Salah satu cara saya nak cuba kekalkan motivasi berniaga tidak lama dulu adalah dengan menulis berkongsikan tentang kehidupan sebagai seorang usahawan.

Orang kata jika kita asyik ulang cakap perkara yang sama secara konsisten, kehidupan kita juga akan turut berubah jadi apa yang kita cakapkan. Jadi saya ulang cakap bab keusahawanan dengan menulis secara konsisten sejak itu sampai sekarang.

Saya mula menulis di blog Hidupringkas,com ini sejak tahun 2012. Taklah lama sangat lagi, baru lebih dua tahun sejak artikel pertama saya siarkan di platform blogspot ketika itu.

Samada orang nak masuk baca atau tidak saya tak peduli. Samada orang nak jumpa blog saya dan membacanya atau tdak saya tak kisah. Yang pentingnya saya menulis dan berkongsikan apa yang saya belajar dari sekolah jalanan.

Hasil daripada penulisan ini, nampaknya mula bertukar menjadi macam satu perniagaan perkhidmatan. Dari blog ini mula timbul permintaan mengajar tentang pengalaman berniaga yang saya buat sekadar suka-suka.

Dari kerja suka-suka yang saya memang suka itu, menghasilkan satu modul ilmu berniaga yang saya susun sebagai modul perkhidmatan bimbingan perniagaan atau business coaching.

Memang betul nampaknya petua untuk buat apa yang kita boleh buat sekarang dan terus buat jangan fikirkan yang akan datang menghasilkan sesuatu yang bermanfaat dan mampu membuatkan kita rasa puas.

Penting untuk pastikan kita ada motivasi berniaga

Dalam modul business coaching saya, perkara pertama yang saya periksa terlebih dulu pada usahawan yang mahu saya bimbing adalah dalam bab menentukan samada usahawan ada tabiat yang betul untuk berjaya.

Motivasi berniaga perlu ada untuk usahawan berterusan membina dan kekal dalam perniagaan mereka. Kalau tak ada sebagus manapun perniagaan kita lambat laun ianya akan runtuh juga jika tak ada motivasi.

Jadi di sini saya kongsikan 4 soalan yang perlu anda tanya untuk kekalkan motivasi berniaga. Jawab dengan jujur dan cari jawapannya dan amalkannya kalau nak kekalkan motivasi berniaga.

  1. Apakah perniagaan yang anda sedang jalankan bersesuaian dengan minat anda dan adakah tugasan yang anda lakukan anda suka lakukannya?
    1. Adakalanya usahawan terpaksa meneruskan perniagaan yang diwariskan oleh keluarga sedangkan dia tak suka dengan apa yang sedang dilakukannya. Ada juga yang mulanya rasa dia suka tapi bila dah lama terjun baru dia sedar dia meluat dengan apa yang dilakukannya.
    2. Fikirkan masak-masak samada anda betul-betul minat dan kalau tak minat tanya kenapa dan kenapa sampai lima kali untuk korek punca sebenar yang membuatkan anda tak suka.
    3. Masalah ini perlu diselesaikan secepat mungkin agar anda terus memberikan tumpuan ke arah membina naik perniagaan anda.
  2. Adakah anda menjalani kehidupan yang seimbang sebagai seorang manusia?
    1. Ramai rasa dia mesti korbankan apa saja demi untuk berjaya dalam perniagaannya. Lalu dia memilih untuk bekerja keras dan fikirkan hanya untuk buat kerja sahaja sampai terlupa bahawa menjalani kehidupan yang seimbang bukanlah satu pilihan. Ia adalah satu kewajipan yang perlu diusahakan samada suka atau tidak suka.
    2. Perkara asas untuk seimbangkan kehidupan adalah jaga makan, jaga tidur atau rehat  dan bersenam.
    3. Ramai usahawan abaikan 3 perkara asas tersebut sampai ada usahawan yang kaya raya tapi badan gemuk gedempol macam tong drum. Ada usahawan kaya raya tapi mata macam zombies sebab kurang tidur. Itu hanya mensia-siakan kehidupan yang sementara ini yang akibatnya kehidupan kita musnah, kita jadi manusia yang bengis dan opurtunis dan abaikan masyarakat dan keluarga serta agama.
    4. Jaga makan, jaga tidur atau rehat dan jaga amalan bersenam sebenarnya keperluan asas akal untuk berfungsi dengan cekap dan berkesan. 3 perkara asas itu membuatkan anda segar dan badan yang segar menghasilkan akal yang tajam dan akal yang tajam bijak mencari jalan untuk berjaya.
  3. Adakah anda seorang yang berfikiran positif?
    1. Apakah ada lebih suka tengok gelas kurang separuh atau anda lebih cenderung untuk melihat gelas penuh separuh. Kedua-duanya memberikan makna  yang sama tapi memberikan kesan jiwa yang berbeza.
    2. Orang yang tengok gelas kurang separuh biasanya berfikiran negatif dan orang yang cenderung melihat gelas penuh separuh biasanya berfikiran positif.
    3. Cuba amalkan fikiran positif dengan sentiasa melihat kebaikan di sebalik keburukan atau masalah.
    4. Pastikan anda di kelilingi orang-orang yang berfikiran positif dan elakkan orang yang asyik nak cari keburukan orang lain saja.
  4. Adakah anda seorang yang mampu bertindak secara sukarela tanpa perlu dipaksa?
    1. Jika anda pernah bertanya apakah anda ikhlas dalam amalan anda, tentu anda tahu bezakan antara buat kerja secara terpaksa dengan buat kerja secara sukarela.
    2. Usahawan yang mampu bergerak sendiri untuk melaksanakan apa saja tugasan biasanya lebih berjaya berbanding dengan usahawan yang pemalas dan asyik perlu diketuk.
    3. Jika anda hadapi masalah untuk bangun pagi dan keluar buat kerja atau jika anda asyik tangguhkan kerja penting secara konsisten, anda sebenarnya sedang hadapi masalah yang besat untuk berjaya.
    4. Buatlah apa saja agar anda mampu bergerak sendiri dan sentiasa ingat apa yang perlu dibuat dan atur kehidupan anda untuk membuatnya. Jadikan ianya amalan macam mana anda rasa bersalah selagi tak tunaikan solat 5 waktu.

Demikianlah sedikit perkongsian berkenaan 4 soalan yang perlu anda bertanya pada diri sendiri untuk pastikan anda kekal ada motivasi berniaga. Lepas sini saya kongsikan perkara lain pula dalam bab tabiat untuk menjadi usahawan berjaya. Insyaallah moga ada manfaatnya!

Total
39
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge