Dah tiba masanya untuk besarkan syarikat perniagaan anda sekarang?

Soalan itu akan timbul hanya apabila perniagaan yang anda mulakan sejak 5 tahun yang lalu sudah berada dalam keadaan stabil.

Kalau baru mula berniaga, dengan perniagaan yang sama, baru setahun dua. Rasanya soalan itu masih belum layak timbul lagi.

Saya cakap tentang perniagaan konvensional. Yang ada premis. Ada produk atau servis yang sudah menjadi kebiasaan dan diterima secara meluas. Bukannya perniagaan berasaskan teknologi internet dan seumpamanya.

Kalau perniagaan berasaskan IT ni, dengan produk atau servis yang sama, 5 tahun baru nak membesar dah terlalu lewat. Perkembangan kemajuan dunia IT bergerak terlalu pantas.

Sebab itu bisnes yang berasaskan IT ni perlu dana yang sangat besar secara berperingkat yang pantas. Untuk kejar masa atau jangkahayat yang pendek selalunya ada pada produk atau servis berasaskan IT.

Tak sama macam bisnes konvensional seperti buka kedai atau kilang buat roti benggali umpamanya.

Atau buka syarikat perkhidmatan selenggaraan bangunan contohnya.

Besarkan syarikat selepas 5 tahun

Perniagaan konvensional ambil masa untuk stabil.

Kalau ikutkan pengalaman saya sendiri. Juga dari pengamatan melihat kawan-kawan dan kenalan. Juga dari pembacaan. Saya dapati 5 tahun adalah masa yang mencukupi untuk syarikat perniagaan anda jadi stabil.

Stabil ertinya dah mula mencapai keuntungan yang baik dan konsisten. Taukeh dah tak perlu ‘berkorban apa saja’ lagi.

5 tahun juga mencukupi untuk masa, yang perlu diambil oleh para pekerja lama atau baru di syarikat mula timbul rasa dengki pada taukeh.

Rasa tak puas hati kononnya taukeh untung banyak dan pekerja yang teruk buat kerja tidak mendapat perkongsian keuntungan yang selayaknya sepeti mana taukeh menikmati kesenangan.

Biasanya, bila dah sampai ke tahap tersebut, pengurusan wajib formal. Ikut undang-undang dan prosedur yang betul dan patuhi segala undang-undang yang ada. Itu diperlukan bila pekerja dah mula keluarkan sikap fikir pendek tak puas hati dengan taukeh untung banyak tu.

Hanya pengurusan formal dan bersistematik saja mampu mengawal semua keadaan tersebut.

Itu juga memberikan tanda yang perniagaa  anda dah boleh pertimbangkan idea untuk besarkan lagi perniagaan anda tu ke tahap yang lebih tinggi.

Macam mana nak besarkan syarikat perniagaan anda tu?

Apa pilihan yang ada?

Saya nak kongsikan kat sini untuk maklumat dan pilihan anda.

#1. Beli syarikat orang lain

Dalam bahasa yang hebat sikit orang panggil ‘acquisition’. Orang korporat. Penggemar teori perniagaan akan sebut perkataan macam tu untuk gerunkan anda yang mendengarnya.

Tapi hakikatnya saya kenal ramai sangat kawan-kawan yang beli syarikat orang lain tanpa mampu nak sebutpun perkataan ‘acquisition’ tu. Menatang apapun mereka tak tahu perkataan tu. Tapi dia orang besarkan syarikat selamba dengan beli company orang.

Mereka besarkan syarikat dengan beli syarikat lain yang buat perniagaan yang sama.

Anda boleh saja beli samada syarikat yang dah parah hampir muflis nak kena gulung tikar. Dengan kepakaran dan pengalaman yang ada, anda pulihkan semula. Turn-around orang putih kata. Jadi menguntungkan.

Anda dapat masuk ke lokasi baru, besarkan pasaran dan sudah tentu dapat tingkatkan jualan keseluruhan. Juga jimatkan kos seterusnya naikkan keuntungan.

Beli syarikat nak bungkus ni bagus sebab biasanya dapat dibeli dengan harga yang sangat murah.

Atau boleh juga beli syarikat yang menguntungkan. Kebetulan taukeh tu nak pencen. Dah tua tak larat. Anak-anak dia pulak tak berminat sebab semuanya ada kerjaya masing-masing.

Syarikat macam itu juga ada banyak kelebihan. Anda ada satu team yang baru. Budaya baru yang mungkin lebih baik dari syarikat anda sendiri. Idea juga akan lebih banyak dan menarik. Paling penting, syarikat memang dah buat untung setiap bulan.

#2. Bergabung dengan syarikat lain

Kalau nak beli syarikat orang lain tak cukup duit. Anda boleh fikirkan idea bergabung.

Ada syarikat yang buat bisnes sama macam anda. Lain lokasi atau mungkin saja sama lokasi. Kebetulan pula anda duda dan dia janda. Jadi gabungkan saja body dan business sekali.

Biasanya gabungan yang betul dan serasi akan barikan impak yang berganda. satu campur satu antara dua individu yang serasi akan hasilkan mungkin 3, 4, 5 atau mungkin lebih lagi dari itu.

Duduk bawah satu jenama. Swap share. Anda masuk jadi pemegang share company dia. Dan dia masuk jadi pemegang share company anda.

Perlukan bantuan akauntan dan lawyer untuk semua urusan tersebut. Ini untuk elakkan masalah di kemudian har nanti kalau-kalau ada perkara tak diingini berlaku. Walaupun anda gabungkan bisnes sekali dengan gabungkan tempat tidur, elok pakai lawyer dan akauntan juga.

#3. Buka cawangan lokasi baru

Ini pilihan paling terkenal dan paling banyak diamalkan oleh para usahawan.

Malah, yang baru setahun dua buat bisnes dah mula cerita nak buka cawangan di merata lokasi baru. Bisnes yang sedang dok buatpun tak tahu untung banyak mana. Entah ada untung entah tak adapun tak berapa nak pasti.

Sebenarnya nak buka cawangan baru di lokasi yang baru ni tidak semudah yang anda sangkakan. Perlu buat kajian yang betul-betul. Buat kiraan yang betul. Buat perancangan yang baik dan betul.

Sebab anda kena ambil staff baru. Kena sewa atau beli premis dan kena renovate pulak lagi. Kena isikan segala peralatan dan keperluan. Kemungkina n besar kena berhutang untuk adakan semua itu.

Bukan selepas dua atau tiga bulan perniagaan tu akan buat untung. Kena tahan tampal lubang. Entah berapa lama tak pasti lagi. Kena ada orang yang ada keupayaan untuk cover tempat baru itu. Anda seorang diri tak akan boleh jadi superman.

Penting untuk pastikan bisnes yang ada sekarang memang dah jana untung yang baik dan stabil serta konsisten. Kalau tak ada cukup duit, anda akan pilih lokasi baru berdasarkan kemampuan. Dan bukannya berdasarkan apa yang baik untuk bisnes anda.

Sebab itu saya kata, baru setahun dua nak pulun buka cawangan adalah terlalu awal.

#4. Francais

Cara ni tak payah nak sebut. Semua orang dah tahu dan pernah dengar perkataan ni. Tun Mahathir antara pemimpin awal yang popularkan cara atau sistem francais ni kat negara kita. Sejak tahun 1975 lagi dia dok sebut suruh tengok cara ni.

Cara ini memerlukan bukti yang anda memang dah berjaya dengan bisnes yang anda buat tu. Ada cukup lengkap segala sistem pengurusan yang terbukti berjaya dari A ke Z.

Ada SOP. Ada cara buat sales & marketing. Ada sistem urus kewangan. Ada metodologi pilih dan latih pekerja dan sebagainya.

Semua ini menarik untuk usahawan baru nak berniaga ambil tawaran francais anda sebab dapat rendahkan risiko bisnes gagal.

Sama juga macam kat atas tadi. Baru setahun dua bisnes dah nak pulun tawarkan francais adalah terlalu awal.

Walaupun antara keperluan untuk daftarkan francais kat negara kita syaratkan sekurangnya hanya dua tahun berniaga. Buat orang yang ada pengalaman, tentu tahu itu tak cukup untuk melayakkan anda kuasai bisnes yang anda buat itu jadi berjaya dengan mudah.

#5. Tawarkan perlesenan

Orang putih panggil ‘Licensing’

Maksudnya anda benarkan orang gunakan jenama produk atau syarikat anda yang dah terkenal dan dipercayai tu.

Dari situ anda dapat ganjaran dalam bentuk royalti hasil dari jualan produk yang gunakan jenama syarikat anda itu.

Sebagai contoh, katakan anda buat bisnes restoran kari kepala ikan. “Restoran Hameed”, itu nama restoran anda. Ada cawangan di seluruh Malaysia dan semua orang kenal nama restoran anda tu. Restoran tu pula memang mendapat sambutan baik dari para pelanggan.

Datang seorang kawan, minta nak gunakan jenama ‘Restoran Hameed’ untuk produk frozen food yang dia ada.

Setelah bincang. Anda setuju berikan lesen pada dia untuk gunakan jenama Restoran Hameed tu.

Memang lebih bagus kalau anda sendiri yang buat dan edarkan di seluruh negara di seluruh pasaraya. Tapi ini perlukan kos yang tinggi. Untuk sediakan semua prasarana dan sebagainya.

Elok biarkan kawan anda tu buat semua urusan pembuatan, pemasaran dan pengedaran. Anda ahanya makan komisyen saja dari hasil jualan.

#6. Kerjasama bisnes

Ini juga boleh dijadikan cara untuk besarkan bisnes.

Cari syarikat lain yang masih dalam industri yang sama, tapi mungkin produk yang berbeza. Produk anda dan dia saling lengkap melengkapi.

Contoh mudah adalah jika anda buat bisnes servis pest control. Cari syarikat lain yang buat khidmat cuci bangunan. Agak buat kerjasama seiring sejalan. Kedua-duanya punya pelanggan sasaran yang sama. Jadi lebih mudah dan pantas kembangkan bisnes anda.

Juga baik untuk syarikat yang jalin kerjasama dengan anda itu. Win-win kata orang.

#7. Perlbagaikan bisnes

Biasanya orang akan sebut, diversify.

Ini juga ramai yang buat.

Cuma masalahnya yang dok ada pun tak ke mana, dah mula cakap pasal diversify. Itu tak fokus namanya. Nak lari pi buat benda lain pulak sebab rasa macam dah lemas dengan apa yang cuba diusahakan.

Diversify ni ada risiko sikit. Takut hilang fokus pada bisnes yang sedang dilakukan sekarang. Saya hadapi dilema yang sangat tersiksa bila mula diversify.

Walau pun kesemuanya memang menjana duit. Tapi kepuasan hati tak berapa nak ada. Rasa ralat dan macam telan tak lepas bila tak fokus pada hanya satu bisnes.

Cara pelbagaikan bisnes atau diversify yang baik adalah dengan kembangkan pada produk yang melengkapi bisnes yang anda memang dah buat dengan jayanya.

Contohnya anda buat pusat rawatan mengurut yang memang dah jalan baik. Anda tambah pula lagi dengan tawaran produk minyak urut dan terapi jenama anda sendiri pulak. Itu projek diversify yang baik.

Atau anda kembangkan bisnes bela kambing susu yang besar sekarang kepada buat keju dan yogurt anda sendiri pulak.

Saya terpaksa hentikan dulu kat sini artikel ni nak kena buat kerja lain sekarang. Esok saya akan sambung lagi cara ke 8 dan ke 9. Nanti mai balik ke sini sambung baca ya. Saya akan post dulu artikel ni sekarang ..

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge