5 bunyi yang saya suka dengar ketika rancang pembaikan bisnes

By | 31/10/2016

bertenang dan merancang serta berikan tumpuanBerapa kerat usahawan yang tetapkan masa setiap hari untuk rancang pembaikan bisnes yang mereka sedang jalankan ?

Kalau anda bukan seorang usahawan, tapi seorang pegawai atau pekerja yang makan gaji, adakah anda sediakan masa yang tetap setiap hari untuk merancang perjalanan kerjaya anda ?

Atau  mungkin anda seorang pekerja makan gaji yang memang berhasrat secara serius untuk berhenti kerja makan gaji satu hari nanti, dan mua menjadi seorang usahawan sepenuh masa. Adakah anda secara penuh berdisiplin, luangkan masa yang tetap setiap hari untuk merancang perniagaan yang akan dijalankan nanti ?

Luangkan masa rancang pembaikan bisnes

Walaupun siapa diri anda sekarang, khasnya untuk para usahawan, jika masih belum laksanakan rutin merancang secara tetap setiap hari untuk mendekati apa yang anda sasarkan, sila berikan perhatian yang serius untuk mula melakukan usaha merancang ini.

Bab merancang ini merupakan salah satu daripada modul yang telah saya rangka untuk urusan membina sebuah perniagaan yang stabil dan boleh dijangka kedudukannya.

Ia adalah sub-tajuk kecil dalam modul yang saya namakan “Tabiat”.

Matlamat yang disasarkan dalam usaha memperuntukkan masa secara tetap, untuk merancang dan menyemak segala usaha yang dilakukan dan bakal dilakukan, adalah untuk mendapatkan status ‘terurus dan fokus dalam apa saja yang kita lakukan.

Orang yang berusaha untuk menguruskan dirinya dengan baik dan fokus terhadap usahanya akan berjaya membentuk satu tabiat yang positif untuk menjadi seorang yang berjaya.

Rancang pembaikan bisnes secara konsisten

Dalam sebuah buku yang saya pernah baca, satu kajian dilakukan terhadap 2 kumpulan orang yang bermasalah dengan hutang lapuk yang banyak dan tak dapat diselesaikan dalam tempoh yang lama.

Satu kumpulan diberikan tugasan untuk menyediakan satu jam sehari secara tetap, buat melakukan perancangan bagaimana nak selesaikan hutang lapuk mereka. Mereka ditugaskan duduk seorang diri dengan pen dan kertas untuk berfikir dan cari jalan selesaikan masalah mereka.

Satu kumpulan lagi, dibiarkan berusaha dengan cara mereka sendiri tanpa perlu disiplinkan diri untuk selesaikan maslaah hutang mereka.

Amat mengejutkan, mereka yang sediakan masa, satu jam sehari untuk berfikir dan cari jalan, berjaya melangsaikan segala hutang mereka paling lama dalam tempoh dua tahun sahaja. Sedangkan selama ini, usaha itu tidak pernah berjaya.

Manakala satu kumpulan yang dibiarkan berusaha dengan cara mereka sendiri, dan biasanya hanya mengeluh dan melayan kerisauan dalam kepala setiap masa, masih kekal dalam masalah hutang mereka yang sentiasa bertambah teruk.

Paksa diri rancang pembaikan bisnes

Contoh yang saya berikan kat atas tu, saya harap dapat meyakinkan anda untuk mula peruntukkan masa dalam lingkungan satu jam sehari. Tanamkan disiplin untuk rancang pembaikan bisnes anda setiap hari tanpa jemu.

Jika pada mulanya anda akan terkebil-kebil tak tahu nak fikir apa, gagahkan diri juga duduk sampai habis satu jam dalam keadaan memegang pen dan merenung buku nota anda. Lama kelamaan anda akan mula menulis sesuatu dan mula melancarkan pemikiran anda untuk mencari jalan mendekati sasaran yang telah ditetapkan.

5 bunyi untuk anda pasang ketika merancang

Saya bukan nak kongsikan bagaimana nak lakukan perancangan dalam artikel ini. Tapi sekadar nak kongsikan 5 bunyi yang saya sering pasang ketika duduk seorang diri dalam pejabat, rancang pembaikan bisnes yang saya lakukan.

Kebanyakannya adalah bunyi alam yang amat mendamaikan.

Kesemua bunyi itu adalah salah satu bukti betapa indahnya ciptaan Tuhan yang ada di sekeliling kita, terutamanya di tempat yang masih tidak terusik dengan pencemaran dan kerosakan hasil tangan manusia.

Jika anda nak cuba dengar dan cuba rasakan kedamaiannya segala bunyi tersebut, sila pergi ke pautan yang saya senaraikan kat bawah ini. Pilihlah mana-mana bunyi yang anda suka dan gunakannya ketika anda merancang pembaikan bisnes atau apa saja perancangan yang anda nak lakukan.

  1. Bunyi katak hutan – Mungkin anda akan tergelak apa hal nak dengar bunyi katak pula. Tapi tahukah anda dalam satu bancian, bunyi irama yang paling sedap di dengar dalam dunia ini adalah bunyi katak !.
  2. Bunyi hutan belantara – Salah satu aktiviti yang saya gemar lakukan adalah masuk hutan. Jadi bila dengar bunyi ini, saya rasa hilang segala masalah dan bersedia untuk mula berusaha dengan lebih baik. Ia diselang seli dengan hujan yang menambahkan lagi keajaibannya.
  3. Bunyi hujan dibelantara – Bila pasang bunyi ini saya akan teringat suasana ketika saya berjalan kaki selama 4 jam pergi dan balik untuk masuk ke dalam gua Niah di Sarawak. Kawasan hutan di situ memang sentiasa banyak hujan. Ditambah lagi dengan sejarah yang terpahat dalam gua tersebut direkodkan sejak 40 ribu tahun dahulu, membuatkan saya rasa amat kerdil dan bersedia untuk terus berusaha menjadi manusia yang mendapat keredhaan Tuhan.
  4. Bunyi hutan di waktu malam – Jika anda pernah duduk dalam hutan di waktu malam, beginilah rasanya. Fikiran akan menjadi kosong dari keserabutan dan kesibukan.
  5. Bunyi burung di waktu pagi dalam hutan – Bila dengar bunyi siulan burung, ia amat mendamaikan. Bayangkan burung yang tidak ada kemampuan akal untuk berfikir dan bermuhasabah, tidak pernah gagal mendapatkan rezki mereka setiap hari. Jika kita manusia yang ada akal ini mengeluh terhadap rezki, memang muka tak malu !.

Ada banyak lagi bunyi alam yang saya suka dengar. Tapi apa yang saya syorkan kat atas tu adalah bunyian alam yang saya sering pilih bila nak dapatkan tumpuan berfikir dan mencari idea merancang pembaikan bisnes dan kehidupan saya.

Selamat mencuba. Jangan lupa kongsikan bunyian mana satu yang anda suka dengar dari 5 pautan yang saya berikan kat atas tu. Moga bermanfaat untuk semua pembaca.

One thought on “5 bunyi yang saya suka dengar ketika rancang pembaikan bisnes

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge