3 tabiat paling penting

Saya nak kongsikan berkenaan 3 tabiat paling penting yang anda perlu ada kalau ada niat nak jadi seorang usahawan yang berjaya.

Artikel ini saya tulis sebab ada banyak juga pertanyaan yang saya terima dari pembaca blog hidupringkas.com berkenaan persediaan diri untuk jadi usahawan.

Ramai yang nekad untuk jadi usahawan selepas ini. Ada yang jadikan tahun 2018 ini sebagai satu permulaan langkah awal mereka untuk jadi usahawan. Ada yang berikan tempoh setahun dua lagi. Tapi yang pentingnya, mereka nak tahu apa yang mereka perlu buat supaya perancangan mereka nak jadi usahawan itu jadi lebih mudah nanti.

Membina tabiat paling penting

Kalau tanya kebanyakan orang yang sampai sekarang masih tak berhenti kerja dan jadi usahawan sepenuh masa lagi, apa perkara penting untuk bersedia jadi usahawan?

Mereka akan jawab DUIT!

Ramai yang sangka duit adalah segala-galanya bila bercakap bab keusahawanan atau bab perniagaan. Kalau ada duit emua boleh jadi. Kalau ada banyak duit, baru boleh jadi usahawan berjaya.

Tapi saya dah lihat lama dah. Malah dah alami sendiripun pasal bab duit ni.

Duit bukan perkara utama paling penting yang anda perlu bina atau sediakan kalau nak jadi usahawan berjaya. Bukan saja dalam perkara nak jadi usahawan, nak berjaya dalam apapun perkara sebenarnya, duit bukan perkara nombor satu.

Perkara paling penting adalah diri anda sendiri.

Bila sebut diri anda sendiri, bererti apa yang membentuk diri anda sekarang. Dan orang kenal anda berdasarkan tabiat yang anda ada.

Oleh itu, membina tabiat yang betul adalah perkara paling utama yang perlu anda perhatikan.

Tak guna kalau anda ada banyak duit, tak guna kalau anda ada rupa paras yang baik, bijaksana, gagah perkasa dan lain-lain lagi seumpamanya seandainya tabiat yang anda ada hampas dan tidak membantu untuk anda berjaya.

3 tabiat paling penting

Bila bercakap pasal tabiat atau sikap, ada banyak nasihat yang selalu kita dapat dari pakar motivasi. Samada dalam ceramah mahal mereka atau dalam buku tulisan mereka, berbagai sikap dihurai dan disarankan supaya semua orang bina untuk berjaya.

Tapi saya nak ringkas kesemua itu supaya jadi lebih mudah dan praktikal untuk anda lakukan.

Anda hanya perlu berikan tumpuan hanya pada 3 perkara sahaja. Sila perhatikan dan bina sampai jadi amalan dan tabiat diri. Tak banyak sangat tu! hanya 3 sahaja. Kalau 3 pun anda rasa macam berat dan tak mampu nak buat, memag layak sangat anda tak maju.

Jadi apa 3 tabiat paling penting yang perlu diperhatikan dan dibina tersebut?

#1. Bersemangat tinggi

Ini perkara paling asas. Nak jadi apapun perlu punya semangat yang tinggi.

Orang yang nak meninggal dunia sahaja yang akan terus hilang semua semangat yang ada. Sebab itu dia meninggal dunia. Bila otak kesan tuannya dah tak ada semangat untuk hidup, dia akan buka semua pintu yang memmudahkan tuannya untuk mati.

Saya dah tengok sendiri semua orang yang saya kenal. Bila mereka mula merepek sedih sana dan sedih sini, murung, tidak ceria, makan malas, bergerak malas, berfikir malas, semuanya malas. Tak ada satu perkarapun yang mampu menaikkan semangat mereka. Biasanya, tak lama kemudian saya akan dengar berita kematian mereka.

Jadi perlu ada semangat.

Walau macam manapun, bukan mudah duk tak duduk nak naik semangat. Mesti ada sebab untuk semangat kita naik. Biasanya semangat anda akan naik bila nak buat sesuatu yang anda suka atau minat.

Buat perkara yang disukai

Sebab itu hampir semua nasihat yang orang berjaya berikan kalau nak berjaya adalah, buat apa yang anda minat. Memang logik pun. Anda akan bersemangat buat segala urusan yang anda suka. Kena marahpun tak apa, dan tak dapat duit pun tak kisah. Apatah lagi jika anda buat perkara yang disukai dan dapat duit pulak! lagilah bersemangat.

Bagi saya, bila tahu nak jumpa kawan yang suka bincang bab-bab ilmiah dan berat, semangat saya akan naik. Rasa segar dan ceria tak sabar nak jumpa dan berbincang. Begitu juga bila tengok padang bola yang baru di-mesin rumputnya. Bau rumput baru dipotong dengan cuaca yang segar membuatkan saya terus rasa segar dan bersemangat.

Itu contoh mudah macam mana nak pastikan kita bersemangat. Perlu kenal pasti suasana, perkara atau amalan yang mampu membuatkan diri rasa bersemangat. Cari semua perkara yang membuatkan diri anda naik semangat dan catitkan untuk digunakan bila perlu.

Gaya hidup sihat

Untuk pastikan anda sentiasa bersemangat tinggi, perlu pastikan minda sentiasa sihat dan bertenaga. Dan untuk pastikan minda sihat dan bertenaga, tubuh badan anda perlu dijaga dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Jangan lupa makan. Mungkin saya tak perlu sebut perkara itu, semua orang tak pernah lupa untuk makan. Tapi jangan makan sampai tahap yang boleh dipanggil melantak. Makan sampai tak sedar diri. Kenyang perut penuhpun masih nak suap masuk makanan dalam mulut! itu melantak namanya.

Berhenti bila dah hilang rasa lapar. Makan makanan yang seimbang. Pergi belajar perkara asas tentang makanan yang seimbang. Google saja dalam internet untuk ambil tahu makanan yang seimbang tu.

Pastikan jangan lupa untuk bersenam.

Tak payah nak berikan alasan tak ada masa, sibuk, suasana sekelilng dan kerja yang tidak mengizinkan untuk bersenam. Hendak seribu daya, tak hendak seribu alasan. Perah otak untuk pastikan anda boleh luangkan masa untuk bersenam. Paling kurang 3 kali seminggu dalam tempoh 45 minit sekurang-kurangnya.

Pilih untuk lebih banyak berjalan dan naik tangga dalam melakukan semua urusan kerja anda. Kurangkan duduk dalam kereta dan tekan butang lif untuk naik ke tingkat atas bangunan.

Seterusnya jaga tidur untuk rehatkan badan dan minda. Jika anda makan seimbang, banyak bergerak dan bersenam secara rutin, anda akan jadi mudah tidur sebenarnya. Oleh itu fokuskan pada jaga makan dan bersenam, bab tidur akan datang secara automatik. Jangan belasah tidur lebih dari 8 atau 9 jam sehari sudahlah!

Kuasai semua urusan anda

Ini juga amat penting untuk membina semangat yang tinggi.

Perlu kenal pasti apa perkara yang berada di dalam kawalan diri anda dan apa perkara yang berada di luar kawalan anda. Bila dah kenal pasti, pastikan anda hanya fokus pada perkara yang di dalam kawalan diri.

Tak payah nak merungut, menyampah, serapah dan lain-lain lagi pada perkara yang bukan berada di dalam kawalan diri anda. Tak gunapun sebab anda tak akan boleh buat apa-apa.

Bila berlaku sesuatu perkara yang tak kena, tanya apa yang anda boleh buat untuk baiki kedudukannya. Perah akal sampai jumpa dan hentikan nak marah kat orang lain. Tanya apa yang aku boleh buat. Tanya banyak kali sampai jumpa jawapannya dan bangun pergi buat.

Latih bergerak sendiri

Akhir sekali, anda perlu sentiasa latih diri untuk bergerak ke depan. Buat senarai perkara kecil-kecil yang perlu dilaksanakan dan laksanakannya sampai siap. Lepas itu buat lagi rencana lain dan buat dan begitulah seterusnya.

Belajar untuk senaraikan perkara kebaikan kecil-kecil yang baru yang boleh anda amalkan. Sehari satupun dah ok. Contohnya anda rancang untuk bantu orang angkat barang hari ini. Pastikan anda pekakan mata untuk lihat peluang untuk buat begitu.

Sebaik saja nampak segeralah pergi bantu. Minta kebenaran untuk membantu dan jika diizinkan terus buat. Bila selesai, anda akan dapat kepuasan yang amat tinggi. Semangat naik dan anda dah berjaya latih diri untuk merancang dan bergerak sendiri.

Saya baru berjaya terangkan tabiat nombor satu sahaja nampaknya. Itupun dah jadi panjang sangat. Jadi saya tangguh dahulu sampai kat sini. Nanti saya sambung pulak tabiat nombor 2 dan nombor 3 dalam artikel lain. Insyaallah!

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge