Casual Business Woman Typing On Laptop Whilst In BedSecara umum ada dua jenis perniagaan. Saya dah terangkan secara ringkas pasal dua jenis perniagaan ini pada artikel sebelum ini bertajuk Bisnes perkhidmatan yang boleh anda buat.

Kalau malas nak pergi ke situ dan baca, saya ulang sekali lagi kat sini.

Dua jenis perniagaan yang biasa kita buat adalah pertamanya berasaskan produk fizikal dan keduanya berasaskan perkhidmatan, yang biasanya tak ada produk fizikal.

Kalau anda tanya saya mana satu yang lebih baik kalau baru nak mulakan perniagaan, saya akan jawab sudah tentu perniagaan berasaskan perkhidmatan adalah lebih baik.

Tetapi ada syarat untuk ianya menjadi lebih baik.

Syarat mudah untuk mulakan perniagaan perkhidmatan

Syaratnya adalah anda ada kemahiran untuk tawarkan perkhidmatan itu. Tak perlu cari pekerja atau rakan niaga sebab anda sendiri boleh melakukannya.

Jika anda sendiri boleh lakukan kesemua kerja, tak perlulah keluarkan duit untuk bayar gaji pada orang lain. Segala bayaran yang diterima masuk ke dalam akaun syarikat. Ambil gaji dan tinggalkan sedikit untuk syarikat.

Ringkasnya kemahiran yang ada digunakan untuk perniagaan membolehkan perniagaan bermula dengan modal kewangan yang paling minimum.

Dan pastikan kemahiran yang anda ada itu cukup baik ditahap tertentu untuk membuatkan perkhidmatan anda boleh diterima.

Kenapa perniagaan perkhidmatan lebih baik untuk mereka yang baru nak mula berniaga ?

Seperti yang saya sebutkan di atas tadi, paling utama adalah perniagaan perkhidmatan boleh dimulakan dengan kos permulaan paling minima.

Malah ada kalanya hampir zero.

Mungkin anda bertanya, ‘mana mungkin untuk mulakan perniagaan perkhidmatan baiki kenderaan dengan modal zero ?’

Logiknya, walaupun anda ada kemahiran tinggi untuk baiki kenderaan, ia tak dapat dilakukan tanpa adanya peralatan.

Untuk yang tanya soalan itu, saya boleh cadangkan agar anda tak perlu beli sebarang peralatan lagi.

Hanya pergi cari bengkel yang ada kelengkapan lengkap dan bincang dengan taukehnya untuk menggunakan segala kelengkapan yang dia ada dengan kadar sewaan tertentu.

Bincangkan juga terma bayarannya yang memudahkan anda iaitu, guna dahulu bayar kemudian. Kalau bengkel itu ada ruang, tentu dia akan setuju.

Tambah pulak kalau bengkel itu buat khidmat baiki kenderaan yang tak sama dengan apa yang anda tawarkan.

Oleh itu, dari jawapan di atas, saya dah berikan satu jalan bagaimana anda masih boleh buka perniagaan perkhidmatan yang perlukan peralatan yang banyak dan mahal dengan bermodalkan zero !.

Tanpa melengahkan permainan, berikut saya berikan beberapa panduan untuk anda yang nak mulakan perniagaan perkhidmatan dari kosong.

Langkah #1. Daftar syarikat perniagaan perkhidmatan dengan SSM

Ramai yang mula buat perniagaan jenis perkhidmatan ini tapi tak daftar syarikat. Selain daripada salah dari segi undang-undang, ia juga tidak bagus untuk mencetuskan perasaan serius dalam minda anda.

Oleh itu, keluarkanlah sedikit modal untuk buat pendaftaran. Kalau syarikat Entreprise, hanya perlu keluarkan RM50 saja. Pilih nama yang sesuai dan boleh difahami seiring dengan perkhidmatan yang anda nak tawarkan.

Nama yang sesuai seperti ‘Nizam repair proton’, menunjukkan dengan jelas apa yang anda nak buat dan tawarkan pada pengguna yang memerlukan khidmat anda selepas ini.

Buka akaun bank

Bila dah ada syarikat, terus pergi ke bank untuk buka akaun syarikat. Ini penting untuk mula membina reputasi kewangan antara anda, pihak bank dan perniagaan anda.

Biasanya untuk buka akaun perniagaan syarikat, anda perlu sediakan sedikit modal untuk membuka akaun. Mungkin dalam lingkungan RM1 ribu ke RM2 ribu.

Takkan banyak itupun tak ada?

Kalau betul-betul tak ada, pergi pinjam duit dari keluarga atau kawan. Gunakan duit itu untuk buka akaun bank.

Bila dah ada akaun bank, pastikan anda menggunakannya semaksimum mungkin. Segala duit yang masuk hasil dari perniagaan syarikat segera masukkan ke dalam akaun.

Begitu juga segala pembayaran pastikan anda menggunakan cek daripada akaun bank yang anda buka itu. Semua itu penting diamalkan secara berkekalan. Ianya memudahkan anda untuk membuat sebarang permohonan pinjaman bila diperlukan nanti.

Langkah #2. Buka kedai alam cyber anda

Dunia sekarang kalau anda tak pakai internet untuk apa saja jenis perniagaan anda, boleh dianggap macam anda tak mahu berniaga.

Walau sebuta manapun anda dalam bab IT atau bab Internet ini, pastikan anda selesaikan tugasan untuk buka kedai di alam cyber.

Paling mudah, anda hanya perlu buat akaun Facebook dan kemudiannya buka satu Page untuk perniagaan perkhidmatan anda itu.

Dan paling penting, pastikan anda serius dan tunjukkan keseriusan anda itu dengan paparkan gambar dan profile yang bersesuaian.

Letakkan gambar diri anda sebenarnya pada akaun FB, bukannya gambar entah apa-apa. Gunakan nama sebenar dan bukannya nama samaran.

Jika anda buat perniagaan perkhidmatan repair kenderaan. Letakkan gambar anda lengkap dengan pakaian mekanik pada profile akaun FB.

Pada page perniagaan pula letakkan gambar yang bila orang lihat, dia boleh teka itu kedai baiki kenderaan.

Langkah #3. Buat Kad Perniagaan

Ini juga penting. Buat kad perniagaan dengan memberikan butiran lengkap nama perniagaan anda. Berikan juga nombor perhubungan anda.

Lebih elok lagi tulis moto perniagaan anda pada kad tersebut. Sebagai contoh, anda boleh tulis ayat ringkas seperti,

” Kualiti dan ketepatan masa amalan kami “, orang akan terpengaruh dengan moto itu walaupun mungkin mereka akan sindir anda secara berseloroh pada mulanya. Biarkan saja mereka sindir.

Jangan buat kad perniagaan yang berserabut. Jangan letakkan gambar entah apa-apa. Pastikan ianya terang jelas, bersih dan ringkas.

Tak payah buat logo macam panglima perang pada kad perniagaan anda, atau buat gambar macam budak sekolah.

Langkah #4. Tentukan senarai utama tawaran anda

Kalau boleh berikan tumpuan hanya dalam lingkungan 3 produk sahaja terlebih dahulu. Berikan tumpuan pada 3 produk tersebut sehingga anda berjaya mendapatkan pelanggan yang mencukupi.

Jangan terleka melayan apa saja permintaan yang diluar tumpuan anda. Itu untuk elakkan anda tergelincir daripada landasan mula berniaga dan perasan macam dah lama sangat berniaga.

Ingat !, kebanyakan usahawan berjaya bermula dengan hanya tawaran yang terhad dan bukannya bermula dengan berbagai pilihan tawaran. Sabar dan ambil masa sedikit untuk merangka kepelbagaian produk perkhidmatan anda.

Langkah #5. Buat kerja pemasaran

Anda perlu mula buat kerja pemasaran untuk orang ramai tahu apa yang anda boleh buat untuk mereka. Buat sasaran untuk berikan kad perniagaan anda sekurang-kurangnya pada 5 orang baru sehari.

Untuk itu anda perlu kerja keras sedikit. Anda perlu luangkan masa jumpa orang seramai 5 orang setiap hari tanpa jemu.

Sediakan perut anda untuk biasakan diri minum 5 gelas teh tarik sehari.

Paling mudah adalah dengan hubungi saudara mara anda dan pergi ziarah mereka. Tanya khabar mereka dan berikan khabar tentang perniagaan anda pada mereka.

Bila dah habis semua saudara mara, pergi ziarah pula kesemua rakan yang anda kenal. Kekalkan aktiviti itu secara berterusan.

Bila kad perniagaan dah habis buat lagi dan teruskan lagi aktiviti pemasaran mudah yang saya kongskan di atas.

Jika anda laukan apa yang saya cadangkan di atas, insyaallah, anda akan mula mendapat pelanggan. Jumlah pelanggan anda akan meningkat sedikit demi sedikit sehinggalah anda mula rasa sibuk dan mula cari jalan untuk mudahkan segala urusan perniagaan anda.

Pemasaran dengan Facebook

Selain dari aktiviti pemasaran secara berdepan (one 2 one), anda juga perlu membuat pemasaran melalui online.

Gunakan akaun Facebook yang dah dibuka tadi. Kemaskini segala tawaran perkhidmatan yang anda ada pada Page perniagaan anda.

Disiplinkan diri setengah jam setiap hari / pagi untuk update apa saja maklumat tentang perniagaan anda dan juga tentang industri yang anda ceburi.

Pastikan anda kongsikan maklumat ringkas yang bernilai dan bukannya maklumat yang anda sendiri tak mahu ambil tahu.

Langkah #6. Luangkan masa sejam sehari baca buku perniagaan

Ini juga satu aktiviti yang wajib dilaksanakan jika anda mahu berjaya.

Anda perlu tambahkan pengetahuan dan tingkatkan ilmu di dada. Baca buku perniagaan dan baca juga buku yang boleh tingkatkan lagi kemahiran perkhidmatan yang anda tawarkan.

Ulang kesemua itu tanpa jemu. Buat perancangan setiap hari sedikit demi sedikit.

Langkah Tambahan

Satu lagi perkara penting yang anda perlu lakukan adalah untuk melibatkan diri secara aktif dalam kumpulan mereka yang aktif dalam industri anda.

Pergi semak samada apa yang anda buat itu mempunyai wakil dalam bentuk organisasi persatuan atau seumpamanya. Jika ada jangan fikir panjang mohon untuk turut serta.

Jika tak ada persatuan, anda cuba usahakan satu. Pergi cari beberapa pesaing dan berkawan dengan mereka. Ajak mereka buat persatuan.

Aktiviti ini penting untuk anda bina kerjasama pertukaran maklumat terhadap perkembanga industri. Anda dapat belajar dengan pantas bidang atau industri yang anda ceburi daripada rakan-rakan lain.

Dapatkan maklumat daripada pembekal atau pengedar bahan-bahan yang diperlukan dalam industri anda. Mereka biasanya punya banyak maklumat yang amat berharga. Rapatkan diri anda dengan mereka.

Buka mata terhadap segala seminar atau kursus yang ada di pasaran yang ada kaitan dengan bidang yang anda ceburi. Pergi semua seminar atau kursus itu. Anda akan dapat dua perkara, satu ilmu dan dua kenalan.

Dengan usaha berterusan begitu, anda akan jadi usahawan berjaya hanya dalam tempoh 7 tahun. Insyaallah !

Selamat mencuba !

Total
94
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

12 comments

  1. Salam en subhi.terima kasih atas sgala ilmu dn tunjuk ajar yg diberikan.kenapa en subhi tak buat buku ..penulisan encik sngt menarik, santai dan senang difahami

    1. Sama-sama Haiza. Terima kasih sudi membaca blog saya, amat-amat dihargai. Memang ada niat nak buat buku, tapi masih dalam perancangan dan belum bergerak lagi. Kalau nak buat buku, saya mahu ianya sebuah hasil yang menarik dan amat berbaloi untuk dimiliki. Doakan saya untuk merealisasikannya. Insyaallah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge