Two-Red-Berries-Hanging-From-Bush-With-Snow-In-WInterIni lanjutan daripada artikel yang lalu berkenaan andaian salah yang perlu dielakkan. Cuma kali ini diketengahkan dalam bentuk yang berbeza dari sebelumnya.

Kalau sebelum ini saya syorkan anda elakkan buat andaian salah, kali ini saya syorkan andaian yang perlu dilakukan oleh kita semua.

Saya sambung beberapa lagi perkara yang perlu diandaikan untuk mereka yang mahu berjaya dalam hidup yang bakal membuatkan anda mudah belajar menerima perkara baru.

  1. Apa yang telah berlaku adalah yang terbaik – Ada banyak perkara yang telah berlaku akibat daripada keputusan dan tindakan yang diambil samada oleh kita sendiri mahupun orang lain. Dan apa yang telah terjadi itu adalah yang terbaik ketika itu.
    • Jika perkara yang telah berlaku itu mendatangkan kesan yang baik, tidak jadi masalah. Masalah hanya timbul bila ianya memberikan kesan yang buruk.
    • Akibat daripada itu, kebiasaannya kita akan menyesal dan mula salahkan diri sendiri. Disamping itu kita juga akan mula mencari salah orang lain yang turut sama terlibat membuat keputusan dan tindakan yang menghasilkan perkara yang tidak diingini. Hentikan bersikap begitu.
    • Kita perlu ingat apa saja keputusan, samada yang kita buat atau yang orang lain buat, ia berlaku berdasarkan kesesuaian dan keadaan ketika itu. Tiada hasrat buruk atau niat sengaja mahu menghancurkan.
    • Mungkin ketika itu kita leka, ketika itu kita belum tahu, atau ada berbagai kekangan lain yang membuatkan satu keputusan diambil dengan pantas. Sudah tentu harapannya adalah untuk yang baik. Tapi apa nak buat, ianya tidak jadi sebagaimana yang diharapkan.
    • Oleh itu lepaskan rasa bersalah. Pandang kedepan dan belajar dari perkara yang telah jadi di belakang. Apa yang berlaku tetap berlaku dan itulah yang terbaik pada ketika itu.
    • Selain dari memaafkan diri sendiri, kita juga perlu maafkan orang lain dan menerima seadanya. Semua orang telah berusaha dan membuat keputusan dan tindakan terbaik berdasarkan segala sumber yang ada ketika itu.
    • Yang paling utama adalah sekarang ketika ini dan di sini….
  2. Pelan gambarajah rumah bukanlah sebuah rumah – Ini adalah sama dengan ayat orang putih yang berbunyi, “The map is not the territory”. Rasanya mudah untuk kita faham bahawa pelan rumah yang dilakarkan pada sekeping kertas sudah tentu bukan rumah yang sebenarnya. Tapi kita sering buat kesilapan yang sebaliknya dalam kehidupan seharian.
    • Apa yang kita bayangkan dalam fikiran bukanlah realiti sebenar. Tapi kita sering tertipu dan mengandaikan ianya macam dah benar. Jika bayangan berniaga itu membuatkan kita susah dan anak-anak tersiksa, kita batalkan semua niat nak berniaga macam gambaran itu adalah kebenaran.
    • Begitu juga sebaliknya. Jika bayangan berniaga itu adalah peluang menjadi kaya, pakai kereta mewah, rumah tersergam indah dan jadi glamour serta tiada lagi kesusahan, lalu kita terjun berniaga tergopoh apah tanpa persediaan seolah-olah itu adalah kebenaran.
    • Pandai-pandailah hidup dan sesuaikan keadaan serta berfikiran matang dan terbuka. Jangan lebih sangat dan jangan kurang sangat. Sentiasa lihat senario terbaik dengan imbangan senario terburuk. Itu lebih selamat.
  3. Apa yang difikirkan adalah di bawah kawalan kita sendiri – Segala keputusan yang berlaku pada kita adalah bersesuaian dengan apa yang kita fikirkan. Oleh kerana apa yang difikirkan adalah dalam kawalan kita, maka kitalah juga yang bertanggung jawab terhadap apa yang berlaku.
    • Oleh itu janganlah nak cuba salahkan orang lain pula terhadap apa yang telah, sedang dan akan berlaku pada diri kita. Ambil tanggung jawab penuh terhadap kehidupan sendiri.
    • Kawal pemikiran kita buat pilihan terhadap apa yang mahu kita fikirkan. Kalau anda fikir anda tak layak jadi usahawan, anda betul. Kalau anda fikir anda layak jadi usahawan, anda juga betul. Apa yang anda fikirkan itulah realitinya buat diri anda. Jadi terpulang bagaimana anda nak fikir.
  4. Segala yang diperlukan untuk berjaya dah tersedia untuk anda – Samada anda percaya atau tidak, semua yang anda perlu untuk realisasikan apa yang anda mahu dah sedia ada dalam diri anda. Masalahnya hanyalah anda tak yakin pada keupayaan dan peluang yang ada pada anda sahaja.
    • Banyak kes berlaku di sekeliling kita yang membuktikan perkara sebegini. Ada orang yang tak pernah sangka dia jadi salesman yang bagus sedangkan selama ini dia seorang pendiam kurang bercakap.
    • Saya kenal seorang kawan yang tidak suka bersembang dengan orang. Mendengar dia bercakap seperti menunggu sebutir intan keluar dari mulutnya. Bukan dengan orang, malah dengan keluarganya sendiri dia suka berdiam diri.
    • Satu hari saya terlopong melihat dia sedang buat promosi alat potong kaca di pasar malam dengan alat pembesar suara terselit di kepalanya. Dia bercakap tak henti macam penjual ubat memanggil orang ramai melihat demo potong kaca.
    • Oleh itu pegang betul-betul andaian ini. Anda dah ada segala sumber yang diperlukan untuk berjaya dalam diri anda sekarang. Yakin dan percaya pada keupayaan diri sendiri dan cari jalan serta lakukan saja pa yang boleh anda lakukan sekarang.

Itu dia 4 lagi andaian yang boleh anda fikirkan untuk dijadikan panduan agar mudah belajar untuk mencapai kejayaan.

Jika ada rezki, insyaallah saya akan tambah lagi beberapa andaian yang lain pula. Semoga apa yang dikongsikan di sini boleh mendatangkan manfaat pada yang membacanya dan membuatkan kita mudah belajar perkara baru dalam hidup.

Yang baik jadikan tauladan. Yang buruk jadikan sempadan. Moga kita semua dipermudahkan untuk terus belajar dan belajar… insyaallah!

Total
16
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge