4 langkah membina perniagaanAda 4 langkah membina perniagaan yang saya rasakan penting untuk di ketahui oleh mereka yang nak mulakan perniagaan. Langkah membina perniagaan ini juga perlu difahami oleh mereka yang baru saja memulakan perniagaan.

Rasanya semua orang dah tahu bahawa dalam 100 orang yang berhenti kerja dan berniaga, hanya dalam lingkungan 20 orang sahaja yang akan melepasi tempoh setahun. Baki lagi 80 orang akan mengecil dan mengasingkan diri.

Dalam 20 orang yang lepas itu pula mereka akan berusaha gigih membina perniagaan agar perniagaan tersebut dapat menyara kehidupan semua tanggungan termasuklah taukehnya sendiri. Jika hanya cukup makan, kerja macam biawak hidup tapi hasilnya menghampakan, maka tak ramai yang dapat bertahan.

Data menunjukkan hasil dari kajian di negara barat bahawa dalam 20 yang terlepas bencana setahun pertama, hanya ada seramai 4 orang sahaja yang mampu melepasi halangan 5 tahun pertama pula. Baki lagi 16 orang akan mengecil dan mengasingkan diri.

Daripada data di atas, boleh dikatakan bahawa dalam 100 orang usahawan yang mula ikat kepala dengan kain hijau lalu kemudiannya tahan nafas dan terjun jadi usahawan, hanya akan tinggal seramai 4 orang sahaja masih teguh berjalan ke depan selepas tahun ke 7.

Oleh itu, jika anda hairan kenapa asyik orang berjaya saja yang menjadi tumpuan, hanya orang berjaya saja yang lampu spotlight suluh padanya, bukan sebab diskriminasi. Tetapi yang tak berjaya yang terlalu ramai itu biasanya mengecil dan menghilangkan diri dari lampu suluh.

Fahami langkah membina perniagaan

Oleh itu, jika anda yang baru berniaga tu, atau jika anda dah menggigil melipat surat letak jawatan untuk diberikan pada bos, dan nak pergi masuk ke medan perniagaan, fahami terlebih dulu proses atau langkah membina perniagaan anda.

Takut-takut nanti mati terkejut akan membuatkan anda putih mata. Mati dengan jangkaan masih ok lagi, sekurang-kurangnya kita bersedia dan redha.

Biasanya, ramai yang mula atau nak berniaga akan membayangkan destinasi akhir apabila perniagaannya berjaya. Dalam kepalanya projektor imej dalaman akan menayangkan gambaran seorang usahawan hebat, berjaya, disegani rakan dan taulan, dijadikan contoh oleh sanak saudara, naik kereta besar, rumah besar, isteri besar dan lain-lain.

Tak salah sebenarnya jika jadi begitu. Kerana tanpa imej sebegitu dalam kepala, tak ada motivasi atau kekuatan yang dapat membantu anda berusaha berhenti kerja, cari idea dan jalankan perniagaan.

Semuanya jadi salah bila hanya imej itu saja yang ada dalam kepala. Dari anda bermula dengan serba kekurangan, terus ke titik kejayaan hebat, sedangkan ada ruang kosong yang belum diisi antara kedua-dua ruang tersebut.

Pengisian tempat kosong antara ruang itulah yang biasanya kita namakan perancangan. Jadi bagaimana langkah perancangannya?

Berikut saya berikan sedikit panduan asas yang perlu anda fikirkan dalam langkah membina perniagaan anda sehingga mencapai kejayaan, Insyaallah.

Langkah membina perniagaan #1

Setelah anda puas tersenyum seorang diri menonton video dalam kepala yang menceritakan diri anda yang sedang berjaya dan perniagaan yang besar dan hebat serta dikagumi oleh semua orang, hentikan segera tayangan video itu dan segera kembali ke bumi nyata.

Simpan atau KIV video itu bila diperlukan nanti, sekarang perhatikan realiti perniagaan anda dan mula fikirkan sasaran yang logik dan dapat dicapai dalam tempoh terdekat.

Langkah membina perniagaan #2

Sasaran terbaik dan paling logik yang anda perlu letakkan adalah mendapatkan 3 pelanggan pertama terhadap perniagaan anda itu. Berusahalah dengan gigih untuk mendapatkan pelanggan pertama, kedua dan ketiga dan mula baca dan pelajari segala maklumat perniagaan atau produk anda daripada pelanggan yang mencubanya.

Sesebuah perniagaan atau produk tidak ada apa-apa makna jika tidak ada satu orangpun yang sudi membeli atau menjadi pelanggan anda. Jika ada pembeli pula, pastikan dia adalah pembeli asli dan bukannya pelanggan yang membeli atas dasar tolong Melayu, kesian tengok muka anda atau lain-lain seumpamanya.

Bila dah dapat pelanggan awal, kaji kenapa mereka beli, apa yang mereka suka dan apa yang mereka tak suka. Bagaimana nak baiki lagi prestasi perniagaan atau produk anda dan buatlah lain-lain lagi asalkan ianya mampu memungkinkan anda melangkah ke sasaran seterusnya.

Langkah membina perniagaan #3

Bila dah dapat pelanggan, iaitu pelanggan tulin yang anda boleh baca dan dapatkan maklumat. Kemudiannya anda buat perubahan dan pembaikan untuk mantapkan lagi produk atau perniagaan anda, letakkan pula sasaran jualan break-even untuk dicapai.

Apakah anda tahu apa itu jualan break-even?, secara mudahnya adalah jumlah produk atau hasil jualan dalam RM yang membolehkan perniagaan anda tidak untung dan tidak rugi. Hasil jualan setelah ditolak semua kos pembuatan, kos pengurusan, kos gaji pekerja dan juga anda, semua bil-bil dan apa-apa saja kos lain, bersamaan dengan kosong. Ertinya tak untung dan tak rugi.

Oleh itu, pastikan anda tahu apakah jualan breakeven anda yang perlu dicapai sehari, seminggu, sebulan, 3 bulan, 6 bulan atau setahun. Kalau tak tahu, tolong ambil tahu, dan tolong berhenti berniaga dan pergi fahami terlebih dulu apa itu jualan breakeven sebelum datang dan mulakan semula perniagaan.

Biasanya kita boleh terjemahkan jualan breakeven melalui sasaran jumlah pelanggan yang perlu kita dapatkan. Katakan anda perlu menjual pada 100 pelanggan sehari untuk membuatkan perniagaan mencapai jualan breakeven.

Dari situ buat sasaran mendapatkan sekurang-kurangnya 100 pelanggan sehari. Berikan tempoh berapa lama anda perlu mencapai sasaran tersebut berdasarkan jumlah wang simpanan yang anda ada sebagai langkah berjaga-jaga.

Katakan anda letakkan sasaran untuk mencapainya dalam tempoh 6 bulan. Ertinya dalam tempoh 6 bulan itu perniagaan anda berjalan sentiasa dalam keadaan rugi. Jadi, dari mana datang wang nak bayar gaji, bayar kos pembuatan, kos operasi, kos pemasaran, kos pengurusan dan bagaimana nak beli susu anak anda sendiri…?

Sudah tentu semua wang yang diperlukan itu tidak datang dari perniagaan anda lagi, mesti datang daripada wang simpanan, hutang bank, hutang kawan, gadai rumah dan lain-lain lagi.

Bila dah tahu begitu, apakah anda dah sediakan jumlah yang diperlukan itu. Untuk selama tempoh yang diperlukan itu dan jika tak ada sediakanlah supaya anda hanya perlu fokuskan pada kerja meningkatkan jualan untuk mencapai sasaran jualan 100 pelanggan sehari dalam tempoh yang ditetapkan. Tak perlu dok pening pasal dari mana nak korek wang bantuan.

Berusaha sampai tercapai sasarannya dalam tempoh yang ditetapkan.

Langkah membina perniagaan #4

Bila dah tercapai, barulah fikirkan bagaimana nak tingkatkan keuntungan. Bagaimana nak lonjakkan perniagaan, bagaimana nak licinkan perjalanan perniagaan anda dan lain-lain lagi.

Di peringkat ini barulah anda layak untuk membuka semula dan menayangkan video kejayaan yang anda impikan. Itupun hanya buat sementara waktu saja kerana perlu dipadamkan semula untuk mengira berapa pendapatan atau jualan dan keuntungan yang anda sasarkan setahun bagi memungkinkan anda menjalani gaya hidup yang anda sasarkan.

Demikianlah serba ringkas 4 langkah yang anda perlu buat untuk membina perniagaan. Langkah membina perniagaan ini amat ringkas tetapi saya rasa dapat memberikan gambaran jelas terhadap tumpuan anda dalam setiap peringkat perniaga dari awal. Selamat mencuba dan jangan lupa datang ke bengkel perniagaan anjuran hidupringkas.com sabtu 26hb April 2014 untuk perkongsian ilmu perniagaan—> Daftar di sini

Total
9
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge