46Bagi pembaca yang sedang membaca artikel ini, anda mungkin seorang usahawan.

Jika memang anda seorang usahawan, maka tidak boleh tidak pasti sedang atau akan mempunyai sebilangan pekerja.

Peniaga yang tak ada pekerja mungkin tak lengkap untuk dinamakan sebagai seorang usahawan. Dia lebih layak dinamakan sebagai individu yang kerja sendiri.

Orang kerja sendiri biasanya sendiri cari kerja sendiri buat kerja dan sendiri jadi taukeh sendiri jadi kuli

Kalau anda tak mahu ambil pekerja dan nak teruskan cara kerja sendiri sebegitu, elok fikirkan semula. Ubahlah fikiran itu dan rancang untuk dapatkan pekerja.

Anda mungkin juga bukan seorang usahawan. Walaupun bukan usahawan, artikel ini penting juga untuk anda sebab kalau bukan usahawan, maka sudah pasti anda adalah seorang pekerja.

Samada usahawan atau bukan usahawan, pastikan anda tahu 3 jenis pekerja yang perlu dielakkan dengan bersungguh-sungguh.

Kalau usahawan, jangan ambil 3 jenis pekerja ini. Dan kalau anda pekerja, janganlah jadi 3 jenis pekerja ini.

  1. Jenis kayu mati
  2. Jenis tak layak
  3. Jenis pemalas danĀ tidak produktif

Pekerja jenis kayu mati

Bagaimana anda lihat kayu mati ?

Cuba lihat kayu mati yang hanyut dalam air. Ia terapung dan ikut saja ke mana air nak bawa. Kalau disangkut tepi akar, akan tersangkutlah dia macam itu saja. Tunggu kalau-kalau ada perubahan.

Kalau kemudiannya ada arus deras yang datang, dipukulnya bersama kayu mati, dia akan ikut arus itu pula pergi kemana saja dia dibawa.

Bayangkan air dan sungai itu adalah syarikat anda dan kayu mati adalah pekerja anda.

Kalau anda boleh bayangkan keadaan itu, maka anda tentu dapat agak bagaimana seorang pekerja yang dikategorikan sebagai kayu mati ini.

Pekerja jenis ini walaupun tidak jahat tidak baik, ia adalah seumpama penumpang dalam sebuah perjalanan. Tidak lebih dari itu.

Dia tidak memberikan apa-apa sumbangan dalam menentu dan membawa arah perjalanan syarikat supaya menjadi lebih baik.

Dia datang cukup masa, pergi balik cukup waktu. Mungkin mereka jenis kerja kuat, tapi malangnya kerja kuat setakat apa yang syarikat atau taukeh suruh saja.

Akalnya disimpan daripada memikirkan bagaimana nak jadikan kerja lebih baik. Mereka tak suka buat lebih-lebih, malah tak teringinpun.

Jika anda kerja di syarikat multinasional boleh buat macam tu, kalau ekonomi ok, anda akan kekal lapuk kat tempat anda. Jika ada VSS, insyaallah anda akan masuk dalam senarai utama.

Tapi kalau anda kerja di syarikat kecil macam syarikat saya, ia tidak boleh dipertahankan. Adalah menjadi satu masalah besar usahawan kecil menyimpan pekerja jenis kayu mati ini.

Syarikat tak akan membesar jika pekerja yang ada sekarang penumpang. Pastikan semua pekerja di syarikat adalah pemandu.

Kalau anda seorang pekerja sekarang, anda jenis apa?

Apakah anda jenis kayu mati?

Jika anda usahawan, berapa ramai pekerja anda yang masuk dalam kategoti kayu mati ini ?

Pekerja jenis tak layak

Ada pekerja yang masuk menjadi ahli syarikat anda setelah berjaya ditemuduga. Ketika sesi temuduga semuanya berjalan lancar. Perwatakannya baik, sikapnya baik dan kelihatan pengalaman kerjanya juga agak lama.

Setelah masuk kerja beberapa lama, anda dapati dia macam tak layak berada di tempat itu. Kerjanya amat lambat, susah nak faham dan sentiasa tidak dapat memberikan hasil kerja yang diharapkan.

Berbagai usahawan telah dilakukan oleh syarikat. Latihan di berikan, malah jenis kerja juga terpaksa ditukar supaya bersesuaian dengannya.

Namun semua usaha itu seperti tunag air di daun keladi. Dia masih juga tetap kekal lembab sebagaimana biasa.

Pekerja jenis ini juga tak boleh disimpan oleh para usahawan kecil yang mahu syarikatnya berjaya. Tidak ada jalan lain selain dari melepaskan mereka pergi cari kerja lain yang lebih sesuai.

Untuk elakkan jenis pekerja sebegini tidak singgah di syarikat, seeloknya perlu diadakan sesi menilai keupayaan pekerja semasa temuduga.

Jika kerja memerlukan kemahiran teknikal, sediakan tugasan suaya dia boleh tunjukkan kemahiran yang ada padanya.

Jika ianya kerja-kerja perkeranian, pastikan anda berikan tugasan cubaan yang menggunakan komputer dan perisian popular seperti Words, Excel dan seumpamanya. Suruh dia buat surat, suruh dia buat panggilan telefon dan suruh dia jawab panggilan telefon.

Bersusah payah sedikit untuk sesi penapisan sebenarnya amat berbaloi untuk elakkan tenaga dan tahap kesabaran terbuang sia-sia.

Pekerja jenis pemalas dan tak produktif

Ada dua jenis pemalas.

Pertamanya adalah malas yang menjadi masalah sikap hasil daripada kebiasaan menangguh kerja, dan tidak ada keupayaan membezakan antara yang penting dengan yang lebih penting.

Malas ini biasanya diikuti oleh rasa rendah diri dan tidak ada cita-cita dan keazaman yang tinggi untuk berjaya dalam hidup. Mungkin ada perasaan nak berjaya, tapi hanya sekadar angan-angan buat teman mengantuk.

Malas yang kedua adalah malas yang dirancang.

Orang yang merancang untuk malas menggunakan akalnya untuk mencari jalan paling bagus dalam melaksanakan sesuatu kerja.

Matlamat orang malas sebegini adalah untuk pastikan usaha yang paling minimum digunakan untuk menghasilkan keputusan yang paling maksimum.

Masa berlebihan yang berjaya dikumpulnya akan digunakan untuk belajar menambah maklumat dan merehatkan diri serta minda untuk merancang dengan lebih mantap.

Orang yang malas sebegini biasanya bercita-cita tinggi dan bijak akalnya. Mereka punya citarasa tinggi dalam menjalani kehidupan.

Pekerja jenis pertama perlu disingkirkan dari berterusan menghisap duit di syarikat anda. Walaupun anda rasa perwatakannya baik, rendah diri, ceria dan suka memeriahkan suasana, ia adalah tidak berbaloi untuk disimpan.

Ditambah dengan sikap sering datang lewat, suka balik awal, sering MC dan cuti kecemasan dengan berbagai alasan dan sebagainya, ia akan melemahkan syarikat. Elok buang saja secepat mungkin jangan tangguh lagi.

Pengalaman saya berurusan dengan pekerja sering bertemu dengan orang yang sebegini. Mereka baik, ceria dan sangat ringan tulang membantu.

Tapi bila masuk bab kerja, mereka tak pernah berikan hasil yang diharapkan. Kerja sentiasa dibawah tahap minimum. Perancangan mereka ‘ out ‘. Masa tak pernah tepat. Janji tak pernah ditunaikan, semuanya seperti lakonan sahaja sehingga kadangkala anda sendiri akan keliru.

Buang saja pekerja jenis ini.

Tapi jika ada pekerja anda yang masuk dalam kategori malas kedua. Simpan pekerja jenis sebegitu. Ia boleh memberi sumbangan yang baik kepada pembinaan syarikat.

Biasanya orang jenis malas kedua elok diletakkan pada posisi ketua.

Anda jenis pekerja yang mana ?

Sekarang lihat semula pada diri sendiri. Apa jenis pekerja yang ada dalam syarikat anda sekarang. Ini adalah satu urusan yang teramat penting jika usahawan mahu besarkan syarikat.

Tidak ada syarikat yang akan berjaya jika para pekerjanya tidak menjadi pemandu yang memacu kearah kejayaan.

Terutamanya bagi para usahawan kecil, kewujudan pekerja yang hanya mahu menjadi penumpang boleh membunuh keupayaan syarikat untuk membesar.

Sebelum mereka membunuh syarikat, elok buang mereka seawal mungkin. Cari yang lain dengan harapan akan bertemu yang lebih baik.

Itulah kerja yang perlu dibuat sepanjang masa.

Jika anda masih kerja makan gaji sekarang, muhasabah diri segera. Jangan jadi jenis pekerja yang saya sebutkan di atas yang menyusahkan majikan.

Total
113
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

8 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge