kerja usahawanBerikut saya kongsikan di bawah ini 5 tugasan penting yang semua usahawan wajib buat.

Kesemua 5 tugasan penting ini wajib dilakukan sebab ia akan melengkapkan aliran sesebuah perniagaan yang usahawan jalankan.

Tanpa satu atau lebih dari tugasan ini, jika tidak dilaksanakan, maka aktiviti yang usahawan lakukan itu tidak boleh dianggap sebagai satu perniagaan.

Tanpa goreng panjang-panjang, jom kita lihat satu persatu kesemua 5 tugasan penting tersebut:

Tugasan penting #1 – Kreatif mencari idea

Ini tugasan paling awal yang setiap usahawan perlu lakukan terutamanya di peringkat awal memulakan sebuah perniagaan.

Usahawan mesti kreatif mencari idea untuk mencipta nilai yang boleh ditawarkan kepada pelanggan yang disasarkannya.

Idea bagi mencipta nilai tawaran datang daripada aktiviti mengenal pasti apakah keperluan atau kehendak pelanggan yang usahawan sasarkan.

Pengguna perlu atau berkehendakkan sesuatu apabila mereka menghadapi masalah. Oleh itu, jika anda mampu mendapatkan idea bagaimana menyelesaikan masalah pengguna, anda mampu membuat tawaran yang bernilai.

Biasanya masalah tercetus hasil daripada 5 dorongan keinginan semula jadi yang ada pada manusia. 5 dorongan keinginan tersebut adalah:

  1. Dorongan untuk memiliki sesuatu samada kebendaan atau darjat kedudukan. Manusia ingin memiliki barang, maka tercetuslah aktiviti perniagaan runcit. Manusia juga ingin memiliki kuasa, maka tercetuslah khidmat perunding politik. Begitulah lebih kurang bagaimana idea perniagaan terlahir bagi memenuhi dorongan pertama ini.
  2. Dorongan menjalinkan hubungan. Manusia tak boleh hidup sendirian kerana adanya perasaan ingin merasakan dirinya ada nilai dan juga disayangi atau disukai oleh manusia lain. Oleh itu apa saja idea perniagaan yang membolehkan manusia mendapatkan dorongan ini mampu menarik minat manusia. Contoh perniagaan sebegini adalah seperti kursus kecantikan dan penampilan diri. Perniagaan Restoran juga boleh masuk dalam kategori ini kerana ia menyediakan tempat untuk manusia bertemu, makan dan menjalinkan hubungan.
  3. Dorongan untuk mempelajari perkara baru. Manusia juga sentiasa ingin mengetahui perkara atau ilmu baru. Ini tercetus hasil dari sifat ingin tahu yang sentiasa ada dalam diri manusia. Dari dorongan ini maka terlahirlah idea perniagaan kursus, penerbitan buku dan lain-lain seumpamanya.
  4. Dorongan untuk mempertahankan diri. Semua orang ada keperluan untuk pertahankan samada dirinya sendiri, orang kesayangannya ataupun harta benda yang dimilikinya. Perniagaan yang tercetus hasil dari dorongan ini termasuklah firma guaman, khidmat jaga, seni pertahankan diri dan seumpamanya.
  5. Dorongan untuk berhibur. Manusia merupakan antara makhluk yang sangat kuat melayan perasaan untuk bermain dan berhibur. Sehebat manapun seseorang itu, dia masih tetap perlukan hiburan yang mampu memenuhi jiwa dan perasaannya. Idea perniagaan yang tercetus hasil dari dorongan ini adalah seperti panggung wayang, pertandingan sukan, karokae dan lain-lain lagi seumpamanya.

Lagi hebat anda gabungkan idea yang ada bagi memenuhi kesemua 5 dorongan tersebut di atas, lagi menarik nilai yang anda boleh tawarkan dalam perniagaan anda.

Tugasan penting #2 – Pasarkan idea anda supaya orang mahu

Ini tugasan yang ramai usahawan terlepas pandang.

Mereka dah berjaya membuka dan menawarkan produk atau perkhidmatan yang amat bagus yang mampu menyelesaikan banyak masalah manusia, tapi tak ada orang mahu atau ingin pada tawaran tersebut… kenapa ?

Punca paling asas nombor wahid yang membuatkan orang tak mahu produk atau tawaran anda itu adalah disebabkan orang tak tahu bahwa anda wujud.

Jadi, kalau nak bagi mereka mahu, pastikan anda sentiasa jalankan aktiviti memberitahu pada kesemua pelanggan sasaran anda. Bila mereka dah tahu, barulah ada kemungkinan mereka mahu, betul tak ?

Mungkin anda dah buat kerja bagi semua orang tahu, tapi masih juga orang tak mahu, apa pulak yang tak kena ?

Jika begitu jadinya, ada kemungkinan anda gagal sampaikan dengan berkesan sampai orang faham apa keistimewaan anda. Mungkin anda silap memberikan mesej yang berkesan untuk orang faham nilai yang anda tawarkan.

Oleh itu, aktiviti pemasaran mestilah dilakukan senantiasa dan ia perlu dilakukan dengan betul dari segi penyampaiannya. Komunikasi mesti berkesan samada secara fizikal, verbal atau visual.

Tugasan penting #3 – Menjual

Jual dan jual dan jual… itu adalah kerja yang semua usahawan mesti buat tanpa henti selagi dia menjalankan perniagaan.

Tidak ada mana-mana perniagaanpun yang boleh bertahan kalau tak boleh jual.

Jualan berlaku apabila ada pertukaran samada barang atau perkhidmatan dengan duit. Zaman sekarang medium pertukaran barang atau khidmat adalah duit. Tapi sekali sekala ada juga pertukaran antara barang dengan barang (Barter).

Selagi orang tak keluarkan duit membeli apa yang anda tawarkan, selagi itu tidak ada jualan.

Jika ramai orang mahu tapi masih tidak keluarkan duit dari poket mereka untuk diberikan pada anda, tentu ada sesuatu yang tak kena.

Kemungkinan paling besar yang menyebabkan orang tak keluarkan duit adalah disebabkan harga yang tidak sesuai.

Mungkin pelanggan yang disasarkan salah, tawaran anda dilihat mahal oleh mereka. Jika begitu, anda perlu samada ubah harga atau ubah sasaran pelanggan.

Tugasan penting #4 – Puaskan hati pelanggan

Apabila urusan #3 di atas tadi berlaku, anda masih belum habis lagi kerja.

Pastikan mereka dapat sebagaimana yang anda janjikan pada mereka sebelum mereka keluarkan duit masuk dalam akaun syarikat anda.

Aktiviti untuk memastikan perkara ini berlaku dinamakan sebagai aktiviti menjaga kualiti.

Untuk pastikan produk atau perkhidmatan anda berkualiti amat mudah. Anda hanya perlu pastikan apa yang dijanjikan, pelanggan dapat kesemua itu.

Jika anda berikan lebih sedikit saja daripada apa yang dijanjikan, anda memberikan nilai yang bukan saja berkualiti, malah cemerlang !.

Mudah saja kan ?

Oleh itu, jangan janji lebih-lebih, tapi pastikan anda beri lebih daripada yang dijanjikan.

Jaga janji anda, biar jelas dan tidak ada salah faham. Pastikan anda semak segala kata-kata anda dan sentiasa berkeadaan sedar ketika berkata-kata.

Jaga bahasa, jaga body language dan jaga apa saja kemungkinan berlakunya salah faham. Pastikan orang jelas dengan apa yang mereka bakal dapat dari tawaran anda.

Tugasan penting #5 – Pastikan perniagaan ada untung

Bila anda dah berjaya puaskan hati pelanggan, maka tiba masanya anda gembirakan diri anda pula.

Tidak ada perkara yang lebih menggembirakan usahawan selain daripada menjana keuntungan dalam perniagaan yang dia jalankan.

Oleh itu anda mesti kira semua hasil jualan.

Anda juga wajib kira semua kos perniagaan dari sebesar-besar kos sehingga sekecil-kecil kos. Tak boleh missed satupun, supaya anda dapat pastikan perniagaan ada untung.

Tapi pelik !

Boleh dikatakan 90% daripada usahawan yang saya jumpa untuk membantu meningkatkan perniagaan mereka tidak catit jumlah duit keluar dan masuk perniagaan.

Macam mana nak tahu samada perniagaan ada untung atau rugi ?

Macam mana nak tahu samada keuntungan yang dijana mampu digunakan untuk membesarkan perniagaan mereka ?

Pastikan anda belajar bagaimana nak kira untung dan rugi perniagaan anda.

Buat semua tugasan penting di atas

Sekarang anda dah tahu secara ringkas apakah tugasan penting yang perlu dilakukan. Pastikan anda buat kesemua yang saya sebutkan di atas tadi tanpa ada belas kasihan.

Susah atau senang, tahu atau tak tahu, anda wajib pastikan kesemua tugasan tersebut dilaksanakan.

Selamat berniaga !

Total
52
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

  1. Sebab itu, saya sangat yakin bahawa itulah jawapan mengapa ramai jurugambar hebat tidak pernah ke universiti untuk belajar fotografi. Di situ juga ada jawapan, mengapa saya rasa pendidikan kemahiran fotografi di Kolej Kemahiran selama 2 tahun itu terlampau lama dan ia boleh diringkaskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge