rusty-cog-1500x1000Ada 3 kriteria gagal yang perlu diperhatikan, jika kita mahu belajar dari kegagalan tersebut, untuk menuju kejayaan.

Dalam bab ini, kita ambil takrifan ‘gagal’ sebagai, usaha yang tidak membuahkan hasil seperti mana yang dikehendaki.

Selagi seseorang itu terus mencuba, gagal adalah sesuatu yang tidak perlu ditakutkan. Tidak mendapat apa yang disasarkan adalah proses menghampiri sasaran semakin dekat.

Semua orang yang berjaya belajar dari kegagalan-kegagalan kecil yang kemudiannya dipelajari dan diperbaiki dan seterusnya diulang cuba lagi.

Ringkasnya, saya ambil istilah yang sering ditekankan oleh CEO Institut Keusahawanan Negara, En Norizan bin Sharif, yang dia mengambilnya pula dari guru Keusahawanan terkenal Puan Ainon Mohd, mereka berkata,

” Gagal = Belum berjaya “

Perlu ada kriteria gagal

Hampir semua orang berikan kata peransang pada mereka yang mahu berjaya, agar jangan takut pada kegagalan.

Semua orang nasihat agar hadapi kegagalan dengan tabah dan belajar untuk terus ke depan.

Tapi, takkan nak main redah macam itu saja, tanpa adanya panduan untuk menghadapi perjalanan masuk ke lembah gagal tersebut.

Maka, sebab itulah saya kongsikan kat sini, pada anda semua bagaimana nak memahami jenis kegagalan.

Jenis gagal yang macam mana perlu kita rangka supaya ia dapat membantu proses menuju kejayaan dengan lebih pantas dan tidak begitu menyakitkan.

3 kriteria gagal yang penting

Berikut saya kongsikan dengan ringkas dan padat apakah kriteria gagal yang perlu ada yang perlu anda rancang supaya ianya jadi begitu. Ingat! kita perlu bijak untuk berjaya dan begitu juga, perlu bijak untuk gagal.

  1. Gagal perlu berlaku dengan pantas
  2. Gagal perlu berlaku dengan kos yang rendah
  3. Gagal berlaku seawal mungkin

Saya berikan penerangan sedikit supaya anda lebih faham.

Kriteria gagal #1 – Mesti berlaku pantas

Masa yang kita ada adalah terhad. Ada banyak kekangan yang boleh melemahkan moral, jika masa berlarutan tanpa kepastian samada, apa yang diusahakan itu akan membuahkan hasil atau tidak.

Oleh itu, pastikan kalau nak gagal, biarlah ianya berlaku sepantas mungkin.

Untuk pastikan ianya berlaku sedemikian, maka amat penting sasaran yang diburu dipecahkan kepada sebanyak mungkin sasaran kecil seperti tangga.

Untuk pecahkan sasaran kepada lebih banyak sub-sasaran yang kecil, maka tak boleh tidak anda mesti jelas dengan sasaran akhir. Disinilah dapat difahami kenapa merancang itu mesti jadi permainan yang kita kuasai dengan mahir.

Pergilah baca buku atau ikuti seminar yang mengajar cara-cara merancang yang pantas dan berkesan.

Untuk pastikan kita gagal dengan pantas, sikap tangguh kerja tidak akan membantu. Pastikan apa yang perlu dilakukan dilakukan dengan segera atau lebih tepat lagi sekarang juga !.

Kriteria gagal #2 – Mesti murah

Tak perlu dijelaskan bab murah ini sebab saya yakin semua orang tahu apa makna dan kenapa mesti begitu. Ia berkaitan dengan sumber yang kita ada seperti bahan, tenaga, dan kewangan.

Usahawan dan juga siapa saja yang masih muda dan sedang berusaha untuk berjaya tidak ada kelebihan semua sumber itu.

Melainkan anda anak keturunan orang kaya meliana, kos murah wajib diperhatikan dalam semua proses kegagalan anda.

Sama juga seperti bab pertama tadi, untuk pastikan kos gagal menjadi murah, anda perlu pecahkan sasaran kepada sub-sasaran yang lebih kecil.

Anda juga perlu buat testing atau biasa kita panggil ‘Pilot Project’ untuk belajar segala kelemahan dan menguji samada ianya berbaloi untuk diteruskan atau tidak.

Zaman sekarang ada banyak kemudahan untuk mengadakan Pilot Project ini. Gunakan teknologi yang murah dan mudah diakses sekarang untuk pastikan kosnya murah.

Sebagai contoh, jika anda nak jadi saudagar kain, tak payahlah pergi buka kilang kain dengan mengambil jumlah hutang yang menggunung.

Sebaliknya cari jalan murah terlebih dahulu seperti ambil kain orang lain dan menjualnya. Test pasaran kata orang. Dan uji juga keupayaan anda.

Jangan lagi nak sebut pasal untung  yang sedikit atau pilihan tak banyak. Itu masih terlalu awal dalam proses merangka konsep perniagaan terbaik yang anda mahu jalankan nanti.

Kriteria gagal #3 – Mesti berlaku awal

Ada bezanya antara berlaku pantas dengan berlaku awal.

Untuk pastikan kegagalan itu berlaku awal, anda tidak ada pilihan lain selain daripada melakukannya sekarang.

Kalau nak jadi usahawan, bukannya nak tunggu bila pencen nanti. Atau bila dapat durian runtuh yang entah bila nak runtuh.

Begitu juga kalau nak jadi usahawan, zaman muda tidak boleh disia-siakan dengan pergi buat perkara mengarut. Contohnya masuk universiti buat jurusan yang anda yakin memang anda tak minat dan sebagainya.

Ada ramai orang yang masuk kerja makan gaji dan dia pasti dan yakin, tidak minat dengan kerjanya itu. Yang dia pasti adalah dia minat nak berniaga, tapi malangnya dia teruskan juga makan gaji dan siksa batinnya menunggu bila bulan akan jatuh ke riba.

Rancang kegagalan anda sekarang

Anda nampak sekarang bahawa untuk gagal juga anda mesti bijak!.

Gunakan akal untuk memahami ketiga-tiga kriteria gagal yang saya sebutkan di atas dan buat aksi anda segera kalau nak berjaya.

3 kriteria ini juga perlu dijadikan panduan dalam membuat sebarang keputusan dalam menjalani kehidupan anda seterusnya selepas ini.

Anda mesti tegas, nekad dan hanya pandang ke depan untuk terus bergerak.

Tidak ada ruang untuk mereka yang suka tangguh aksi mereka dengan hanya membiarkan minda sahaja berangan-angan nak berjaya, sedangkan badan berlingkar di atas sofa.

Buat keputusan dan laksanakan sekarang apa saja yang nak anda lakukan supaya jika berlaku kegagalan, ianya akan berlaku seawal mungkin, sepantas mungkin dengan kos yang paling rendah.

Pengalaman awal gagal dalam perniagaan

Kali pertama saya letak jawatan dahulu adalah ketika ekonomi gawat pada tahun 1997. Saya terjun jadi usahawan dengan hasrat nak buka kilang pembuatan spare parts automotif.

Semuanya berlaku dengan pantas.

Saya letak jawatan, tak tunggu lama untuk cari dan bawa pekerja pergi kursus pembuatan, dalam masa yang sama cari premis untuk beroperasi, buat pemasaran dan semuanya berlaku dengan pantas.

Apa saja yang tak kena saya adjust dan bergerak lagi ke depan.

Sehinggalah kena check mate dan ternyata projek itu tidak lagi viable. Keputusan diambil untuk batalkan semua projek tersebut dan beralih arah untuk cari jalan lain untuk teruskan kehidupan.

Banyak yang saya belajar dalam proses gagal itu.

Selepas itu saya bergerak lagi cari makan cara lain. Jual petai, jual kain batik, jual baja dan lain-lain lagi. Apa saja yang nak dibuat dilakukan dengan pantas, keputusan dibuat dengan pantas dan setiap kali bertemu jalan buntu buat perubahan dan teruskan perjalanan.

Baru sekarang saya sedar bahawa 3 kriteria gagal yang saya sebut kat atas itu merupakan satu keperluan penting untuk pastikan bahawa setiap kegagalan yang kita hadapi membawa kepada kejayaan.

Oleh itu saya ulang lagi sekali pada anda semua nasihat penting ini, buat keputusan segera jangan teragak-agak, jangan sorok masalah di bawah karpet kononnya dia akan selesai sendiri, terjun padang buat eksperimen, sentiasa tanya diri apa yang aku boleh buat kekarang yang pentingnya aku bergerak!.

Jangan risau samada berhasil atau tidak, yang pentingnya kalau tak berhasil ia berlaku dengan pantas, murah dan awal.

Tunggu apa lagi bro ?

Total
27
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge