kenapa bisnes tak berkembang dan gagalHari ini saya nak kongsikan sedikit maklumat tentang 6 sebab utama kenapa perniagaan orang kita gagal berkembang.

Apa yang saya kongsikan untuk anda semua, usahawan yang dah berniaga dan juga bakal usahawan, boleh diambil iktibar untuk diri sendiri. Bukan untuk anda sahaja, malah terlebih lagi utamanya untuk diri saya sendiri.

Semua 6 sebab utama yang saya paparkan kat bawah ini, saya dapat hasil dari pengalaman bersama dengan ratusan para usahawan orang kita di seluruh Malaysia.

Saya amati bagaimana orang kita buat bisnes dan cuba membezakan antara yang berjaya dengan yang tidak ke mana-mana.

Sudah tentu masih ada banyak lagi sebab atau punca lain yang boleh menyebabkan perniagaan anda gagal atau tidak berkembang.

Tapi saya hanya senaraikan yang selalu sangat saya jumpa selama beberapa tahun melibatkan diri secara kecil-kecilan, dengan dunia keusahawanan di negara kita.

Kita teruskan saya tengok senarai 6 perkara yang menyebabkan perniagaan orang kita tak berkembang di bawah ni,

#1. Gagal berkembang sebab harga merapu

Ini antara masalah paling besar.

Ia berlaku jika anda buat perniagaan tanpa cuba terlebih dahulu memahami selok belok menentukan harga produk atau perkhidmatan yang nak ditawarkan.

Masalah harga merapu ini tak akan berlaku jika anda jalankan perniagaan yang dikawal oleh pemilik lesen sesebuah produk atau perkhidmatan. Contohnya anda buat bisnes francais. Francaisor yang akan tentukan harga yang francaisee perlu tawarkan pada pelanggan.

Jika pemilik sistem francais itu besar dan terbukti berjaya, antara sebabnya adalah dia dah terlebih dahulu buat kajian tentang harga yang mahu ditawarkan pada pasaran.

Apabila usahawan buka perniagaan dengan jenama syarikatnya sendiri, akan banyak timbul masalah harga merapu ini sebab harga yang usahawan tentukan biasanya adalah main belasah sahaja.

Paling mudah, tiru berapa pesaing letak.

Paling kerap berlaku, pelanggan yang tentukan harga dengan mengertak taukeh kononnya harganya mahal dan kedai lain lebih murah. Bila dengar gertakan itu, taukeh terus dalam dilema dan mula risau sebab percaya harganya mahal.

Semuanya berpunca daripada gagal memahami kenapa dia tentukan harga begitu dan tidak ada apa-apa alasan yang konkrit kenapa harganya sedemikian.

#2. Gagal berkembang sebab tiada polisi hutang

Kalau bersembang dengan taukeh kedai mamak, kita akan rasa cemburu sebab bisnes mereka main tunai sahaja.

Tak ada pelanggan yang datang makan kat kedai mamak, bila nak bayar, cuba nego dengan menjaga kaunter untuk berhutang.

Semua orang amat faham bahawa makan kat kedai mamak perlu bayar tunai.

Macam itu juga kalau anda beli pakaian kat Parkson umpamanya.

Cuba bincang untuk buat bayaran 6 kali tengok.

Insyaallah dia akan suruh letakkan semula pakaian yang anda ambil itu dan minta anda keluar. Bila dah ada duit nanti boleh datang semula, pesannya lagi. Barang tak ke mana dan tak akan habis, tak perlu risau ya!, nanti datang semula!.

Orang kita ramai yang buat bisnes dan berurusan secara tunai juga.

Tapi malangnya ramai yang pening kepala sebab terlalu ramai pelanggan yang berhutang dan masih tak bayar sampai sekarang.

Semakin lama dia buat bisnes, jumlah orang hutang tak bayar juga semakin ramai. Jumlah hutang juga semakin banyak.

Puncanya hanyalah disebabkan tiadanya satu polisi hutang yang dirangka dan dipegang teguh oleh pemilik syarikat.

Malah tak pernah terfikirpun perlu ada satu polisi hutang dalam perniagaannya.

Walaupun dia tahu pelanggan yang berhutang bakal membuatkan dia tutup kedai, tapi dia langsung tak berusaha untuk naikkan signboard besar kat dalam kedainya,

“Tiada hutang dibenarkan, semua transaksi wajib Tunai!”

#3. Membesar terlalu cepat

Tentu anda akan tanya, dah kalau membesar cepat tu bukankah ertinya perniagaan berkembang?

Ya! memang itu antara formula paling digemari oleh usahawan kat luar sana untuk memberikan isyarat pada orang yang bisnesnya tengah berkembang.

Tapi malangnya, ramai usahawan kelam kabut nak besarkan perniagaannya dengan terlalu cepat.

Apa yang dia nak kejar, tak tahulah.

Kebanyakannya secara tak sedar, sebenarnya sedang kejar populariti atau glamour. Nak tunjuk pada orang lain yang dia dah berjaya naik ke atas.

Dalam keadaan begitu, membesar terlalu cepat banyak membawa padah.

Banyak bisnes yang meletup-letup dengan pantas tetiba hilang satu persatu macam magik! Pembesaran pantas yang dikejar akhirnya membuatkan semua hilang terus.

Lebih teruk lagi bila bisnes bungkus dan taukeh dibebani hutang yang terlalu banyak.

#4. Banyak buat hutang

Apa cara paling mudah untuk besarkan bisnes dengan pantas?

Sudah tentu dengan banyak berhutang.

Apa saja tawaran dana yang kerajaan atau bukan kerajaan sediakan dia belasah.

Apa saja kabel yang ada untuk dapatkan pinjaman dengan cara mudah, dia gunakan. Hatta sanggup hulur bawah meja.

Lebih parah lagi bila kejayaan mengaut dana dari berbagai agensi pinjaman kewangan untuk perniagaan, dengan jumlah yang banyak itu, dianggap satu kejayaan.

Sedangkan itu hanyalah satu permulaan kepada cabaran yang amat getir.

Disamping itu, kagagalan dalam mengadakan polisi hutang syarikat seperti isu #2 kat atas tadi, membuatkan taukeh tak mampu bayar hutang kepada pembekal.

Lama kelamaan, hutang mula bertambah dan bertambah dan tak mampu nak bayar lagi.

Jalan mudah untuk selesaikan semua masalah itu adalah dengan buat aktiviti korek lubang tutup lubang.

Lubang semakin membesar dan akhirnya, lari malam.

#5. Tak bina rangkaian pembekal

Tak ada usahawan yang boleh berdiri atas kakinya sendiri tanpa perlu sokongan daripada perniagaan atau orang lain.

Semua perniagaan sudah pasti akan ada pembekal yang membekalkan segala keperluan bahan dan khidmat bagi menjalankan perniagaannya.

Menguruskan aktiviti membina jaringan dengan para pembekal ini amat penting. Sama penting seperti mana usahawan perlu menjaga pelanggan.

Jika anda mahukan duit masuk yang lebih banyak dari pelanggan. Maka anda juga tentu mahukan duit yang paling sedikit keluar pergi kepada pembekal.

Barulah bisnes akan menjana keuntungan yang tinggi.

Oleh itu perlu seimbangkan pengurusan terhadap pembekal ini. Jangan lembik sangat, nanti dia pijak kepala. Dan jangan keras sangat, nanti dia tak bantu kita. Tambahan pulak jika dia tahu kita hanya bergantung kepadanya.

Oleh itu, aktiviti membina rangkaian pembekal adalah kerja yang perlu sentiasa di lakukan. Cuba pembekal baru, tanya pembekal baru, bandingkan harga, bandingkan kualiti dan sebagainya.

Ramai yang tak buat aktiviti ini.

#6. Tak buat aktiviti pemasaran

Kalau anda buat bisnes online mungkin tak ada masalah dengan aktiviti pemasaran.

Sebab biasanya ramai sifu bisnes online, sifu FB ads dan macam-macam lagi. Sampai menyampah pengguna FB dengan kawan-kawan yang asyik nak iklan perniagaannya sahaja.

Terbalik pula dengan bisnes yang offline.

Ramai yang buat tak berapa endah dengan aktiviti pemasaran.

Tak pernah rasa gusar untuk bertanya berapa ramai pelanggan sasarannya yang tahu dia wujud. Tak pernah risau samada pelanggan sasarannya tahu apa kelebihan beli produk atau perkhidmatannya berbanding beli dari pesaing lain.

Kalau buat fliers, biasanya hanya akan dibuat waktu awal buka bisnes sahaja. Kemudian tak pernah buat lagi walaupun setelah lebih 5 tahun berniaga. Sekali tu saja buat!

Aktiviti belajar ilmu untuk cuba memahami pengurusan pemasaran lagilah tak ambil peduli.

Rasa macam tak ada faedah.

Akhirnya ada yang ambil bomoh untuk diguna pakai bagi menarik pelanggan… alahai!.

Beri perhatian punca bisnes gagal berkembang

Saya dah berikan 6 punca utama yang membuatkan perniagaan orang kita gagal atau tidak berkembang.

Semua berdasarkan apa yang saya lihat sendiri berlaku depan mata.

Jika anda sedang hadapi masalah dalam perniagaan yang dijalankan, cuba lihat samada ada atau tidak salah satu atau lebih dari punca di atas berlaku dalam bisnes yang dijalankan.

Jika anda ada pengalaman lain yang boleh dkongsikan, sila berikan komen kat bawah.

Selamat berniaga!

Total
41
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

7 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge