Mana nak cari peluang perniagaan yang bagus untuk anda lakukan sekarang?

Itu soalan yang amat berat.

Tapi sebenarnya, ramai orang dok tanya soalan yang sama seumpama dengannya kat dalam group Kelab usahawan hidup ringkas atau KUHR yang saya buat di FB.

Peluang perniagaan memang sentiasa akan ada.

Tapi peluang perniagaan bukanlah untuk semua orang.

Adakah Peluang perniagaan untuk anda?

Macam kata-kata yang pernah diucapkan oleh Louis Pasteur, seorang saintis microbiologist berbangsa Perancis (1822-1895), dalam Bahasa Perancis bunyinya begini,

Dans les champs de l’observation le hasard ne favorise que les esprits préparés

Kata-kata itu diterjemahkan ke dalam bahasa inggeris dalam berbagai versi, antaranya adalah seperti berikut;

  • Chance favors the prepared mind
  • Fortune favors the prepared mind
  • In the field of observation, chance favors the prepared mind
  • Where observation is concerned, chance favors only the prepared mind

Kalau nak terjemahkan dalam Bahasa kita, maksudnya lebih kurang membawa erti,

“Peluang tu hanya mai kat orang yang dah memang bersedia”

Kalau anda lansung tak ada usaha untuk siapkan diri dengan segala persediaan yang patut, janganlah harap peluang perniagaan tu nak datang bergolek lalu berhenti kat depan mata.

Baca buku tak mau, kawan dengan orang tak mau, pi kursus tak mau, semua benda dilihat dari sudut negatif, semua orang lain tak betul, asyik rasakan diri sentiasa dianiaya, itu susah, ini susah, … macam itu punya perangai, sampai mampus peluang perniagaan tak akan anda temui !.

Jadi macam mana nak sediakan diri anda untuk kenal pasti peluang dan merebut peluang tersebut bila ianya lalu di depan mata?

8 langkah sediakan diri untuk peluang perniagaan

Saya kongsikan petua macam mana nak sediakan diri untuk merebut peluang perniagaan buat anda yang sering berdoa mengharapkan akan datang satu peluang perniagaan yang baik buat diri anda satu hari nanti.

8 langkah persediaan untuk kesan peluang perniagaan ini saya rujuk daripada tulisan seorang business coach KC See dalam bukunya Entrepreneur’s Treasure Chest.

#1. Nak buat bisnes apa?

Buat keputusan terlebih dahulu anda nak masuk dalam industri apa. Nak buat perniagaan yang berkaitan dengan apa?

Makanan?

Teknologi?

Fesyen?

Atau apa-apa saja yang menarik minat anda untuk jadi bidang perniagaan yang akan diceburi satu masa nanti.

Buatlah satu keputusan terlebih dahulu. Perah otak tu sikit jangan lembab dan malas sangat.

Sampai nak masuk bidang apapun tak tau nak fikir, asyik tanya orang nak niaga apa ha … nak niaga apa ha? … tak payah nak jadi usahawan lah macam tu. Elok pi kerja makan gaji dengan orang saja, habis cerita.

Simpan saja akal tu dalam peti ais. Bila mati nanti pi tanam sekali.

Minta panduan dari orang yang ada kemahiran dalam membantu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan anda bagi menentukan bidang yang sesuai untuk anda ceburi. Jangan ambil nasihat orang yang hanya nak suap anda saja.

Contohnya, bila anda pergi jumpa seseorang nak tanya bidang perniagaan yang sesuai untuk anda, dia lalu bersungguh-sungguh suruh anda buat perniagaan yang dia sedang jalankan. Dia suruh jadi ajen Top-Up line komunikasi umpamanya ..

Tak payah ikut nasihat orang macam tu.

#2. Tentukan kemahiran dan pengetahuan yang anda perlu

Bila dah buat keputusan bidang atau industri mana yang nak anda ceburi. Segera buat kerja rumah untuk kenal pasti apakah skill yang anda perlu ada kalau nak masuk bidang atau industri tersebut.

Tentukan juga apakah ilmu yang anda perlu kuasai untuk melayakkan diri anda masuk ke dalam industri tersebut.

#3. Dapatkan skill dan ilmu tersebut

Bila dah tahu skil mana satu, ilmu apa yang perlu ada, maka carilah kesempatan seboleh mungkin untuk mendapatkannya.

Mungkin anda sendiri yang perlu jadi mahir dengan pergi belajar sendiri. Mungkin juga anda boleh ajak kawan yang anda tahu ada semua itu untuk sertai anda dalam projek sediakan diri untuk rebut peluang bisnes.

Tapi seeloknya, anda mesti dapatkan juga kemahiran dan ilmu paling minima yang sepatutnya untuk anda sendiri kuasainya.

#4. Lihat contoh orang yang dah sukses dalam bidang yang sama

Yang nia mudah sangat untuk anda dapatkan maklumat.

Pantau siapa usahawan yang memang dah sukses hebat dalam industri yang nak anda ceburi itu. Pastikan dia memang berjaya dengan hebat, bukan biasha-biasha ..

Baca biodatanya, ikuti perjalanannya, pantau pergerakannya, dan kalau dapat rapat dengan orang itu, memang amat-amat baik.

Anda perlu buat analisa apa yang orang itu ada dari segi skill, networking, sikap, keupayaan dan sebagainya. Bandingkan dengan diri anda sendiri. Fikirkan macam mana nak atasi jurang perbezaan antara anda dengan dia.

#5. Cari kawan-kawan dalam industri yang sama

Anda juga wajib pergi berkawan dengan ramai kawan-kawan lain yang dah masuk dalam industri yang nak anda ceburi itu.

Tak kisah mereka dah berjaya tahap gaban atau belum. Besar atau kecik. Yang dah naik berjay atau yang dah merudum jatuh bergolek sekalipun. Yang pentingnya, anda mesti berusaha untuk masuk ke dalam kumpulan mereka sampai orang kenal anda dan tahu kehadiran anda dalam industri tersebut.

#6. Ubah jadi individu yang anda perlu jadi

Katakan anda nak masuk dalam bidang fesyen. Sedangkan anda memang tak suka sertai majlis keramaian dan tak gemar pasang badan dengan pakaian yang menarik.

Itu memang tak kena lah !

Kalau memang anda nak sertai industri tu, mahu tak mahu anda perlu buat transformasi untuk jadi orang yang selesa dengan majlis keramaian dan suka melaram serta punyai citarasa pemakaian yang hebat.

Itulah maksudnya, untuk jadi siapa yang anda perlu jadi untuk pastikan anda akan sukses dalam industri tersebut.

Kalau anda nak jadi trainer yang baik umpamanya, sebab nak masuk bidang pengajaran. Maka sediakan diri untuk mampu berpidato bercakap di kahalayak ramai.

Kalau anda jenis yang suka pengsan setiap kali disuruh bangun bercakap di depan lebih dari 4 orang, maka pergilah cari mana saja bomoh yang boleh ubati penyakit anda itu.

#7. Masuk dalam komuniti orang berniaga

Jangan nak elakkan diri dari berkwan dengan komuniti orang yang memang dah jadi usahawan sepenuh masa.

Sertai mereka, jadi kawan mereka dan jadualkan masa luangkan diri untuk sertai kumpulan mereka sekerap mungkin.

Jika dengan berbuat demikian anda terpaksa kurangkan masa bertemu dengan kawan-kawan biasa makan gaji anda selama ini, jangan risau.

Anda memang terpaksa buat macam itu kalau memang nak berjaya satu masa nanti. Biarlah apa kawan-kawan nak kata, tetapkan iman. Anda bukannya buat benda burukpun.

#8. Rebut peluang sebaik saja ia datang

Bila anda dah lakukan kesemua yang saya sebutkan kat atas tadi. Teruskan kesemua urusan itu dengan konsisten tanpa jemu.

Peluang akan datang juga satu masa dan ketika yang sesuai nanti.

Sebaik saja ianya datang, cekup terus jangan nak leka-leka lagi. Mungkin itulah titik perubahan penting dalam hidup anda untuk jadi usahawan peringkat global nanti, insyaallah !

OK!

Saya tamatkan kat sini saja dulu. Moga perkongsian ini berfaedah untuk anda yang mahu buat persediaan untuk kenal pasti peluang dan rebut peluang perniagaan bila ianya datang nanti.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge