6 sikap menghalang usahawan besarkan perniagaan

By | 31/07/2012
Kembangkan perniagaan

Apakah sebab-sebab yang menghalang usahawan besarkan perniagaan yang mereka sedang jalankan?

Jika kita lihat di negara kita, rata-rata perniagaan yang dikendalikan oleh orang Melayu adalah kecil-kecil belaka.

Bermula sejak ianya ditubuhkan sehinggalah masuk 10 ke 20 tahun, perniagaan tersebut masih kecil dan kadangkala sudah menjadi seumpama ‘hidup segan mati tak mahu’.

Biasanya ia berakhir dengan kematian perniagaan tersebut apabila orang penting yang biasanya pengasas perniagaan itu meninggal dunia. Apakah puca yang menghalang kita besarkan perniagaan sebenarnya?.

Antara punca yang menghalang kita besarkan perniagaan adalah disebabkan keengganan atau ketidak upayanya pengasas perniagaan itu membina sebuah organisasi bagi membentuk sebuah mesin yang mampu berjalan dengan sendirinya.

Pengasas perlu membayangkan perniagaannya sebagai sebuah mesin yang mampu berjalan secara sendiri dengan pemantauan yang minimum.

Saya sering berbual-bual dengan para usahawan dan juga bakal usahawan yang mempunyai cita-cita tinggi untuk membina sebuah perniagaan yang besar dan mampu bersaing dengan para peniaga berbangsa lain yang  rata-ratanya jauh lebih hebat dan cekap besarkan perniagaan mereka.

Memang saya kagum dengan impian mereka, tetapi masalahnya bila dibincangkan tentang kerjasama atau bekerja secara kumpulan untuk besarkan perniagaan, mereka akan mula mengeluh dan lebih cenderung untuk buat semua kerja sendiri.

“Susah kalau biarkan orang lain buat….” itu alasan mereka.

Kita perlu ingat bahawa tidak ada sebuah perniagaanpun yang akan membesar jika tuan punya perniagaan bersikap mahu buat sendiri kesemua kerjanya.

Ringkasnya usahawan tidak sesekali mampu besarkan perniagaan, jika tuannya bekerja terlalu kuat sehinggakan tiada masa berfikir untuk mengatur strategi dan mencari jalan terbaik.

Teknik mengukur kedudukan sesebuah perniagaan itu samada sedang membesar atau tidak mudah sahaja.

“Semakin kurang tuan punya perniagaan itu bekerja maka semakin membesarlah perniagaannya dengan syarat perniagaan masih berjalan dan pendapatan sentiasa melebihi perbelanjaan.”

Jika kita mahu besarkan perniagaan, kita perlu memberikan tumpuan pada pembinaan sumber manusia.

Hanya dengan bantuan dan kerjasama merekalah yang mampu membantu kita membesarkan perniagaan.

Antara masalah membina kader atau pelapis pengurusan dalam usaha besarkan perniagaan kita adalah:

  1. Kesukaran memilih orang yang berkelayakan dan sesuai. Ini memang perkara biasa dan tidak ada jalan pintas. Kita perlu cuba dan teruskan sehingga kita berjaya menemuinya. Ingat intan ditemui setelah bertan-tan tanah dikorek. Itupun perlu dibasuh dan digilap sebelum ianya menjadi berharga.
  2. Kedekut ilmu. Ini satu lagi masalah para peniaga kita yang risau jika diajar kesemua ilmu pengurusan dan perniagaannya pada orang lain, satu masa nanti dia akan lari dan menjadi pesaing kita. Ini juga realiti yang kita tidak dapat elakkan. Ia bukan alasan untuk kita terus mencuba dan jika ada yang lari, anggaplah ia amal jariah kita membina anak bangsa.
  3. Bersikap terlalu sempurna. Ada ramai para peniaga yang berlagak sempurna dan mengharapkan orang lain juga sempurna atau lebih sempurna daripadanya. Sikap ini membuatkan kita tidak dapat menerima kesalahan anak buah dan ia sebenarnya menyusahkan diri kita sendiri.
  4. Takut perniagaan merosot. Ini perkara biasa yang dialami oleh kebanyakan usahawan untuk menambah pekerja. Penambahan pekerja bermakna kos akan meningkat. Jika pernaigaan merosot dia risau tak mampu menyara para pekerjanya. Tak ada perniagaan yang untung dari awal hingga akhir, ia lumrah dan sering kali akan ada saja jalan penyelesaiannya. Paling terukpun kita boleh kurangkan jumlah pekerja sehingga perniagaan pulih kembali.
  5. Bersikap buruk sangka pada orang lain. Sikap buruk sangka membuatkan kita sentiasa tidak percaya pada sesiap saja. Kita tak akan gajikan orang untuk buat jualan kerana takut dia akan larikan pelanggan dan begitulah seterusnya pada kerja yang lain. Sikap ini akhirnya membuatkan tidak ada sesiapa yang sanggup bekerja dengan kita.
  6. Tak tahu macam mana nak bahagikan tanggung jawab. Perkara biasa bila kita tak pernah percaya pada orang lain lalu tak pernah pelajar untuk lepaskan tugasan pada orang bawah.
Ada banyak lagi kekangan yang membuatkan kita tidak membentuk sebuah kumpulan yang mantap dalam menguruskan syarikat kita dan seterusnya besarkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.
Walau apapun kekangannya kita perlu selesaikan dan memikirkan bagaimana boleh mengambil orang lain untuk dilatih menjalankan urusan perniagaan kita sehinggalah kita berjaya besarkan perniagaan.
Selagi kita tidak berbuat begitu, selagi itulah kita tidak akan kemana-mana dan peluang besarkan perniagaan tidak akan kunjung tiba.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge