4 impian usahawan yang semua usahawan mahu bila berniaga

By | 04/05/2017

impJika anda seorang usahawan, tentu 4 impian usahawan yang akan saya senaraikan kat bawah ini menjadi sesuatu yang anda sentiasa impikan.

Kalau anda masih makan gaji, mungkin tak berapa sedar sangat tentang apa sebenarnya impian usahawan selama menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

Orang makan gaji biasanya impikan perkara berikut:

  1. Kerja yang mudah dan menyeronokkan – Bukan saja seronok buat kerja, malah persekitaran kerja juga amat baik. Ada tempat duduk yang ada privasi, disediakan makan dan minum kat pantry yang mencukupi. Boleh keluar masuk pantry setiap masa ikut suka hati dan habiskan kesemua makan dan minum yang ada.
  2. Gaji yang banyak lebih dari mencukupi untuk sara kehidupan dan bersuka ria – Walaupun kerja mudah dan seronok, tapi gaji mesti mau banyak. Banyak berlebihan daripada yang diperlukan. Belum cukup bulan duit dah masuk pula tu. Lancar dan pantas. Kerja lebih masa sikit akan ada elaun. Travel pula akan diberikan kesemua duit yang duperlukan untuk makan minum, hotel, minyak petrol, dan ada extra lagi untuk lain-lain hal.
  3. Waktu kerja yang fleksibel dan pendek – Pejabat tak ada punchcard. Boleh masuk ikut suka hati pukul berapa yang dia mahu. Boleh keluar juga sesuka hati. Boleh balik sebentar untuk bagi makan kucing kesayangan kat rumah dan driver syarikat yang tolong hantarkan pulak tu.
  4. Boss yang baik hati dan ikut cakap pekerja – Boss tak pantau semua tugasan yang diberikan. Kerja tak siappun ok, boss akan ambil dan buat sendiri tanpa menyusahkan pekerja. Boss tak pernah soal jika pekerja ambil cuit dan asyik MC. Boss akan dengar apa saja nasihat pekerja kepadanya dan anggap “staff always right !”. Jika Boss tak suka pada staff, boss yang akan belah, bukan staff.
  5. Naik pangkat setiap tahun tanpa tambahan tanggung jawab – Tanpa perlu ada aktiviti penilaian prestasi, pangkat perlu sentiasa naik. Gaji juga perlu sentiasa naik tapi tanggung jawab tidak ada perubahan, macam dulu juga.
  6. Rakan kerja yang baik hati dan sentiasa memberi bantuan bila diperlukan – Semua rakan kerja amat mesra alam dan mesra pejabat. Tak ada gossip dan tidak berat tulang. Akan ada saja kawan kerja yang datang minta nak tolong selesaikan kerja anda.

Mungkin ada banyak lagi impian pekerja selain kat atas tu.

Anda yang makan gaji tentu lebih tahu.

Tapi, kalau saya makan gaji dan dapat kesemua yang disenaraikan kat atas tu, sudah pasti saya tak akan jadi usahawan sampai sekarang.

Nak apa lagi kalau macam tu punya kedudukan sebagai seorang pekerja makan gaji !

Tapi realitinya adakah begitu ?

Bolehkah anda dapat kesemua keadaan seperti di atas dengan mudah ?

Mungkin ada yang kata boleh dan ada yang kata mustahil. Terpulang pada persepsi masing-masing dalam menghadapi dunia makan gaji.

Untuk dapatkannya memang tidak mustahil, perlu ada perancangan yang teliti dan usaha yang berterusan selama melayari kerjaya makan gaji.

Itulah yang ramai pekerja tak buat walaupun tahu. Mungkin juga ramai yang pura-pura tak tahu. Sekadar harapkan semuanya ada tanpa usaha.

4 impian usahawan yang semua usahawan mahu

Jika pekerja makan gaji ada impian mereka, usahawan juga ada impian mereka yang tersendiri.

Impian usahawan tak banyak sangat pun.

Hanya ada 4 impian usahawan seperti berikut:

#1. Kemudahan kewangan dari semua orang

Tak ada lagi seorang usahawan pun yang saya jumpa tak mahu perkara mewah ini. Samada usahawan itu jual goreng pisang tepi jalan, mahupun buka syarikat yang jualan RM5 juta sebulan, mereka masih harapkan impian pertama ini.

Kalau boleh kesemua institusi bantuan kewangan mesti berebut memburu mereka di segenap penjuru untuk tawarkan duit atau bantuan kemudahan kewangan.

Usahawan tak perlu buat apapun, tak perlu naik dan turun tangga isi borang dan sebagainya.

Dah la mudah nak dapatkan, kos kewangan atau interest pula amat rendah. Tiada denda kalau lambat bayar. Kalau nak bayar lambatpun tak apa. Pihak bank akan telefon tanya samada perlu tambahan lagi atau tidak, walaupun dah dua bulan tak bayar ansuran hutang.

Usahawan akan rasa pihak bank amat prihatin sekali.

Dah dua tiga bulan tak bayar ansuran tentu sebab masalah tak ada duit. Patutpun bank call tanya samada nak tambah lagi hutang atau tidak.

Hebat betul bank yang macam tu.

Paling best adalah dapat geran, yang jauh lebih baik dari, hutang yang rendah interest.

Kalau geran, tak perlu nak fikir pasal bayaran.

Nak buat apa dengan geran itu, kerajaan tak perlu nak tanya usahawan. Mereka tahu nak buat apa bila ada banyak duit.

Inilah impian usahawan semua samada yang kecil atau yang besar !

#2. Harga murah dari pembekal

Bila berniaga, usahawan perlu kerjasama dengan ramai lagi usahawan lain.

Perlu sewa premis, perlu beli kelengkapan pejabat, perlu beli bahan mentah, perlu sokongan dari vendor lain dan sebagainya.

Kesemua itu usahawan impikan untuk mendapatkannya dengan harga yang paling rendah.

Ayat yang biasa usahawan Melayu sebut adalah untuk dapatkan dengan harga yang lebih rendah dari usahawan berbangsa Cina. Mereka main sentimen bangsa kat sini tanpa perdulikan percaturan ekonomi sebenar.

Beli barang satu unitpun, pembekal akan berikan harga rendah macam beli barang satu kontena !

Selain dari harga murah yang amat sangat, usahawan juga mahukan terma kredit yang amat panjang.

Bukan saja panjang tempohnya, malah tak ada limit jumlahnya. Usahawan boleh bayar ikut suka hati mereka.

Kalau usahawan nak pakai duit untuk kenduri kahwin seorang lagi isteri baru, para pembekal akan telefon untuk izinkan tangguh hutang mereka.

Yang pentingnya usahawan sentiasa bahagia dan tidak bencikan orang Cina (sebab biasanya pembekal adalah orang Cina).

Sewaan kedai atau premis pula mesti amat murah.

Tak perlu bayar deposit atau 2+1.

Lokasi pula amat strategik. Betul-betul tepi jalan dengan kemudahan parkir dan korner lot pulak tu.

Pemilik premis akan bantu usahawan buat renovasi ikut selera usahawan tanpa perlu keluarkan duit.

Yang pentingnya pemilik premis mahu lihat usahawan yang sewa kedainya berjaya dan jadi taukeh yang kaya raya.

Kalau boleh usahawan nak dapat semua ini !

#3. Kemudahan bekalan pekerja

Semua usahawan mahu kemudahan untuk dapatkan pekerja yang mencukupi.

Bila pekerja diperlukan, usahawan hanya perlu petik jari dan berduyun orang  datang minta kerja.

Bukan setakat mudah dapat pekerja, malah pekerja yang datang kesemuanya amat hebat.  Mampu buat apa saja kerja melebihi dari jangkaan dan harapan yang diberikan kepada mereka.

Usahawan mahukan pekerja yang tidak menuntut dan berkira sangat pasal gaji. Lambat atau cepat pekerja relaks saja dan tak kisah.

Pekerja sentiasa datang awal lebih setengah jam dari waktu kerja. Balik pula, setengah atau satu jam lebih lewat. Pekerja siap tolong kemaskan pejabat dan premis tempat kerja dan pastikan kesemua pintu dan letrik ditutup dengan baik.

Bila kerja tak banyak, usahawan mahukan para pekerja berusaha cari kerja supaya syarikat sentiasa ada kerja.

Kalau tak ada kerja juga, pekerja akan beritahu pada usahawan, bulan itu tak payah bayar gaji. Ada kerja bayar dan tak ada kerja tak payah bayar.

Usahawan juga mahukan pekerja yang fleksibel. Boleh diarahkan berhenti dan kerja semula ikut kemahuan usahawan.

Selain dari itu, usahawan mahukan pekerja yang sekali ajar dah terus pandai. Bukan setakat itu saja, pekerja mestilah berusaha belajar sendiri dan dapat meneka apa kemahuan dan matlamat usahawan.

Pendek kata, usahawan mahukan pekerja yang boleh jalankan kesemua urusan bisnes usahawan walaupun usahawan tidak pernah hadir ke tempat kerjanya bertahun-tahun.

Setiap bulan pekerja akan masukkan duit dalam akaun majikannya. Makin lama makin bertambah banyak.

Usahawan juga mahukan pekerja terima apa saja keadaan premis perniagaan tempat dia berkerja.

Redo dan bersyukur. Tak perlu nak ungkit sangat pasal kebajikan pekerja. Asalkan taukeh senang lenang dan kaya raya, pekerja akan gembira.

Rumusannya, usahawan mahukan pekerja yang kemahirannya amat tinggi dan perangai serta akhlaknya amat hebat.

Ditambah satu lagi, usahawan tak perlu bersusah payah untuk mendapatkan kesemua pekerja tersebut.

Petik jari, ting ! semuanya ada depan mata.

#4. Pelanggan baik yang ramai

Akhir sekali, impian usahawan adalah untuk punyai ramai pelanggan.

Pelanggan yang berusaha sendiri untuk mencari premis perniagaan dan datang beli dengan relahati.

Pelanggan bayar dengan harga yang mahal tanpa minta diskaun, ambil barang seadanya tanpa rungutan dan balik rumah ceritakan semuanya yang A+ sahaja terhadap perniagaan usahawan tersebut.

Usahawan tak perlu bersusah payah nak cari dan belanjakan duit untuk tarik perhatian minta pelanggan datang.

Pelanggan sentiasa bayar tunai. Tiada yang berhutang, kalau hutangpun, pelanggan akan kawal sendiri had dan tempoh hutangnya itu. Bayar tanpa perlu kejar.

Punyalah baik punya pelanggan !.

Logik tak impian usahawan itu ?

Cuba baca balik kesemua impian usahawan di atas, agak-agaknya logik kah ?

Bagi yang waras akalnya, tentu tahu semua itu hanya boleh dapat kat syurga sahaja. Kat dunia ini banyak cabaran yang perlu ditempuhi.

Kat dunia ini sentiasa tak lengkap. Lebih kat sini, akan kurang kat sana.

Mesti sentiasa banyak cabaran. Lepas semua cabaran itu diharungi dengan sabar, barulah layak minta syurga bila mati nanti.

Tapi malangnya terlalu ramai yang minta yang bukan-bukan seperti yang saya sebutkan kat atas tadi. Mungkin mereka tak minta secara terus. Tapi mereka sentiasa merungut dan minta dibantu terutamanya dari kerajaan (kebanyakan usahawan melayu ler tu).

Apa yang usahawan rungutkan berkisar pada kesemua yang saya sebutkan di atas.

Mereka nak kesemuanya senang tanpa perlu berusaha dan menyediakan diri untuk layak mendapatkannya (tetapi bukan kesemua usahawan begitu).

Saya pernah berbual dengan seorang usahawan. Dia kata kat saya kerajaan tak buat secukupnya untuk bantu usahawan melayu dalam bab pengurusan kewangan.

Saya tanya, “nak bantu macam mana ?”

Dia jawab, “perlu hantar orang yang pandai akaun duduk kat premis syarikat perniagaan usahawan Melayu dan tolomg mereka buat akaun !”.

Saya terdiam dengan idea hebatnya itu.

Sampai macam itu, punya nak tolong usahawan.

Mungkin lebih baik jika kerajaan hantar orang jaga operasi, jaga pemasaran dan jualan, jaga kewangan dan jaga kesemua hal ehwal perniagaan usahawan.

Usahawan hanya perlu duduk kat rumah nonton Astro Movie dan bawa anak isteri makan angin. Cukup bulan kerajaan akan bank-in duit pada usahawan.

Bukan mudah nak berjaya

Bagi yang faham, mereka akan terima cabaran dengan fikiran yang terbuka. Bila tak dapat apa yang diimpikan, mereka akan semak diri sendiri apa yang masih tak cukup.

Bila dah kenal pasti, diri akan diperbetulkan.

Begitulah berlaku berterusan sehingga akhirnya perniagaan mereka akan dapat kelayakan semua impian usahawan tersebut di atas.

Asanya adalah terima hakikat dan berusaha dengan sabar.

One thought on “4 impian usahawan yang semua usahawan mahu bila berniaga

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge