tumblr_n8q3mmC3vb1tubinno1_1280Bagi mereka yang berpeluang mengikuti program business coaching yang saya anjurkan, tentu dah fasih sangat tentang 3 sikap yang perlu ada pada usahawan yang mahu gandakan perniagaan mereka.

Oleh kerana ada ramai yang memohon untuk mendapatkan khidmat business coaching tetapi masih tidak dapat dipenuhi, maka saya rasa elok jika saya kongsikan perkara asas tersebut di sini.

Sekurang-kurangnya, anda yang masih tak berkesempatan mengikuti program bimbingan peribadi dari team HR Biz Coaching, dapat menggunakan panduan ini untuk melakukan perubahan diri agar usaha untuk gandakan perniagaan mereka dapat dilakukan sendiri.

Ada orang yang mampu membuat perubahan diri tanpa memerlukan adanya mentor atau bimbingan daripada orang lain. Asalkan dia ada maklumat apa yang perlu dilaksanakan, dia mampu mengaplikasikan sendiri dalam urusan membuat perubahan.

Jadi, artikel ini saya tujukan khas untuk anda yang masih tak berpeluang sertai progam HR Biz Coaching, supaya anda tak marah dan berkecil hati dengan saya.

Gandakan perniagaan dengan penerapan tabiat baru

Apa itu tabiat ?

Cuba tanya pada kawan-kawan apakah tabiat diri yang anda ada ?

Tentu ada jawapan tepat yang boleh diberikan oleh kawan-kawan yang rapat dengan anda.

Sebenarnya amat mudah untuk kenali apakah tabiat seseorang. Kita hanya perlu lihat apakah amalan atau sikap yang sering diulang-ulang oleh seseorang.

Jika setiap kali mendengar khutbah jumaat, anda akan tidur dengan nyenyak, maka itu adalah salah satu daripada tabiat anda. Tabiat tidur ketika khutbah jumaat.

Oleh kerana anda sudah biasa sangat buat perkara tersebut, anda menjadi sangat cekap untuk tidur setiap kali mendengar khutbah jumaat.

Walaupun dalam keadaan panas berpeluh, duduk disebelah pembesar suara, anda pasti akan berjaya untuk lelapkan mata dari mula khutbah sampai habis.

Begitulah hebatnya apabila sesuatu amalan telah berjaya menjadi tabiat.

Bagaimana orang lain boleh gandakan perniagaan anda

Cuba bayangkan jika Richard Branson, pemilik syarikat Virgin Air mengambil alih dan menerajui syarikat anda sekarang. Anda boleh bayangkan juga Tony Fernandez yang ambil alih.

Apa akan berlaku?

Berkemungkinan besar dalam tempoh 3 ke 5 tahun syarikat perniagaan anda berkembang merentasi negara. Masuk sampai ke Singapura, Indonesia, India dan lain-lain negara.

Kenapa jadi begitu ?

Sebab utamanya adalah kerana mereka membawa tabiat dan kemahiran yang berbeza yang jauh lebih baik daripada apa yang anda ada sekarang.

Sebaik saja mereka terajui syarikat anda itu, segalanya akan berubah berdasarkan kemahiran dan sikap atau tabiat yang mereka miliki.

Begitulah kesan besar hasil daripada tabiat yang ada pada seseorang dalam menguruskan sesuatu.

Oleh itu mengenal pasti apakah tabiat diri, adalah penting dan perkara paling asas dalam usaha untuk gandakan perniagaan anda sekarang.

Cara paling berkesan untuk berjaya adalah dengan menerapkan ‘tabiat berjaya’ menjadi amalan hidup. Dan ia perlu bermula dengan mendisiplinkan diri.

Bermula secara paksaan, lama kelamaan akan menjadi sesuatu yang diulang-ulang. Dan dari situ akan lahirlah satu amalan baru yang sudah sebati menjadi tabiat anda.

Gandakan perniagaan dengan 3 sikap untuk berjaya

Saya tak senaraikan banyak sangat sikap untuk diterapkan oleh usahawan untuk berjaya. Kalau nak diikutkan ada banyak lagi sikap baik yang boleh digarap untuk menjadikan seseorang itu berjaya.

Tapi cukup sekadar 3 sikap ini yang saya rasakan memadai untuk membuatkan anda berupaya membuat lonjakan demi lonjakan kejayaan dalam kehidupan atau perniagaan anda.

3 sikap yang anda perlukan untuk menjamin kejayaan demi kejayaan sebagai seorang usahawan adalah:

  1. Bersemangat tinggi
  2. Terurus dan fokus
  3. Berkawan

Jom kita lihat setiap huraian daripada sikap yang tersebut di atas satu persatu.

#1. Bersemangat Tinggi

Jangan harap anda dapat gandakan perniagaan yang dijalankan sekarang tanpa adanya semangat yang tinggi berkobar-kobar.

Sebab itu ianya adalah prasyarat yang mesti ada pada semua usahawan yang nak berjaya. Orang yang bersemangat tinggi sentiasa tahu apa yang dia mahu capai.

Orang yang bersemangat tinggi juga yakin pada keupayaannya untuk mencapai apa yang disasarkannya. Dia masih tetap percaya pada dirinya sendiri walaupun semua orang berkata sebaliknya.

Dengan semua sikap itu, dia akan tetap istiqamah berusaha sehingga mencapai kejayaan.

Bagaimana nak punya semangat tinggi:

  • Pastikan anda punya alasan kukuh sebab apa anda lakukan perniagaan yang sedang dijalankan sekarang.
  • Sentiasa buat perubahan ke arah yang lebih baik terhadap gaya hidup anda. Jaga makan dan jaga kesihatan.
  • Sentiasa berfikiran positif.
  • Berupaya bergerak dan bertindak sendiri tanpa perlu dipaksa oleh sesiapa.

#2. Terurus dan fokus

Cuba lihat meja pejabat anda.

Cuba lihat meja anda.

Cuba lihat rumah anda, kenderaan, dan apa saja milik anda.

Adakah semuanya kemas tersusun rapi atau berselerak dan terbarai.

Bagaimana rupa keadaan semua yang saya tanya di atas tadi, begitulah keadaan sebenar fikiran dalam kepala anda.

Fikiran yang berselerak akan menghasilkan pejabat, meja, almari, kereta dan rumah yang berselerak. Itu tandanya anda tidak dapat uruskan diri dan fikiran serta apa saja dengan baik.

Ubah sikap tersebut. Ubah dan uruskan fikiran anda yang semak itu dengan terbalikkan keadaan secara paksaan. Sentiasa susun kemas pejabat, meja, rak dan rumah anda. Sentiasa pastikan di mana saja anda berada, keadaan tersusun rapi.

Dengan amalan sebegitu, anda akan dapat ubah semula fikiran anda daripada berserabut dan semak kepada tersusun dan tenang.

Bila fikiran tersusun dan tenang, anda akan mampu membuat pertimbangan mana yang lebih penting diantara banyak perkara penting yang lain. Dan lunaskan kerja yang paling penting terlebih dahulu setiap masa.

Sediakan tempat dan masa untuk duduk bersendirian merancang. Gunakan buku nota untuk catitkan segala perancangan.

Jadikan amalan tersebut untuk sentiasa berusaha bergerak maju ke hadapan.

Apa perancangan yang anda perlu buat ?

Untuk gandakan perniagaan, segala perancangan anda mestilah berkisar pada 5 perkara berikut di bawah:

  1. Tabiat – apa perubahan tabiat yang perlu anda lakukan
  2. Kewangan – apa pembaikan yang boleh anda buat dalam menguruskan kewangan perniagaan dan dan diri anda.
  3. Pekerja – apa perkara baru yang boleh anda terapkan dalam usaha menguruskan pekerja dengan lebih baik
  4. Pemasaran – Bagaimana aktiviti pemasaran dapat diperbaiki dan dilaksanakan dengan konsisten.
  5. Jualan – bagaimana dapat dipastikan setiap prospek boleh ditukar menjadi pelanggan.

#3. Berkawan, membina rangkaian jaringan

Saya tidak maksudkan urusan membina jaringan MLM di sini.

Membina rangkaian jaringan ini bererti aktiviti mengenal pasti kawan dan kenalan yang boleh membantu anda menjana idea dan memberikan khidmat nasihat.

Usahawan mesti jadikan amalan membina jaringan ini sebagai amalan kekal dan berterusan. Pergi seminar, baca buku, libatkan diri dalam aktiviti sosial, gunakan media sosial atau dapatkan bantuan mentor atau business coach.

Kenal pasti kelemahan anda. Kenal pasti juga apa yang anda tak tahu. Kemudian cari siapa yang dapat bantu anda mengatasi masalah tersebut. Pergi cari mereka dan berkawan serta rapatkan perhubungan.

Belajarlah apa yang anda tak tahu dari kawan yang tahu. Skopnya masih tetap sama, samada dari segi tabiat, kewangan, pemasaran, pekerja, pemasaran atau jualan. Tambah kemahiran anda dalam semua urusan tersebut.

Gandakan perniagaan anda sekarang

Dengan panduan yang saya berikan di atas, insyaallah jika dilaksanakan secara konsisten, usaha anda untuk gandakan perniagaan adalah sesuatu yang hampir pasti.

Semoga berjaya !

Total
25
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

  1. Terima kasih Tuan Coach Bihi..
    alhamdulillah..sikap no 1 dan 3 sedang giat di usahakan..
    yang no 2 kena improvekan banyak2 lagi..sekurang2 kena pupuk tabiat untuk diri sendiri dulu..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge