukan itu, alamat anda bukan Boss. Paling teruk kalau anda ada rakan kongsi dan anda harap kat dia dan dia pula harap kat anda. Last sekali syarikat tak akan ke mana-mana sebab tak ada seorangpun yang bertindak sebagai BOSS.

Anda perlu bertindak sebagai sumber utama yang menggerakkan semua perjalanan syarikat sampai jadi dan berjaya. Anda yang perlu cari pembantu atau pekerja mahir yang sesuai dan mampu menjalankan tugas. Semuanya letak kat atas bahu anda. Ingat itu!

Banyak bisnes yang ada rakan kongsi tak pergi jauh. Biasanya akan pecah sekerat jalan sebab manusia ni memang tak boleh lama memendam rasa. Kononnya kedua-dua rakan kongsi sama level dan sama-sama boss adalah lakonan semata-mata. Samada kawan baik dah lama kenal atau tidak. Berkawan dengan berakan bisnes adalah tak sama.

Samada anda pengikut atau anda Boss itu saja.

Satu lagi, jangan nak bagi share syarikat kat pekerja. Kononnya nak lantik dia jadi rakan kongsi. Elakkan buat macam tu supaya tak menyesal. Lebih bagus jika anda berikan perkongsian keuntungan dalam bentuk peratusan atau sebagainya.

Jangan sesekali kongsikan kuasa syarikat. Itulah yang lebih baik.

#8. Kemampuan menjual adalah penentu

Tak payah nak ingat kalau produk atau servis anda tersangat hebat, dapat selesaikan apa saja masalah, anda tak payah nak susah payah pi jual. Orang akan datang menderu-deru tak henti-henti beli produk anda tu.

Kemampuan untuk menjual perlu dipelajari. Perlu diusahakan supaya betul dan perlu gigih sampai berjaya. Sebagus manapun produk atau servis anda, kalau tak bersungguh-sungguh tolak dan tolak naik supaya orang beli, anda tak akan berjaya bina bisnes anda itu.

Pelanggan adalah penentu samada bisnes anda kekal atau bungkus. Anda perlu fokus pada jualan. Dan pastikan anda jual apa yang mereka mahu. Bukannya apa yang anda nak jual.

Jika anda tak terjun lalui pengalaman menjual, anda tak akan faham betapa sukarnya untuk kuasai ilmu menjual ni. Jadi, pastikan anda lalui tempoh menjadi jurujual sebelum nak mula buka bisnes sendiri.

#9. Simpan kenalan negatif anda

Anda tentu kenal kawan-kawan yang sentiasa negatif dengan apa saja cadangan dan idea anda. Mungkin anda anggap mereka berfikiran negatif. Atau mungkin anda rasa mereka pandang rendah pada keupayaan anda selama ini.

Kalau ada ramai kawan-kawan yang macam tu, jangan buang mereka.

Pastikan anda terus berhubung dan gunakan kumpulan kawan-kawan tu untuk mereka baham semua idea anda.

Kawan-kawan yang tak rasa segan silu untuk tembak anda dengan seribu satu soalan mengkritik segala idea anda amat berguna untuk pastikan anda tak syok sendiri.

Bila nak bahas idea bisnes, kawan-kawan yang kerjanya asyik puji melambung kehebatan anda memang tak boleh nak pakai sangat. Mereka bakal buatkan anda syok sendiri dan tidak berpijak di bumi nyata.

#10. Jangan buat bisnes kalau tak mau duit

Ini hakikat yang anda perlu akur dan terima.

Kalau anda susah nak terima hakikat ini, kononnya tak suka jadi orang yang kejar duit. tak suka jadi orang kaya yang banyak duit dan seumpamanya, anda memang tak akan jadi usahawan sampai bila-bila. Apatah lagi kalau nak jadi usahawan berjaya.

Memang betul, anda jadi usahawan untuk buat apa yang anda suka dan pandai. Tapi anda buat benda yang anda suka dan pandai itu supaya lebih mudah terjamin kejayaannya untuk anda buat duit.

Sudah pasti selain dari duit, anda dapat banyak kepuasan lain. Menyediakan peluang kerja, membantu selesaikan masalah pelanggan dan lain-lain lagi tujuan yang mulia.

Tapi samada semua itu berjaya atau tidak bergantung kepada banyak mana anda berjaya buat duit. Berapa banyak hasil jualan anda catatkan dan berapa banyak keuntungan anda kumpul untuk membina bisnes yang lebih berjaya lagi dan lebih lama dapat bertahan.

#11. Jangan tunggu peluang, jemputlah ia

Ada orang kata, si Mat tu jadi usahawan berjaya sebab bernasib baik. Dia berada di tempat yang betul, pada masa yang sesuai dan berjumpa dengan orang yang tepat.

Saya selalu juga dengan ayat macam tu.

Kononnya si anon tu kenal orang politik itu dan ini. Kononnya di anan tu kenal menteri itu dan ini ..

Tapi anda perlu terima hakikat bahwa bukan semua orang yang kenal menteri itu dan ini, orang kenamaan itu dan ini, boleh berjaya. Kalau dia sendiri tak ada apa-apa persediaan, tak ada apa-apa kemahiran dan kelebihan yang dibina dalam masa yang cukup lama.

Jadi, kalau anda nak jemput peluang, binalah keupayaan anda dengan tekun tanpa jemu-jemu. Berusaha, belajar, tambah ilmu tambah pengalaman, tambah kenalan dengan gigih. Supa bila peluang lalu nanti, anda akan dapat mengesannya.

Orang muda sila hadam kalau nak jadi usahawan

Panjang lebar artikel kali ini. Saya khaskan dan perah otak untuk kongsikan pada bakal-bakal usahawan dari kalangan orang muda kat luar sana.

Saya tak ceritakan perkara manis-manis. Agak pahit dan tak berapa nak seronok nak baca kalau anda orang muda yang ada impian nak jadi usahawan.

Tapi itulah kenyataannya.

Memang sukar. tapi bukanlah sesuatu yang tak boleh dilakukan.

Jika anda hadam semua yang saya kongsikan kat atas tu, saya yakin anda akan jadi usahawan juga satu hari nanti. Insyaallah moga berjaya.

Total
57
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge